Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lebih banyak hospital di Gaza gantung operasi

Nov 13, 2023 | 01:37 PM



GAZA/BAITULMAKDIS: Dua lagi hospital utama di Gaza ditutup kepada pesakit baru pada Ahad, dengan kakitangannya berkata pengeboman berterusan oleh Israel, di samping kekurangan bahan api dan ubat-ubatan bermakna lebih ramai bayi dan pesakit mungkin akan mati.


Hospital di utara kawasan Palestin kini disekat oleh tentera Israel dan hampir tidak dapat menjaga mereka yang sakit dan cedera di hospital itu, kata kakitangan perubatannya.

Israel menyatakan serangannya disasarkan kepada kumpulan Hamas di kawasan itu dan menasihatkan supaya semua di dalam hospital itu dipindahkan.

Hospital terbesar dan kedua terbesar di Gaza, Al Shifa dan Al-Quds, menyatakan operasi hospital masing-masing kini digantung.

Tempat yang ada untuk mereka yang cedera semakin berkurangan, dengan lebih ramai orang terbunuh dan cedera setiap hari, dan separuh daripada bilangan hospital di Gaza kini tidak lagi berfungsi.

“Anak saya cedera dan saya tidak dapat membawanya ke satu hospital pun untuk mendapat jahitan,” kata Encik Ahmed al-Kahlout.

Beliau melarikan diri ke selatan Gaza mengikut nasihat Israel, namun berasa bimbang tiada tempat di Gaza yang sebenarnya selamat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah berjaya memulihkan komunikasi dengan profesional kesihatan di hospital Al Shifa, kata Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad.

Beliau berkata keadaan di Gaza “dahsyat dan berbahaya” dengan tembakan dan pengeboman berterusan memburukkan lagi keadaan yang sudah kritikal.

“Yang menyedihkan, jumlah pesakit yang mati telah meningkat dengan banyak,” katanya dalam catatan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

“Malangnya, hospital tidak lagi berfungsi sebagai hospital,” tambahnya.

WHO telah kehilangan komunikasi pada Sabtu. Kementerian kesihatan Gaza pula berkata operasi di Hospital Al Shifa digantung kerana kehabisan bahan api.

Seorang pakar bedah plastik di Hospital Al Shifa berkata pengeboman ke atas bangunan yang menempatkan inkubator telah memaksa kakitangannya meletakkan bayi pramatang di atas katil biasa, dan memanfaatkan sedikit kuasa yang ada untuk membuat penghawa dingin memberi kehangatan kepada bayi.

“Kami menjangka akan kehilangan lebih ramai daripada mereka dari hari ke hari,” kata Dr Ahmed El Mokhallalati.

Israel berkata Hamas telah menempatkan pusat arahannya di bawah dan berhampiran hospital. Bagaimanapun, Hamas menafikan tuduhan itu.

Pada Ahad, seorang pegawai Palestin yang memberi taklimat mengenai perbincangan pembebasan tebusan berkata Hamas telah menggantung rundingan disebabkan cara Israel menyasarkan Hospital Al Shifa.

Tentera Israel menyatakan ia telah menawarkan untuk memindahkan bayi baru lahir dan meletakkan 300 liter diesel di pintu masuk Hospital Al-Shifa pada Sabtu malam. Bagaimanapun, tindakan itu disekat oleh Hamas, katanya.

Namun, Pengarah Hospital Al-Shifa, Encik Muhammad Abu Salmiya, berkata kenyataan tentera Israel itu adalah “pembohongan dan fitnah”.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza yang dikuasai Hamas, Encik Ashraf Al-Qidra, berkata daripada 45 bayi dalam inkubator di Hospital Al Shifa, tiga telah meninggal dunia.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan Hospital Al-Quds juga tidak beroperasi, dengan kakitangan yang bergelut untuk menjaga pesakit yang ada dengan sedikit ubat-ubatan, makanan dan air.

Tiga agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan rasa ngeri dan marah dengan keadaan di semua hospital di Gaza.

Agensi itu menambah bahawa sepanjang 36 hari, Israel telah melancarkan sekurang-kurangnya 137 serangan ke atas pelbagai kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza.

Serangan itu mengakibatkan 521 kematian dan 686 kecederaan, termasuk 16 kakitangan perubatan maut dan 38 lagi cedera, kata agensi itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >