Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki Afghanistan dijel seumur hidup atas serangan rempuhan di Munich
MUNICH: Mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang pelarian Afghanistan selepas didapati bersalah merempuh orang ramai menggunakan kereta di bandar Munich pada 2025 lalu, mengorbankan seorang wanita bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun serta mencederakan puluhan lagi.
Mahkamah Daerah Munich memutuskan lelaki berusia 25 tahun itu, yang dikenali sebagai Farhad N. mengikut undang-undang privasi Jerman, bersalah atas dua pertuduhan membunuh, 23 pertuduhan cubaan membunuh dan 22 pertuduhan menyebabkan kecederaan, termasuk 19 kes kecederaan serius.
Panel hakim turut memutuskan kesalahan itu mempunyai “tahap kesalahan yang amat berat”, sekali gus menyebabkan tertuduh hampir pasti tidak akan dibebaskan walaupun menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Di bawah undang-undang Jerman, banduan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup lazimnya boleh memohon parol selepas menjalani hukuman selama 15 tahun.
Namun, keputusan mahkamah kali ini menafikan kelayakan automatik tersebut.
Hakim Mahkamah Daerah Munich, Encik Michael Hohne, berkata serangan itu didorong oleh fahaman ekstremisme agama.
Menurut beliau, tertuduh percaya tindakannya akan mendapat keredaan Tuhan dan membuktikan dirinya sebagai seorang Islam yang baik.
“Tertuduh berniat melakukan perbuatan yang dianggapnya diredai Allah serta mahu membuktikan dirinya sebagai seorang Muslim yang baik di sisi Allah, dirinya sendiri dan keluarganya,” kata Encik Hohne ketika membacakan keputusan mahkamah.
Serangan itu berlaku pada Februari 2025 apabila Farhad memandu sebuah kereta Mini Cooper berwarna putih merempuh perarakan kira-kira 1,400 penyokong kesatuan sekerja di Munich.
Dia memintas sebuah kenderaan polis yang mengiringi perarakan sebelum memecut laju ke arah orang ramai.
Seorang wanita berusia 37 tahun dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tercampak kira-kira 10 meter akibat rempuhan itu.
Kedua-duanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian di hospital.
Lebih 40 mangsa lain turut cedera, manakala ramai masih mengalami kesan fizikal dan trauma sehingga kini.
Encik Hohne berkata kawasan kejadian selepas serangan itu dipenuhi serpihan dan mangsa yang bergelimpangan.
Beliau turut memetik kenyataan seorang mangsa yang menyifatkan kehidupannya berubah sama sekali selepas tragedi itu.
“Mangsa berkata mereka mempunyai satu kehidupan sebelum serangan dan satu lagi kehidupan selepas serangan,” katanya.
Menurut hakim, jumlah kematian mungkin jauh lebih tinggi sekiranya kereta yang dipandu tertuduh tidak terhenti selepas merempuh ramai mangsa.
Pendakwa raya memaklumkan Farhad turut melaungkan “Allahu Akbar” sejurus selepas melakukan serangan tersebut.
Bagaimanapun, siasatan mendapati Farhad tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan militan tersusun seperti Daesh.
Pendakwa raya berkata serangan itu dilakukan atas dorongan fahaman ekstremisme agama, selain dipengaruhi masalah kesunyian dan keresahan yang dialaminya.
Mahkamah turut mendapati Farhad mempunyai keyakinan diri yang rapuh tetapi cuba menampilkan imej sempurna kepada masyarakat.
Peguam bela memohon supaya anak guamnya ditempatkan di hospital psikiatri.
Namun, pakar psikiatri yang dilantik mahkamah memutuskan masalah kesihatan mental yang dihadapi tertuduh tidak menjejaskan keupayaannya memahami akibat perbuatannya atau mengurangkan tanggungjawab jenayahnya.
Farhad tiba di Jerman bersendirian sebagai pelarian pada 2016 ketika berusia 15 tahun.
Permohonan suakanya ditolak pada 2020, namun dia dibenarkan terus tinggal dan bekerja di negara itu kerana pihak berkuasa menganggap Afghanistan terlalu berbahaya untuk proses penghantaran pulang ketika berada di bawah pemerintahan Taliban.
Dia kemudian bekerja sebagai pengawal keselamatan serta aktif sebagai jurulatih kecergasan di media sosial dengan ribuan pengikut.
Siasatan mendapati Farhad dipercayai menjadi radikal beberapa bulan sebelum serangan selepas kerap mengikuti kandungan ceramah pendakwah Afghanistan yang berfahaman ekstrem melalui Internet.
Serangan di Munich itu berlaku hanya beberapa hari sebelum pilihan raya umum Jerman pada Februari 2025 dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar imigresen serta keselamatan negara.
Ia merupakan antara beberapa serangan berasingan yang dilakukan oleh individu berlatarbelakangkan pendatang, sekali gus meningkatkan sokongan terhadap parti sayap kanan, Alternative for Germany (AfD), yang menggesa kawalan imigresen lebih ketat.
Pilihan raya itu menyaksikan gabungan konservatif CDU/CSU muncul sebagai pemenang dengan pemimpinnya, Friedrich Merz, dilantik sebagai Canselor Jerman selepas berjanji memperketat dasar imigresen dan mengekang kebangkitan AfD.
Kes Farhad sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai sistem suaka Jerman, proses pemantauan individu yang berisiko menjadi radikal serta cabaran mengimbangi perlindungan pelarian dengan aspek keselamatan awam di negara itu. – Agensi berita.
