OSAKA (Jepun): Seorang lelaki di wilayah Osaka telah ditahan kerana disyaki menjual versi cetak rompak filem hitam putih Godzilla tahun 1954, yang diwarnakan semula menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan polis pada 17 Jun.
Ippei Miyamoto, 66 tahun, seorang pekerja sambilan, didakwa menjual cakera video digital (DVD) filem yang memaparkan raksasa reptilia ikonik yang menghembus api dan memusnahkan bandar itu dengan harga 2,980 yen ($26.42) kepada seorang lelaki di Tokyo pada November 2024.
Polis Jepun percaya Miyamoto menggunakan perisian berasaskan AI untuk mewarnakan semula dan menghasilkan DVD berkenaan.
Miyamoto yang ditahan pada Isnin mengaku bersalah dan berkata: “Saya menjualnya walaupun tahu ia satu jenayah.”
Dia turut dipercayai telah menjual kira-kira 1,500 DVD palsu menerusi laman web pasaran barangan terpakai dalam talian dari Januari 2024 hingga Mei 2025, dengan meraih pendapatan sekurang-kurangnya 1.7 juta yen, menurut polis.
Dia mengiklankan DVD tersebut sebagai ‘sah’ dan ‘karya agung yang diwarnakan oleh AI’.
Syarikat Toho Co., pemilik hak cipta dan pengedar francais filem Godzilla, telah membuat aduan kepada polis pada Februari lalu, yang membawa kepada serbuan ke rumah Miyamoto pada 16 Jun dan rampasan kira-kira 70 DVD.
Persatuan Penerbit Filem Jepun, yang turut dianggotai Toho, memaklumkan pihaknya menyedari kewujudan salinan filem yang diwarnakan secara haram sedang beredar dan berikrar untuk mempertingkat pemantauan terhadap penghasilan tidak sah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg