Lelaki Amerika orang pertama panjat Taipei 101
TAIPEI: Pemanjat tembok Amerika berjaya mencapai puncak bangunan tertinggi di Taiwan pada 25 Januari, tanpa tali atau peralatan keselamatan.
Aksi berani di menara Taipei 101 itu menarik perhatian ratusan penonton di lokasi kejadian, selain disaksikan ramai lagi menerusi siaran langsung di platform penstriman, Netflix.
Encik Alex Honnold, 40 tahun, terkenal di seluruh dunia selepas memanjat “El Capitan” di Yosemite pada 2017, sebuah monolit granit yang sangat sukar, dan telah memanjat beberapa muka batu paling menggerunkan di dunia.
Pada 25 Januari, beliau memanjat Taipei 101, yang setinggi 508 meter, sambil orang ramai berkumpul dan bersorak di bawah.
Encik Honnold merupakan orang pertama yang memanjat Taipei 101 secara ‘free solo’ tanpa tali, pengikat atau jaring keselamatan, tetapi bukan orang pertama yang memanjat bangunan besar itu.
Seorang penonton, Encik Benson, 24 tahun, menyifatkan aksi itu sebagai “sangat berani”, manakala yang lain seperti Cik Lin Chia-jou, 54 tahun, memberitahu AFP bahawa beliau merasakan ia “menakutkan” tetapi mengagumi Encik Honnold atas usaha keras yang dicurahkan untuk mencapai impiannya.
Cabaran itu, bertajuk Skyscraper Live, dijadualkan penyiarannya di Netflix pada 24 Januari, tetapi ditangguhkan akibat cuaca buruk.
“Ini adalah impian seumur hidup saya untuk memanjat sebuah pencakar langit,” kata Encik Honnold dalam video promosi untuk pendakian itu di halaman Facebook Netflix pada 20 Januari.
“Jadi saya akan memanjat Taipei 101 secara ‘free solo’ ... Tiada tali, tiada peralatan, hanya saya dan bangunan ini.”
Encik Honnold menyatakan bahawa ini akan menjadi “pendakian free solo bandar terbesar” yang pernah dicuba.
Mengenakan T-shirt merah dan kasut memanjat kuning yang dibuat khas, Encik Honnold bergerak naik bangunan kaca dan besi setinggi 101 tingkat itu dengan pantas.
Cuaca cerah semasa beliau memanjat bahagian tenggara bangunan itu.
Pada satu ketika, beliau dilihat berhenti di sebuah platform untuk melambai kepada peminat dan penonton yang sedang merakam aksi dramatik itu.
Sebaik tiba di puncak, beliau mengangkat kedua-dua tangannya ke udara sambil melihat ke arah orang ramai di bawah.
Orang ramai yang menonton dari dalam bangunan dapat dilihat memerhati dengan kagum dan mengetuk kaca ketika Encik Honnold memanjat melepasi dek pemerhatian kaca tertutup di tingkat 89.
Pengerusi Taipei 101, Cik Janet Chia, berkata pada 24 Januari di Threads bahawa ia menyentuh hati mendengar bahawa peminat sanggup datang dari Singapura, Hong Kong dan selatan Taiwan untuk menonton pendakian itu dan memohon maaf atas kelewatan acara tersebut.
“Tetapi acara epik ini pasti berbaloi untuk dinantikan,” tambah Cik Chia.
Pendakian itu mengambil masa 90 minit untuk sampai ke puncak, di mana beliau dapat dilihat menatap ke bawah pada orang ramai dengan kedua-dua tangan diangkat ke udara.
Pada 2004, Encik Alain Robert, yang digelar “Spiderman Perancis”, merupakan orang pertama yang memanjat pencakar langit itu, tetapi melakukannya dalam keadaan hujan dengan bantuan tali keselamatan. - AFP.

