Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki bawa mayat kakak ke bank untuk keluarkan wang
Lelaki bawa mayat kakak ke bank untuk keluarkan wang
Lelaki bawa mayat kakak ke bank untuk keluarkan wang
KEONJHAR (India): Seorang lelaki Orang Asli di Odisha, India, membawa mayat kakaknya ke sebuah bank selepas mendakwa permohonannya untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak 20,000 rupee ($270) ditolak.
Katanya, tindakan nekad itu diambil selepas bank bertegas mahukan pemilik akaun datang sendiri untuk mengeluarkan wang berkenaan.
Lelaki dikenali sebagai Encik Jeetu Munda, 50 tahun, dipercayai menggali semula kubur kakaknya, Kalra Munda, 56 tahun, sebelum membawa mayatnya ke cawangan Bank Grameen Odisha di Maliposi, daerah Patana.
Kejadian berlaku selepas beliau gagal mengeluarkan wang milik mendiang kakaknya yang meninggal dunia pada 26 Januari lalu.
Difahamkan, wang berkenaan diperoleh hasil daripada jualan lembu dan disimpan dalam akaun atas nama kakaknya.
Encik Jeetu mendakwa beliau sudah beberapa kali hadir ke bank bagi mengeluarkan wang simpanan berkenaan, namun diminta membawa pemilik akaun untuk pengesahan.
“Saya sudah berulang kali ke bank, tetapi mereka meminta saya membawa pemilik akaun untuk mengeluarkan wang itu. Apabila saya beritahu dia sudah meninggal dunia, mereka tidak percaya.
“Kerana kecewa, saya menggali kuburnya dan membawa mayatnya sebagai bukti kematian,” katanya menurut laporan media tempatan, News18.
Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian hadir ke lokasi.
Ketua Balai Polis Patana, Encik Kiran Prasad Sahu, berkata lelaki berkenaan adalah individu buta huruf dan tidak memahami prosedur perbankan.
“Dia tidak tahu mengenai waris sah atau penama akaun. Pihak bank juga gagal menerangkan prosedur pengeluaran wang daripada akaun orang yang telah meninggal dunia,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis membantu memudahkan proses tuntutan wang terbabit, manakala mayat berkenaan dikebumikan semula dengan kehadiran pihak berkuasa.
Dalam kenyataan berasingan, Bank Grameen Odisha menjelaskan individu berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengganggu ketenteraman awam sebelum membawa rangka manusia ke premis bank.
Bank itu turut menyatakan pihaknya tidak pernah meminta kehadiran fizikal pelanggan yang telah meninggal dunia, sebaliknya isu itu berpunca daripada kekeliruan mengenai prosedur tuntutan.
“Tiada sebarang bentuk gangguan berlaku. Bank sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan sijil kematian bagi tujuan penyelesaian tuntutan,” menurut kenyataan itu. – Agensi berita.

