Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lebih 80% bakal calon BN di Melaka muka baru, muda dan berpendidikan tinggi: Zahid

Nov 06, 2021 | 05:30 AM



MELAKA: Sehingga 86 peratus calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri Melaka adalah muka baru, kata pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Beliau juga berkata 78 peratus daripada calon BN berusia di bawah 50 tahun.



"Dari segi pendidikan, 82 peratus calon BN mempunyai kelayakan pengajian tinggi.



"Kami menawarkan rakyat bukan sahaja muka baru, bahkan mereka yang berumur di bawah 50 tahun dan berpendidikan tinggi," kata Datuk Ahmad Zahid dari Jerman.



Beliau sedang menerima rawatan perubatan bagi sakit belakang dan leher di negara itu.



Datuk Ahmad Zahid, yang juga presiden Umno, berkata nama calon akan diumumkan hari ini.



Setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula berkata pengumuman nama calon itu akan dibuat secara maya menerusi laman Facebook Umno Online pada 10 pagi.



"Pengumuman calon #BN secara langsung di FB #UMNO Online.



"Sabtu, 6 Nov 2021, 10 pagi. Terima kasih atas sokongan anda," katanya dalam satu catatan Facebook.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan lusa sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 20 November.



Pengundian awal pada 16 November.



Sementara itu, pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata manifesto bagi pilihan raya negeri gabungan itu akan dilancarkan selepas penamaan calon.



"Manifesto ini adalah tawaran baru kepada rakyat sekiranya Barisan Nasional diberi mandat baru pada 20 November.



"Kami akan menawarkan perjanjian baru dalam manifesto kami kepada rakyat Melaka, menghasilkan kerajaan yang stabil, makmur dan berwibawa," kata beliau pada satu sidang media kelmarin.



Pilihan raya Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 4 Oktober, menyusuli tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.



Empat Adun itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).



Datuk Sulaiman dijangka dicalonkan semula oleh BN untuk mempertahankan kerusi DUN Lendu yang disandangnya.



Sementara itu, pembangkang Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan menamakan calonnya malam esok.



Tetapi, Datuk Idris dan Datuk Nor Azman, yang dipertimbangkan menyertai parti komponen PH, masih belum menerima "isyarat" daripada pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Kededuanya belum menerima kata putus untuk menghadiri pengumuman penyertaan mereka ke dalam parti komponen PH, selepas menarik balik sokongan mereka terhadap kepimpinan Datuk Sulaiman daripada BN.



Datuk Idris berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang isyarat daripada Datuk Anwar, terutama aspek menghadiri program pengumuman penyertaan beliau ke dalam PH, apatah lagi pengumuman calon PH bagi pilihan raya negeri.



Datuk Nor Azman, yang menurut desas-desus akan menyertai Parti Keadilan Rakjat (PKR), berkata beliau tetap menaruh harapan untuk diterima menjadi ahli parti komponen PH itu, tetapi setakat ini belum menerima apa-apa isyarat daripada Datuk Anwar.



Sementara itu, jurucakap SPR berkata sebanyak 254 borang penamaan calon bagi pilihan raya negeri Melaka telah dikeluarkan menjelang hari penamaan calon.



Beliau berkata borang penamaan calon itu mula dijual pada 18 Oktober lalu di pejabat SPR di Putrajaya dan SPR Melaka. - The Star, BHM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >