WASHINGTON: Seorang lelaki di negeri North Dakota, Amerika Syarikat, berdepan pertuduhan di mahkamah persekutuan selepas didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap beberapa pemimpin politik beragama Islam, termasuk Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, dan anggota Dewan Perwakilan Amerika, Cik Ilhan Omar.

Patrick Harlan Dyrud, 52 tahun, turut didakwa mengancam Senator Amerika yang baru dipilih, Encik Abdul El-Sayed, serta beberapa pemimpin Islam lain menerusi catatan di platform media sosial X.

Kes tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pemimpin politik beragama Islam di Amerika sedang pertubuhan hak sivil memberi amaran mengenai kesan peningkatan sentimen kebencian terhadap masyarakat Islam di negara itu.

Menurut dokumen pertuduhan yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika, Dyrud didakwa menggunakan media sosial untuk menyeru supaya beberapa pemimpin Islam dibunuh, selain mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap masyarakat Islam.

Berdasarkan dokumen bersumpah Biro Siasatan Federal (FBI), siasatan dimulakan selepas sebuah badan pemikir bukan mencari untung memaklumkan Pusat Operasi Ancaman Nasional Amerika pada pertengahan November mengenai kewujudan akaun media sosial yang mengandungi ugutan tersebut.

Pihak penyiasat mendapati beberapa catatan dalam akaun berkenaan mengandungi seruan supaya pemimpin Islam terbabit dihapuskan, selain memberi amaran bahawa keselamatan mereka akan terancam sekiranya terus menetap di Amerika.

Satu lagi catatan didakwa menyentuh soal perlindungan keselamatan yang diberikan kepada seorang pegawai awam yang tidak dinamakan, dengan mengandungi ancaman terhadap nyawa individu tersebut.

Penyiasat FBI kemudian mendapatkan rekod daripada platform X, data telefon serta rekod penyedia perkhidmatan Internet bagi mengenal pasti individu di sebalik akaun berkenaan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Hasil siasatan mengaitkan akaun tersebut dengan Dyrud, yang menetap di Hillsboro, North Dakota, dan bekerja dengan sebuah majikan di kawasan Fargo.

Menurut laporan media Amerika, Dyrud pernah berkhidmat dengan pasukan polis di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika di Fargo sebelum dipecat pada Julai 2023.

Antara sebab pemecatannya termasuk masalah yang direkodkan berkaitan cara beliau berurusan dengan golongan wanita, individu daripada kelompok kaum minoriti dan orang Islam.

Dyrud kini berdepan pertuduhan menghantar komunikasi berunsur ancaman merentasi sempadan negeri serta menggunakan ugutan untuk mempengaruhi seorang pegawai persekutuan.

Pertuduhan tersebut masih belum dibuktikan di mahkamah.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), pertubuhan hak sivil dan advokasi masyarakat Islam terbesar di Amerika menyambut baik tindakan pihak berkuasa persekutuan menyiasat kes tersebut dan mengemukakan pertuduhan terhadap Dyrud.

Pengarah Eksekutif Nasional CAIR, Encik Nihad Awad, berkata tindakan pantas pihak berkuasa penting bagi memastikan individu yang mengeluarkan ancaman sedemikian dipertanggungjawabkan.

Beliau menegaskan bahawa setiap pemimpin dan pegawai awam, tanpa mengira agama atau latar belakang, berhak menjalankan tanggungjawab mereka tanpa berdepan ancaman keganasan yang didorong sentimen perkauman atau kebencian terhadap Islam.

“Kami mengalu-alukan tindakan pantas pihak penguat kuasa undang-undang persekutuan dalam menyiasat ugutan bunuh berunsur kebencian yang menyasarkan pegawai awam beragama Islam serta memastikan individu yang didakwa bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Pegawai awam, tanpa mengira agama atau latar belakang mereka, mesti dapat mewakili pengundi masing-masing tanpa berdepan seruan melakukan keganasan yang berunsur perkauman dan Islamofobia,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 November.

Menurut CAIR, kes tersebut turut memperlihatkan bahaya penyebaran sentimen anti-Islam menerusi media sosial, terutama apabila kenyataan berunsur kebencian berkembang menjadi ancaman terhadap keselamatan seseorang.

Pertubuhan itu sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa peningkatan kenyataan berunsur anti-Islam daripada tokoh awam dan menerusi platform dalam talian telah menyumbang kepada peningkatan kejadian diskriminasi, gangguan serta ancaman keganasan terhadap masyarakat Islam di Amerika.

Ancaman sedemikian bukan sahaja menyasarkan pemimpin politik beragama Islam, malah anggota masyarakat Islam dan masjid di seluruh negara itu.

CAIR turut menekankan tanggungjawab pemimpin politik, organisasi media dan pengendali platform media sosial dalam membendung penyebaran ucapan kebencian.

Menurut pertubuhan itu, ancaman keganasan tidak seharusnya dianggap sekadar luahan kemarahan atau perbezaan pandangan politik, terutama apabila ia secara khusus menyasarkan seseorang berdasarkan agama dan latar belakang mereka.

Encik Awad berkata ancaman yang bermula di ruang maya boleh membawa kesan serius terhadap keselamatan individu dan masyarakat dalam kehidupan sebenar.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak membiarkan kenyataan berunsur kebencian dan ancaman terhadap masyarakat Islam menjadi sesuatu yang dianggap biasa.

“Retorik anti-Islam dalam talian terlalu kerap membawa kepada ancaman dalam kehidupan sebenar.

“Pemimpin politik, organisasi media dan platform media sosial sama-sama bertanggungjawab mengecam ucapan kebencian serta memastikan ancaman keganasan terhadap pegawai awam beragama Islam dan anggota masyarakat Islam tidak sekali-kali dianggap perkara biasa atau diabaikan,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti