BACHOK (Kelantan): Kalau sudah jodoh, tak ke mana.
Demikian dilalui Encik Abdullah Ali setelah bergelar suami kepada wanita idaman, Cik Siti Zabidah Zakaria, 63 tahun.
Sungguhpun telah mencecah usia 86 tahun, Encik Abdullah selamat diijab kabul dengan isterinya di Masjid Al-Abrar, Mukim Pauh Sembilan.
Dalam satu video TikTok tular yang dimuat naik oleh @shafik_syuhada12 pada 27 Januari, Encik Abdullah digelar suami dengan sekali lafaz.
Sejauh ini, video tersebut telah meraih lebih 700,000 tontonan.
Beliau dilihat tampan memakai baju kurung warna oren, siap bersamping dan bersongkok.
Menurut laporan media tempatan, Encik Abdullah cuba ‘mengurat’ wanita idaman hatinya selama setahun sebelum si isteri terbuka hati untuk menerimanya.
“Selepas ditolak, saya tidak berputus asa. Setahun saya cuba tambat hatinya, Alhamdulillah jodoh kami ada dan selamat disatukan pada Sabtu lalu,” kata beliau, seorang petani.
Berkongsi kepada media tempatan, ayah tiga orang anak berusia antara 60 dan 65 tahun itu menjelaskan sikap lemah lembut Cik Siti menyebabkan beliau tertarik kepadanya.
Menurut Encik Abdullah, sikap lemah lembut Siti Zabidah menyebabkan beliau terpaut hati dengan ibu dua orang anak itu.
“Bukan mudah untuk menambat hati Siti Zabidah kerana pada awalnya dia tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin.
“Lagipun kami berdua masing-masing tinggal sendirian. Kebetulan anak-anak saya sama baya dengan isteri dan memberi restu untuk kami bersatu,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau berkongsi bahawa isterinya pernah berkahwin dua kali dan kedua-dua suaminya telah meninggal dunia – masing-masing pada 2003 dan 2021.
Perkahwinan kali ini, kata Encik Abdullah, juga adalah lebih kepada keinginan mencari teman hidup bagi menghabiskan sisa-sisa hidup.
Mentelah sejauh ini, penglihatannya masih jelas dan boleh memandu, lantaran beliau rasa teruja dapat membawa Cik Siti bersiar-siar. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg