Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratusan ribu pekerja migran Kemboja pulang dari Thailand susulan pergolakan sempadan

Aug 6, 2025 | 8:34 PM
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Kementerian Buruh Kemboja pada 6 Ogos 2025 ini menunjukkan pekerja migran Kemboja membawa barang-barang peribadi mereka ketika pulang dari Thailand susulan pertempuran sempadan, melalui Pintu Sempadan Antarabangsa Daung di wilayah Battambang.
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Kementerian Buruh Kemboja pada 6 Ogos 2025 ini menunjukkan pekerja migran Kemboja membawa barang-barang peribadi mereka ketika pulang dari Thailand susulan pertempuran sempadan, melalui Pintu Sempadan Antarabangsa Daung di wilayah Battambang. - Foto AFP

PHNOM PENH: Ratusan ribu rakyat Kemboja dilaporkan telah pulang dari Thailand selepas berlaku pertempuran berdarah selama lima hari di sempadan kedua-dua negara, menurut kenyataan jurucakap Kementerian Buruh Kemboja kepada AFP pada 5 Ogos.

Pertempuran tersebut, yang tercetus akibat pertikaian lama melibatkan kawasan kuil yang dipertikaikan di sepanjang sempadan sepanjang 800 kilometer itu, telah meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa. Kemboja dan Thailand telah mencapai persetujuan untuk gencatan senjata bermula 29 Julai.

Akibat konflik tersebut, arus besar pekerja migran dan keluarga mereka dilihat pulang ke tanah air melalui pos sempadan Ban Laem-Daung yang menghubungkan wilayah Chanthaburi di timur Thailand dengan wilayah Battambang di Kemboja.

Jurucakap Kementerian Buruh Kemboja, Encik Sun Mesa, memaklumkan bahawa lebih 750,000 rakyat Kemboja termasuk wanita dan kanak-kanak telah kembali sejak pertempuran bermula pada 24 Julai lalu.

“Mereka rasa tidak selamat dan takut berada di Thailand,” kata beliau, sambil menambah bahawa terdapat laporan mengatakan pekerja Kemboja telah diserang oleh kumpulan samseng.

Bagaimanapun, jumlah 750,000 yang diumumkan itu belum disahkan secara bebas. Seorang pegawai imigresen Thailand yang ditemui AFP berkata angka rasmi adalah “sulit” namun mengakui bahawa “ramai yang menyeberang pulang.”

Sementara itu, laporan media Thailand memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Sempadan Thai-Kemboja di Chanthaburi yang mendakwa bahawa lebih 200,000 rakyat Kemboja telah menyeberangi sempadan. Laman Facebook persatuan itu menyebut kira-kira 20,000 orang menyeberang pada 5 Ogos dan 30,000 lagi dijangka menyeberang pada 6 Ogos.

Desakan untuk pulang turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa pemerintah Kemboja mungkin akan merampas tanah milik mereka sekiranya terus bekerja di Thailand.

“Saudara saya telefon dan suruh saya balik segera. Mereka kata kalau saya tak balik, pemerintah akan ambil tanah saya,” kata seorang pekerja wanita yang ditemui di pos sempadan Pong Nam Ron, Chanthaburi, kepada The Nation.

Meskipun angka rasmi tidak diumumkan, wartawan menganggarkan jumlah warga Kemboja yang menyeberang pada 5 Ogos adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding hari sebelumnya. Pegawai kawalan sempadan Thailand enggan memberi angka kerana warga Kemboja dibenarkan berjalan melepasi pintu masuk tanpa melalui proses imigresen yang biasa.

“Orang mula sampai seawal pukul 7 pagi walaupun pintu hanya dibuka jam 9,” kata seorang pegawai tempatan, yang menjelaskan bahawa mereka terpaksa mengarahkan orang ramai menunggu di pasar Ban Laem Nua kerana bangunan imigresen terlalu kecil untuk menampung jumlah tersebut.

Kementerian Pertahanan Kemboja melalui jurucakapnya, Cik Maly Socheata, berkata situasi di sempadan kini terkawal namun pasukan keselamatan masih berada dalam keadaan berjaga-jaga. “Kami masih bersedia sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang insiden semula,” katanya pada 6 Ogos.

Sementara itu, pegawai kanan dari kedua-dua negara telah memulakan rundingan di Malaysia pada 4 Ogos dalam usaha meredakan ketegangan dan mengelakkan konfrontasi lanjut.

Sepanjang konflik selama lima hari itu, hampir 300,000 penduduk dilaporkan melarikan diri dari rumah mereka ketika tentera kedua-dua negara berbalas tembakan menggunakan jet pejuang, roket dan artileri.

Kawasan pertempuran dikenali sebagai zon luar bandar yang dikelilingi hutan liar dan ladang pertanian, termasuk ladang getah dan sawah padi, yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk tempatan.

Menurut Encik Sun Mesa, dianggarkan 1.2 juta rakyat Kemboja telah bekerja dan tinggal di Thailand sebelum konflik tercetus. “Ramai yang sudah membina kehidupan di sana selama bertahun-tahun, tapi sekarang mereka terpaksa pulang tanpa sebarang jaminan masa depan,” katanya.

Kepulangan besar-besaran ini bukan sahaja mencerminkan kesan langsung konflik sempadan terhadap hubungan dua hala tetapi turut menimbulkan persoalan tentang masa depan pekerja migran Kemboja di rantau ini.

“Kami pulang demi keselamatan, bukan kerana kami mahu,” kata seorang lelaki yang menolak troli sarat dengan barangan keluarga. “Tapi sekarang, kami tak tahu apa yang menanti di rumah.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg