Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih AS$71b diperlu untuk bangunkan semula Gaza
Lebih AS$71b diperlu untuk bangunkan semula Gaza
Penilaian EU dan PBB dedah skala kemusnahan luar biasa, pembangunan manusia di Gaza mundur hingga 77 tahun
Lebih AS$71b diperlu untuk bangunkan semula Gaza
GENEVA: Lebih AS$71 bilion ($90 bilion) diperlukan dalam tempoh sedekad akan datang bagi memulihkan dan membangunkan semula Gaza yang musnah akibat perang.
Demikian menurut penilaian bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada 20 April.
Dalam laporan akhir Penilaian Pantas Kerosakan dan Keperluan Gaza (RDNA), PBB dan EU menyatakan lebih dua tahun konflik di wilayah Palestin itu telah menyebabkan kehilangan nyawa yang belum pernah berlaku sebelum ini serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang amat serius.
“Keperluan pemulihan dan pembinaan semula dianggar sekitar AS$71.4 bilion,” ujar laporan tersebut yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia.
Sebahagian besar Gaza, termasuk sekolah, hospital dan kemudahan awam, kini musnah akibat serangan ketenteraan Israel susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Penilaian itu menunjukkan sebanyak AS$26.3 bilion diperlukan dalam tempoh 18 bulan pertama bagi memulihkan perkhidmatan asas, membina semula prasarana kritikal serta menyokong pemulihan ekonomi.
“Kerugian fizikal dianggar mencecah AS$35.2 bilion, manakala kerugian ekonomi dan sosial berjumlah AS$22.7 bilion,” tambah kenyataan bersama EU dan PBB.
Lebih membimbangkan, kira-kira 371,888 unit rumah telah musnah atau rosak, lebih separuh hospital tidak lagi berfungsi, manakala hampir semua sekolah di Gaza mengalami kerosakan atau kemusnahan.
Laporan itu turut mendapati seramai 1.9 juta penduduk, hampir keseluruhan penduduk Gaza, telah dipindahkan, kebanyakannya berulang kali sepanjang konflik.
Lebih 60 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala ekonomi Gaza menyusut 84 peratus.
“Skala kekurangan dari segi kehidupan harian, sumber pendapatan, keselamatan makanan, kesaksamaan jantina dan keterangkuman sosial telah menyebabkan pembangunan manusia di Gaza mundur sehingga 77 tahun,” tambah laporan tersebut.
Gaza kini berada di bawah gencatan senjata rapuh yang dipersetujui pada Oktober 2025 selepas dua tahun konflik yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel.
Menurut angka rasmi Israel, serangan pada 7 Oktober 2023 mengorbankan 1,221 orang, kebanyakannya orang awam, selain 251 individu diculik sebagai tebusan.
Sebagai tindak balas, kempen ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 72,000 penduduk Gaza, majoritinya orang awam, kata kementerian kesihatan di wilayah itu, dengan data tersebut dianggap boleh dipercayai oleh PBB.
EU dan PBB menegaskan usaha pemulihan tidak boleh ditangguhkan dan perlu berjalan seiring dengan bantuan kemanusiaan.
“Memandangkan skala keperluan yang sangat besar, usaha pemulihan mesti dilaksanakan selari dengan bantuan kemanusiaan bagi memastikan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada pembinaan semula berskala besar,” ujar kenyataan itu.
Kedua-dua pihak turut menekankan bahawa proses pemulihan mesti diterajui oleh rakyat Palestin sendiri, dengan sokongan pemindahan pentadbiran kepada Penguasa Palestin selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan PBB.
Namun, EU dan PBB memberi amaran kejayaan usaha pembinaan semula bergantung kepada beberapa syarat penting di lapangan.
Antaranya termasuk gencatan senjata berterusan, jaminan keselamatan, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pemulihan segera perkhidmatan asas serta kebebasan pergerakan manusia, barangan dan bahan binaan antara Gaza dengan Tebing Barat.
“Tanpa syarat-syarat ini, usaha pemulihan dan pembinaan semula tidak akan berjaya,” tegas laporan tersebut. – Agensi berita.
