ISTANBUL: Seorang lelaki bertopeng memakai topi keledar dan jaket kalis peluru telah menikam sekurang-kurangnya lima orang dalam kejadian di luar sebuah masjid di barat laut Turkey pada 12 Ogos.
Menurut laporan media tempatan, suspek yang berusia 18 tahun itu telah ditahan polis.
Dengan bersenjatakan pisau panjang, dia dilaporkan menyiarkan serangan dari sebuah taman dekat sebuah masjid di bandar Eskisehir itu secara langsung menerusi klip video di wadah media sosial X, dahulunya Twitter.
Beberapa agensi media melaporkan tujuh orang telah cedera.
“Penyerang itu berpakaian seperti watak dalam permainan video, dengan kapak di pinggangnya, memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, mukanya bertopeng,” lapor laman web Eskisehir Durum.
Imejnya yang diambil juga menunjukkan bahawa dia juga memakai cermin mata di atas topengnya, menyembunyikan wajah sepenuhnya.
Beberapa laman berita mendakwa dia juga memakai “matahari hitam,” simbol Nazi yang terdiri daripada beberapa swastika, di dada.
Penyerang tidak menjerit atau menyatakan apa-apa motivasi atas tindakannya, menurut akhbar harian Cumhuriyet, yang mendakwa dia “dipengaruhi oleh permainan perang” tanpa menjelaskan secara terperinci.
Menurut saksi, dia kelihatan menjuruskan perhatiannya terhadap sekumpulan lelaki yang sedang berbual sebelum menikam salah seorang daripada mereka.
Suspek kemudian memandang ke arah beberapa orang yang terkejut dengan perbuatannya itu.
Dia kemudian mengejar dan menikam seorang lagi mangsa.
Sepanjang klip selama lebih dua minit sebelum suspek dirempuh polis, dia kelihatan tercungap-cungap akibat berlari melalui taman, stesen kereta api dan jalan raya sambil menetak dan menikam beberapa mangsa lagi secara rambang. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg