LONDON: Polis antipengganasan Britain menamakan seorang warga Britain berketurunan Syria sebagai pelaku serangan ke atas rumah ibadat yang mengorbankan dua orang.
Jihad Al-Shamie, 35 tahun, melakukan serangan ke atas Saumaah Perhimpunan Hebrew Heaton Park di Manchester pada pagi 2 Oktoberk.
Demikian menurut kenyataan Polis Pencegah Pengganasan dan Polis Greater Manchester.
Dalam serangan itu, dua lelaki maut dan tiga lagi mengalami kecederaan serius semasa upacara, Yom Kippur, hari paling suci dalam kalendar Yahudi.
Menurut polis, penyerang memandu kenderaan ke arah orang ramai di luar rumah ibadat itu dan kemudian menyerang mereka dengan pisau, sebelum ditembak mati oleh pegawai.
Dia memakai jaket yang dikatakan polis mempunyai “rupa mirip alat letupan”.
Al-Shamie memasuki Britain sebagai seorang kanak-kanak dan telah diberikan status warga negara itu pada 2006 sebagai seorang kanak-kanak di bawah umur, kata seseorang yang biasa dengan perkara itu.
Perdana Menteri, Encik Keir Starmer, yang berucap menerusi televisyen selepas memendekkan kehadirannya di sidang puncak Eropah di Copenhagen, menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganas yang menyerang orang Yahudi kerana mereka adalah Yahudi”.
“Meskipun ini bukan kebencian baru, ia adalah sesuatu yang selalu dihadapi oleh orang Yahudi dan jelas adalah kebencian yang meningkat sekali lagi, dan Britain mesti membanterasnya sekali lagi,” kata beliau.
Encik Starmer menghadiri upacara di rumah ibadat di London itu pada petang 2 Oktober sebagai menunjukkan perpaduan dengan masyarakat Yahudi.
Ekoran kejadian itu, polis menahan tiga orang – dua lelaki dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita berusia 60-an – kerana disyaki melakukan serangan tersebut, membuat persediaan dan menghasut tindakan pengganasan.
Serangan itu merupakan kejadian pengganas paling serius di Britain dalam beberapa tahun.
Meskipun polis berkata mereka masih berusaha memahami motif di sebalik serangan, perkhidmatan keselamatan dan masyarakat Yahudi Britain telah berjaga-jaga sejak dua tahun lalu selepas peningkatan insiden anti-Yahudi berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel dan tindak balas Israel di Gaza.
Kejadian itu akan menimbulkan keprihatinan terhadap hubungan masyarakat Britain yang sudah tegang dan pendekatannya untuk memerangi pengganasan dan anti-Yahudi.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kritikan terhadap Encik Starmer, dan menyiarkan di media sosial:
“Kelemahan dalam menghadapi pengganasan hanya membawa kepada lebih banyak pengganasan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg