Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki mengaku bersalah serang anggota Kongres AS
Lelaki mengaku bersalah serang anggota Kongres AS
Lelaki mengaku bersalah serang anggota Kongres AS
WASHINGTON: Seorang lelaki mengaku bersalah pada 7 Mei atas tuduhan menyerang anggota Kongres Amerika Syarikat, Cik Ilhan Omar, dalam satu sesi dialog awam di Minneapolis, pada 27 Januari.
Kejadian itu berlaku ketika anggota kongres parti Demokrat berkenaan sedang mengecam tindakan keras Presiden parti Republikan, Encik Donald Trump, terhadap isu imigresen, kata Jabatan Kehakiman Amerika.
“Anthony James Kazmierczak, 55 tahun, mengaku bersalah hari ini (7 Mei) atas satu tuduhan menyerang pegawai Amerika Syarikat di Mahkamah Daerah Amerika,” kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.
Dalam perbicaraan pada 7 Mei di depan Hakim Daerah Amerika, Cik Joan Ericksen, Kazmierczak mengakui bahawa dia “merancang serangan tersebut dan tidak bersetuju dengan pandangan politik anggota Kongress, Cik Omar”, ujar kenyataan tersebut.
Sewaktu menyampaikan ucapannya dalam sesi dialog itu, Cik Omar sedang mengkritik Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (Ice) negara tersebut atas tindakan keras mereka di Minnesota, serta kejadian tembakan oleh ejen persekutuan yang mengorbankan dua warga Amerika di Minneapolis.
Tindakan keras Encik Trump dan penahanan oleh Ice telah dikecam secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap hak proses undang-undang dan kebebasan bersuara.
Pendukung hak asasi juga menyatakan bahawa tindakan keras tersebut telah mewujudkan keadaan tidak selamat, terutama bagi golongan etnik minoriti.
Kazmierczak telah menyembur Cik Omar dengan cuka epal menggunakan picagari, atau syringe, yang terkena pada pakaian dan kulitnya, kata Jabatan Kehakiman, sambil menambah bahawa analisis makmal kemudian mengesahkan cecair tersebut mengandungi asid asetik.
Mujur, Cik Omar tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan tersebut.
Cik Omar, yang beragama Islam, merupakan anak kelahiran Somalia yang tiba di Amerika ketika berusia 12 tahun dan menjadi warganegara Amerika pada 2000.
Encik Trump telah berulang kali menyasarkan Cik Omar dalam kenyataan awam dan hantaran di media sosial.
Beliau turut mengkritik latar belakang Cik Omar yang berasal dari Somalia, selain menyatakan bahawa anggota Kongres itu sepatutnya “ditempatkan di institusi” dan diusir dari Amerika.
Dalam sesi dialog tersebut, Kazmierczak membuat isyarat yang menimbulkan provokasi dan menjerit ke arah Cik Omar sebelum anggota keselamatan berjaya menjatuhkannya.
Penyerang tersebut kemudian ditahan polis.
Pertemuan yang berlangsung di Minneapolis itu terganggu seketika, namun Cik Omar meneruskan ucapannya setelah itu.
Sejak kebelakangan ini, pakar politik telah menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan politik dalam persekitaran Amerika yang semakin bertentangan, dengan jurang perbezaan pendapat antara dua pihak yang dilihat sebagai semakin meruncing. – Reuters.

