Penguasa Palestin sokong Lembaga Keamanan, usaha damai antarabangsa jadi keutamaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguasa Palestin sokong Lembaga Keamanan, usaha damai antarabangsa jadi keutamaan

Feb 25, 2026 | 12:17 PM

Penguasa Palestin sokong Lembaga Keamanan, usaha damai antarabangsa jadi keutamaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penguasa Palestin, donald trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah) mengangkat penukul mesyuarat ketika Mesyuarat Lembaga Keamanan di Institut Keamanan Amerika Syarikat Donald J. Trump di Washington, Amerika Syarikat, 19 Februari 2026. Ditubuhkan oleh Donald Trump dan dipimpin pemerintah Amerika Syarikat, Lembaga Keamanan (BoP) merupakan badan yang ditugaskan menyelia pelaksanaan pelan damai Gaza. - Foto EPA

Penguasa Palestin (PA) menyokong pelbagai inisiatif antarabangsa untuk menamatkan perang di Gaza, termasuk rangka kerja Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta cadangan Lembaga Keamanan yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sambil menekankan sokongan itu berlandaskan pendekatan pragmatik demi memastikan keberkesanan dan kepentingan rakyat terpelihara.

Menteri Kewangan dan Perancangan Penguasa Palestin (PA), Dr Estephan Salameh, dalam wawancara bersama Berita Harian pada 24 Februari sempena lawatannya ke Singapura berkata pendirian tersebut berlandaskan keutamaan penting iaitu menghentikan peperangan dan mengurangkan penderitaan rakyat. “Sebab utama kami adalah untuk menamatkan perang dan membantu rakyat kami. Kami mengalu alukan sebarang usaha yang boleh mencapai tujuan itu,” katanya.

Namun beliau menegaskan PA perlu memainkan peranan pusat dalam sebarang susunan pasca perang bagi memastikan perpaduan nasional tidak terjejas. “Peranan Penguasa Palestin penting untuk memastikan negara kekal satu. Kami menerima bantuan sesiapa sahaja selagi prinsip itu dihormati, iaitu satu negara, satu rakyat dan perlindungan terhadap rakyat kami,” katanya.

Menurut Dr Salameh, saluran komunikasi rasmi kini diwujudkan antara pemerintah Palestin dan wakil Lembaga Keamanan bagi menyelaras usaha bantuan dan pemulihan. Beliau berkata pihak PA yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Mohammad Mustafa akan bekerjasama dengan wakil tertinggi badan tersebut untuk meningkatkan penyelarasan. “Kami cuba menyelaras usaha dan memperbaiki komunikasi demi manfaat rakyat,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa badan antarabangsa itu akan menggantikan PA. “Penguasa Palestin mempunyai institusi di lapangan termasuk sistem perbankan, perundangan dan pentadbiran. Mengecualikan PA tidak akan membawa penyelesaian mampan,” katanya.

Walaupun berlaku perpecahan politik antara Gaza dan Tebing Barat sejak dua dekad lalu, Dr Salameh berkata PA masih menanggung sebahagian besar keperluan asas di Gaza. Menurutnya, pemerintah Palestin masih membayar lebih 67,000 kakitangan dan pesara serta membiayai sektor kesihatan, pendidikan, air dan elektrik.

“Selama 20 tahun, walaupun dalam tempoh perpisahan, kami terus menyediakan perkhidmatan dan membayar kakitangan di Gaza. Sekitar 40 peratus belanjawan kami disalurkan ke Gaza tanpa pulangan cukai,” katanya.

Dr Salameh berkata PA telah lama menyediakan pelan pembinaan semula Gaza walaupun perang masih berlangsung. “Ini perang kelima di Gaza. Ia paling dahsyat tetapi bukan yang pertama. Selepas setiap perang kami membina semula. Kami ada penilaian kerosakan, pelan program, dokumen projek dan mekanisme pembiayaan,” katanya.

Beliau merujuk kepada proses penilaian kerosakan yang dikenali sebagai Penilaian Pantas Kerosakan dan Keperluan (RDNA) dan menegaskan pasukan pentadbiran sedia mengambil alih tanggungjawab apabila keadaan mengizinkan. “Dengan bantuan masyarakat antarabangsa kami mampu membina semula Gaza. Mengecualikan PA tidak akan menghasilkan penyelesaian berkekalan,” katanya.

Walaupun terdapat gencatan senjata, beliau menyifatkan keadaan masih rapuh. “Saya boleh katakan secara berhati hati optimistik. Ketakutan terbesar saya ialah perang kembali berlaku dan kita mesti lakukan segala usaha untuk menghalangnya,” katanya.

Beliau mendakwa kemusnahan dan korban masih berlaku selepas gencatan senjata, menunjukkan konflik belum benar benar berakhir. “Perang berubah bentuk tetapi belum berakhir sepenuhnya,” katanya.

Mengulas janji bantuan berbilion dolar kepada mekanisme antarabangsa termasuk Lembaga Keamanan, Dr Salameh berkata komitmen kewangan sering tidak sama dengan pembayaran sebenar. “Ada perbezaan besar antara janji dan penyaluran sebenar,” katanya.

PA telah menubuhkan dana amanah bersama Bank Dunia dan PBB dan berharap penderma menggunakan saluran tersebut. Beliau menambah PA tidak bimbang bantuan kepada badan baharu akan menjejaskan kewangan mereka. “Kami telah menyalurkan ratusan juta dolar ke Gaza selama 20 tahun. Ia tanggungjawab nasional kami,” katanya.

Dr Salameh berkata pembangunan Tebing Barat dan pengukuhan PA penting bagi memastikan negara Palestin yang berdaya maju. Beliau menyatakan keyakinan terhadap masa depan berdasarkan peningkatan pengiktirafan antarabangsa dengan sebanyak 159 negara telah mengiktiraf Palestin.

Malah menurutnya, sokongan global semakin meningkat selepas perang Gaza. “Dunia semakin sedar pendudukan tidak boleh berterusan dan penyelesaian dua negara adalah satu satunya jalan supaya Palestin dan Israel hidup aman,” katanya. Beliau menyifatkan masa depan sebagai penuh harapan walaupun mencabar. “Saya berharap kita akan mempunyai masa depan lebih baik,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg