NEW DELHI: Polis di India telah menahan seorang lelaki kerana didakwa membunuh kekasihnya di rumah mereka, dengan cara memotong badan mangsa menjadi beberapa bahagian dan merebusnya di dalam periuk tekanan (pressure cooker).
Akhbar The Straits Times melaporkan pada Jumaat lalu (9 Jun), kejadian ngeri itu terbongkar selepas seorang jiran menyedari bau busuk yang dari unit pangsapuri di tingkat tujuh sebuah bangunan, milik suspek, Manoj Sane, dan memaklumkannya kepada polis, Rabu lalu.
Apabila polis tiba dan memecahkan pintu rumah itu, mereka menemui bahagian badan mangsa di dalam beberapa baldi, dan bahagian lain dihancurkan dalam pengadun dan direbus dalam periuk tekanan.
Polis berkata, bahagian mayat itu dikenal pasti sebagai kekasih Manoj iaitu Saraswati Vaidya, 32 tahun, dan mengesyaki pembunuhan itu berlaku awal minggu ini.
“Lelaki itu dipercayai membunuh pasangan kekasihnya dan membelah badan mangsa menggunakan gergaji berantai. Bahagian tubuh (mangsa) dihantar ke hospital untuk siasatan lanjut,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai, Jayant Bajbale.
Akhbar The Times of India pada Sabtu bagaimanapun melaporkan mendiang Saraswati membesar di rumah anak yatim di Ahmednagar.
Menurut tiga kakak mangsa, Saraswati telah berkahwin dengan Manoj di sebuah kuil, sekitar lapan tahun lalu.
Manoj, 56 tahun, ditahan pada Rabu dan akan direman sehingga 16 Jun ini.
Tertuduh dikatakan telah membunuh Saraswati di pangsapuri mereka di Mira Road, Mumbai, kata tiga kakak mangsa dalam laporan mereka kepada pihak polis pada Jumaat.
Jiran memberitahu media bahawa mereka tidak mendengar pasangan kekasih itu bergaduh.
Polis berkata, Manoj merebus cebisan badan pasangannya untuk menghilangkan bau busuk dan memasukkannya ke dalam beg plastik untuk dilupuskan.
Media India melaporkan bahawa apabila disoal siasat, Manoj mendakwa Saraswati, yang dibesarkan di rumah anak yatim, membunuh diri dengan memakan racun.
Menurut Manoj, didorong oleh kebimbangan bahawa dia boleh didakwa bersubahat dalam pelakuan membunuh diri itu menyebabkan dia cuba membuang mayat Saraswati dengan memotong mayat wanita itu.
“Dia juga memberitahu polis bahawa Saraswati memutuskan untuk menamatkan hidup dan tidak menyesalinya,” lapor agensi berita ANI dan polis sedang mengesahkan dakwaan Manoj itu.
Polis berkata, Saraswati sering mengunjungi kedai runcit tempat Manoj bekerja dan mengenalinya dengan baik.
Menurut NDTV, mereka berkawan rapat sejak 2014 dan mula tinggal bersama pada 2016. Mereka berpindah ke pangsapuri sekarang, tiga tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg