Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Susu unta umpama ‘emas putih’ di selatan Tunisia

Jun 18, 2025 | 11:05 AM
Tunisia, susu, unta
Perahan susu unta dilakukan secara mekanikal, sebelum dibotolkan di stesen ujian Chenchou, wilayah El Hamma di selatan Tunisia. - Foto AFP

MEDENINE (Tunisia): Di tengah kemarau gurun selatan Tunisia, susu unta muncul sebagai ‘emas putih’ yang menjanjikan peluang ekonomi baru dan harapan kepada masyarakat yang terkesan dengan kemiskinan dan pengangguran tinggi.

Inisiatif keusahawanan yang diketuai wanita ini bukan sahaja memanfaatkan khasiat luar biasa susu unta, malah berpotensi mengubah landskap sosioekonomi wilayah itu.

Cik Latifa Frifita, 32 tahun, muncul sebagai penggerak utama usaha ini apabila beliau melancarkan unit pertama – dan setakat ini satu-satunya – pempasturan susu unta di Tunisia, pada 2023 di Médenine.

Unit itu dibangunkan berdasarkan kajian Cik Amel Sboui, 45 tahun, ahli biokimia kanan di Institut Kawasan Gersang, yang berjaya mempatenkan kaedah pempasturan yang mengekalkan khasiat susu unta dan memanjangkan hayat simpanannya hingga dua minggu.

Susu unta diketahui mengandungi sehingga lima kali lebih zat besi berbanding susu lembu, tidak menyebabkan alahan dan dipercayai memiliki khasiat antiradang serta penguat imun.

Kajian klinikal turut menunjukkan ia membantu penghidap kencing manis mengurangkan dos ubat sehingga separuh dalam sesetengah kes.

Cik Frifita, lulusan sarjana teknologi makanan, memulakan perniagaan ChameLait pada 2023 dengan sokongan institut tersebut yang turut menyediakan ruang operasi.

Pada awalnya, beliau sukar meyakinkan penternak untuk menjual susu – yang lazimnya hanya digunakan sendiri atau diberi percuma – berbanding daging.

Namun, selepas membina kepercayaan dan menyaksikan permintaan yang semakin meningkat, Cik Frifita kini menjalankan perniagaan bersama dua wanita lain – termasuk kakaknya, Cik Besma – dengan pengeluaran sekitar 500 liter susu dipastur seminggu dan sasaran untuk menggandakannya dalam tempoh dua tahun.

Produk ChameLait dijual berdasarkan permintaan dan melalui kira-kira 12 kedai runcit, pada harga 12 dinar Tunisia ($5.24) seliter, iaitu dua kali ganda harga belian dari penternak.

Permintaan terus meningkat hasil promosi mulut ke mulut tentang manfaat kesihatan susu ini.

Institut turut menyasarkan potensi baru melalui susu unta kering beku yang mungkin boleh dijadikan ubat, makanan berfungsi atau suplemen pada masa hadapan.

Dengan kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi di Medenine – masing-masing pada 22 dan 19 peratus – projek seperti ChameLait menawarkan peluang ekonomi yang amat diperlukan.

Institut berkenaan melihat model ini sebagai cara untuk mencipta nilai tambah dan pekerjaan, sekali gus menggalakkan belia tempatan untuk terus membina masa depan mereka di Tunisia.

Sejak 2010, institut itu sudah membantu menubuhkan 80 perniagaan dan mewujudkan sehingga 1,000 pekerjaan.

Sebuah pusat pengumpulan susu unta berskala besar dijangka dibuka hujung 2025 untuk memperluas pemperahan automatik dan menjadikan susu unta sebagai ‘emas putih’ selatan Tunisia. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg