Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis dibaling bom botol dalam protes antipendatang asing di Ireland Utara

Jun 12, 2025 | 2:06 PM
antiimigresen, ballymena, ireland utara, protes
Penunjuk perasaan dalam bantahan membaling bom botol ke arah polis pencegah rusuhan pada malam ketiga tunjuk perasaan antiimigresen di Ballymena, Ireland Utara, pada 11 Jun. - Foto AFP

BALLYMENA (Ireland): Ratusan orang berkumpul di jalan-jalan Ballymena di Ireland Utara pada 11 Jun, berdepan polis bersenjatakan perisai rusuhan dan menggunakan meriam air pada malam ketiga tunjuk perasaan berhubung antipendatang.

Namun, mereka akhirnya bersurai tanpa mengulangi adegan huru-hara sejak dua malam sebelumnya, apabila rumah dan kedai dibakar dan 32 pegawai polis cedera.

Bantahan tercetus di bandar utara selepas penahanan dua remaja yang dituduh cuba merogol seorang remaja.

Kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah pada 9 Jun.

Mereka meminta jurubahasa Romania untuk membantu mereka.

Polis belum mengesahkan etnik kedua-dua remaja itu tetapi kawasan yang diserang pada 9 dan 10 Jun termasuk kejiranan tempat tinggal pendatang Romania.

Menteri daripada setiap pihak dalam eksekutif perkongsian kuasa wilayah itu mengutuk sekeras-kerasnya “keganasan bermotif perkauman yang disaksikan sejak beberapa hari kebelakangan ini”.

Penduduk telah diserang dan polis cedera, kata mereka dalam kenyataan bersama, sambil menggesa orang ramai supaya menolak agenda “pemecah belah” oleh golongan minoriti.

Sebagai tindak balas kepada apa yang mereka sifatkan sebagai “samseng perkauman”, polis mengerahkan pegawai pencegah rusuhan dengan anjing dan telah meminta pasukan di England dan Wales agar membantu meredakan keadaan.

Wartawan AFP melihat penunjuk perasaan membaling bom botol, batu bata dan sebagainya ke arah barisan kereta berperisai polis.

Satu pengadang jalan telah dibakar, ketika orang ramai memerhati berhampiran.

Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyifatkan pergolakan di Ballymena sebagai “keganasan tanpa akal”.

Sekitar 32 kilometer ke tenggara bandar itu, lelaki bertopeng telah membakar pusat riadah di Larne.

Pusat itu melindungi sementara penduduk dari Ballymena yang telah dipindahkan.

Mereka yang tinggal di Ballymena menggambarkan adegan itu sebagai “mengerikan” apabila penyerang menyasarkan “orang asing” sejak beberapa hari sebelumnya.

Sesetengah orang memasang papan tanda di rumah mereka yang menunjukkan mereka berasal dari Filipina atau menggantung bendera Britain.

Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) berkata dalam satu kenyataan bahawa pegawainya “diserang berterusan selama beberapa jam dengan beberapa bom petrol, batu bata...”

Beberapa pegawai yang cedera memerlukan rawatan hospital.

Penolong Ketua Polis Konstabel, Encik Ryan Henderson, berkata keganasan itu “jelas bermotif perkauman dan disasarkan kepada komuniti etnik minoriti dan polis”.

Enam orang ditangkap dalam rusuhan malam kedua di Ballymena dan kawasan sekitarnya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg