Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 80% rumah di Gaza dilaporkan musnah

Dec 4, 2023 | 12:46 PM
TIDAK SESUAI DIHUNI: Penduduk Gaza memeriksa kerosakan rumah yang dibom Israel di Khan Yunis di selatan Jaluran Gaza pada 3 Disember. Israel menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing terutama di wilayah utara Gaza.
TIDAK SESUAI DIHUNI: Penduduk Gaza memeriksa kerosakan rumah yang dibom Israel di Khan Yunis di selatan Jaluran Gaza pada 3 Disember. Israel menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing terutama di wilayah utara Gaza. - Foto AFP

GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin memuncak dengan anggaran 1.8 juta orang, atau kira-kira 80 peratus penduduk, terpaksa meninggalkan rumah atau unit kediaman mereka sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas.

Menurut pejabat media, tindakan Israel itu menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing terutama di wilayah utara Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.8 juta rakyat Palestin di Gaza telah kehilangan tempat tinggal. Hampir 958,000 daripada mereka berada di 99 kemudahan perlindungan PBB di selatan, kata Cik Juliette Toma, pengarah komunikasi di agensi PBB untuk pelarian Palestin.

Jumlah ini dijangka meningkat susulan bedilan Israel yang terbaru mengenai bangunan kediaman di kawasan kejiranan al-Tanour dekat timur Rafah di selatan Jaluran Gaza, meragut banyak nyawa orang awam. Israel berterusan menghujani Gaza dengan bedilan walaupun dunia menekankan kebimbangan akan peningkatan kematian orang awam.

Dengan Israel menghalang kebanyakan warga Gaza daripada meninggalkan Jaluran itu, pekerja bantuan kemanusiaan menyatakan tiada tempat selamat untuk mereka sedang pertempuran berterusan.

“Orang ramai tidur di jalanan dan kaki lima tanpa sebarang perlindungan,” kata Encik Yousef Hammash, pegawai advokasi untuk Majlis Pelarian Norway kepada The New York Times.

Kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan di atau di luar sekolah, pusat perubatan, masjid, dan gereja di Gaza. Yang lain – mungkin sehingga setengah juta orang – dipercayai tinggal bersama saudara mara dan bahkan orang asing, seringkali tidur di luar dalam halaman atau sesak di dalam apartmen kecil.

Sekurang-kurangnya 28 sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan telah mengalami kerosakan besar di wilayah utara Gaza Utara dan menjadikannya tidak lagi boleh digunakan manakala 122 yang lain di seluruh wilayah mengalami kerosakan sederhana atau kecil.

“Anda perlu beratur selama dua jam, hanya untuk menggunakan tandas. Untuk mandi adalah seperti mimpi,” kata Encik Hammash.

Dilaporkan lebih 265,000 unit rumah telah musnah di Gaza dalam tempoh 40 hari akibat perang di kawasan Jaluran itu.

Menerusi laporan yang dikeluarkan pihak media pemerintah Gaza, jumlah tersebut meliputi 223,000 kediaman separa musnah, manakala 42,000 lagi musnah sepenuhnya dan tidak sesuai untuk dihuni selepas ia dibom.

Sejumlah 74 masjid musnah sepenuhnya, 162 separa musnah dan tiga gereja mengalami kerosakan yang teruk.

Sementara itu, sebanyak 320 sekolah di Gaza telah terjejas dan 65 daripadanya tidak dapat digunakan lagi kerana sudah hancur, manakala 95 ibu pejabat pemerintah mengalami kerosakan teruk.

Selain itu, lebih 26 hospital dan 55 pusat kesihatan terpaksa menutup operasi sama ada akibat bedilan bom, ditawan atau dimusnahkan. Penduduk di wilayah berkenaan juga memerlukan lebih banyak hospital dilengkapi dengan peralatan perubatan untuk membantu puluhan ribu mangsa yang cedera.

Justeru, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa merangka segera satu pelan menyelamat bagi mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan secepat mungkin. – Agensi berita.

“Orang ramai tidur di jalanan dan kaki lima tanpa sebarang perlindungan. Anda perlu beratur selama dua jam, hanya untuk menggunakan tandas. Untuk mandi adalah seperti mimpi.” 
Encik Yousef Hammash, pegawai advokasi untuk Majlis Pelarian Norway.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg