Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 600,000 pekerja migran Kemboja pulang dari Thailand

Aug 8, 2025 | 10:45 AM
Ban Laem, Chanthaburi, thailand, migrant workers
Pekerja migran Kemboja melintasi sempadan di pusat pemeriksaan Sempadan Ban Laem, Thailand, untuk pulang ke tanah air, menjelang rundingan gencatan senjata di Malaysia berhubung konflik sempadan berdarah antara Thailand dengan Kemboja, di wilayah Chanthaburi, Thailand, pada 28 Julai 2025. - Foto REUTERS

BATTAMBANG (Kemboja): Puluhan ribu pekerja migran Kemboja pulang dari Thailand melalui Pintu Sempadan Antarabangsa Daung di wilayah Battambang pada 7 Ogos, menjadikan jumlah keseluruhan yang kembali melalui pintu masuk itu mencecah lebih 600,000 orang setakat ini.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, turut memberi perhatian khusus terhadap kebajikan para pekerja yang pulang, dengan menghantar ratusan bas bagi menyediakan pengangkutan percuma bagi memastikan mereka dapat kembali ke kampung halaman dengan selamat.

Proses penghantaran pulang itu diselaras oleh Gabenor Wilayah Battambang, Encik Sok Lou, dan isterinya yang berada di lokasi bagi menyambut kepulangan pekerja serta mengagihkan makanan dan minuman secara peribadi.

Seorang pekerja yang ditemui di pintu sempadan meluahkan rasa terharu dengan layanan tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat dan menyediakan pengangkutan percuma. Ia memudahkan kami untuk pulang tanpa beban tambahan,” katanya kepada akhbar Kemboja, Khmer Times.

Kepulangan pekerja itu berlaku selari dengan persetujuan antara Thailand dengan Kemboja untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dalam menangani askar yang ditawan, serta memudahkan “pemulangan bermaruah dan tepat pada masanya” bagi mereka yang terkorban.

Kedua-dua negara yang terlibat dalam pertikaian sempadan itu bertemu di Kuala Lumpur pada 7 Ogos bagi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa mencapai kesepakatan memperbaharui komitmen terhadap gencatan senjata sepenuhnya.

Thailand dan Kemboja bersetuju mengelakkan sebarang tindakan provokatif termasuk pergerakan ketenteraan dan penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih.

Gabenor Sok Lou telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan, pegawai teknikal dan pasukan keselamatan di pintu sempadan supaya memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar dan berkesan.

Gelombang kepulangan besar-besaran itu dilaporkan didorong oleh ketakutan terhadap ancaman rampasan tanah dan kehilangan kerakyatan, yang dilaporkan berpunca daripada kenyataan Presiden Senat, Encik Hun Sen, lapor akhbar yang diterbitkan di Bangkok, Nation Thailand.

Ancaman itu menyebabkan ratusan ribu pekerja migran Kemboja di Thailand bergegas pulang, bimbang jika mereka tidak kembali sebelum tarikh tertentu, tanah dan rumah mereka akan dirampas.

Seorang pekerja dikenali sebagai ‘Sa’ yang telah bekerja di Thailand lebih 10 tahun memberitahu, ketua kampungnya menghubungi setiap hari memberi amaran supaya beliau pulang sebelum tarikh yang ditetapkan.

Majikannya di Thailand bahkan membelikan bekalan ubat setahun bagi merawat masalah kulitnya, kerana bimbang beliau mungkin tidak dapat kembali bekerja di Thailand lagi.

Keadaan di beberapa pintu sempadan, termasuk Ban Laem di Chanthaburi, Klong Luek di Sa Kaeo, dan Hat Lek di Trat, amat sesak dengan ribuan pekerja Kemboja bersama keluarga serta barang-barang mereka menunggu giliran untuk pulang.

Di Ban Laem sahaja, lebih 10,000 pekerja dilihat berhimpun, dengan kebanyakan perniagaan terutama milik warga Kemboja terpaksa ditutup.

Ada yang menunggu sejak 4 Ogos sambil membawa barangan berat termasuk peti sejuk dan mesin basuh.

Kajian menunjukkan 90 peratus pekerja amat bimbang kehilangan rumah, tanah, dan nama mereka dipadam daripada daftar penduduk jika gagal pulang sebelum 13 Ogos.

Terdapat juga laporan bahawa pegawai di Kemboja menyebarkan maklumat kepada keluarga di kampung supaya mendesak saudara-mara mereka di Thailand pulang segera.

Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Sempadan Thai-Kemboja di Chanthaburi, Encik Rattawit Tangkiatphatchara, menganggarkan kira-kira 200,000 pekerja sudah pulang ke Kemboja.

“Jumlahnya besar, bukan hanya 20,000 seperti yang disangka sesetengah pihak.

“Tekanan keluarga di kampung supaya mereka pulang akan terus mendorong lebih ramai pekerja kembali,” katanya.

Kepulangan besar-besaran itu dijangka memberi kesan besar terhadap sektor penting di Thailand, termasuk pertanian dan perkhidmatan, yang bergantung pada tenaga kerja Kemboja.

Seorang peniaga Kemboja di pasar Rong Kluea, Sa Kaeo, mengesahkan bahawa ancaman kehilangan kerakyatan itu benar.

“Pemimpin mahu rakyat memilih sama ada setia kepada Kemboja atau Thailand, tetapi tiada arahan rasmi yang memaksa pulang,” jelasnya.

Namun, ada juga peniaga yang telah menetap di Thailand selama puluhan tahun dan tidak bimbang kerana menganggap kehidupan mereka sudah stabil di sana.

Keadaan itu menunjukkan perbezaan pandangan ada yang menerima tekanan langsung daripada keluarga, sementara yang lain tidak mengetahui isu itu sama sekali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg