Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwa raya: Suspek rancang serangan bom api di Colorado selama setahun

Jun 3, 2025 | 1:12 PM
Colorado, molotov
Pegawai polis memberkas suspek, seorang warga Mesir, selepas dia melontar dua bom Molotov ke arah perhimpunan pro-Israel di Boulder, Colorado. - Foto REUTERS

COLORADO (Amerika Syarikat): Suspek warga Mesir yang melontar bom petrol pada perhimpunan pro-Israel di bandar Boulder, Colorado, sehingga mencederakan sedozen orang, menghabiskan masa setahun merancang serangannya dan menggunakan koktel Molotov.

Dia dikatakan menggunakan bahan letupan itu kerana statusnya sebagai bukan warga menghalangnya daripada membeli senjata api, kata pendakwa raya pada 2 Jun.

Mohamed Sabry Soliman, 45 tahun, memberitahu penyiasat bahawa dia mahu “membunuh semua orang Zionis” tetapi menangguhkannya sehingga selepas anak perempuannya tamat sekolah menengah.

Mahkamah negeri dan persekutuan mendakwanya dengan cubaan membunuh dan melakukan jenayah kebencian.

Soliman memberitahu penyiasat bahawa dia telah belajar cara membuat bom api daripada YouTube.

Pihak berkuasa berkata dia berada di negara itu secara haram – tinggal melebihi tempoh visa pelancong dan permit kerjanya telah tamat tempoh.

Pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump memetik serangan pada 1 Jun itu sebagai contoh mengapa mereka membanteras pendatang haram.

Afidavit polis berkata dia dilahirkan di Mesir, tinggal di Kuwait selama 17 tahun dan berpindah tiga tahun lalu bersama isteri dan lima anaknya ke Colorado Springs, kira-kira 61 kilometer ke selatan Boulder.

Pihak berkuasa berkata Soliman dipercayai bertindak sendirian.

Menurut afidavit polis Boulder, Soliman telah merancang selama setahun untuk melakukan serangan di Pearl Street Mall, sebuah daerah beli-belah yang popular berhampiran Universiti Colorado.

Afidavit itu menyatakan suspek “melemparkan dua bom Molotov yang menyala ke arah peserta perhimpunan pro-Israel”, sambil menjerit, “Bebaskan Palestin”.

Mangsa, kebanyakannya warga emas, menyertai acara anjuran Run for Their Lives, sebuah organisasi yang menumpukan perhatian kepada tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan pada 2023 ke atas Israel.

Serangan itu adalah tindakan pengganasan terbaru yang ditujukan kepada orang Yahudi Amerika yang dikaitkan dengan kemarahan terhadap serangan tentera Israel yang semakin meningkat di Gaza.

Ia susulan kejadian tembakan maut terhadap dua pembantu Kedutaan Israel di luar Muzium Yahudi di Washington pada Mei.

Peguam Negara, Cik Pam Bondi, menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganas anti-Semitik”.

Pihak berkuasa berkata mereka menemui 16 bom Molotov yang berisi petrol berhampiran tempat suspek ditahan.

Polis turut menemui tong petrol di dalam keretanya yang diletakkan berhampiran dan penyembur berisi petrol di tempat kejadian.

Suspek berdepan hukuman penjara maksimum seumur hidup jika didapati bersalah atas tuduhan jenayah kebencian dan cubaan membunuh. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg