Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki M’sia lari maraton 10km sambil bawa kucing atas bahu

Nov 7, 2024 | 6:20 PM
Pemilik Encik Azhan Dziaruddin, lebih dikenali sebagai Apak, bersama kucing peliharaannya, Jibek, baka campuran Maine Coon, menyertai acara maraton, The Magnificent Baling, di Kedah pada 26 Oktober 2024.
Pemilik Encik Azhan Dziaruddin, lebih dikenali sebagai Apak, bersama kucing peliharaannya, Jibek, baka campuran Maine Coon, menyertai acara maraton, The Magnificent Baling, di Kedah pada 26 Oktober 2024. - Foto tangkap layar Tiktok JIBEK.HIKERS.CAT

Bayangkan sedang anda lari maraton, anda bawa beg seberat 10 kilogram.

Bukan barangan sahaja yang dibawa, tetapi berat beg itu termasuk seekor kucing yang bonceng atas beg, sepanjang larian maraton tersebut.

Itulah Jibek, kucing peliharaan warga Malaysia Enck Azhan Dziaruddin, yang jinak duduk di bahu pemiliknya.

Ke mana Encik Azhan pergi, tidak kira mendaki, berlari maraton ataupun melakukan aktiviti elemen tinggi seperti paragliding, Jibek juga turut serta.

View post on Instagram
 

Apabila ditanya apa makna sebalik nama Jibek, Encik Azhan, yang lebih mesra dipanggil Apak, menjawab bahawa sejak kecil kucingnya itu suka menjilat beg. “Kita majmukkan perkataan ‘jilat’ dan ‘beg’ jadi Jibek,” selorohnya.

Jibek, seeokor kucing baka campuran Maine Coon, kini berusia tujuh tahun, dengan berat badan sekitar 7.5 kilogram.

“Berat Jibek dalam 7.5 kilogram, tidak termasuk berat beg dan barang-barang yang dibawa sekali. Jadi keseluruhannya sekitar 10 kilogram,” jelas Apak kepada Berita Harian.

Mengulas lebih lanjut mengenai Jibek yang memboncengnya semasa berlari maraton, Apak berkata: “Awal-awal terasa berat juga, tetapi lama-kelamaan rasa biasa dan tidak terasa bebannya lagi.”

Apak menceritakan bahawa beliau membawa Jibek melakukan aktiviti luar sejak 2017 dengan mengembara berjalan kaki ataupun mendaki gunung.

“Tujuan sebenar membawa Jibek sebab dulu apabila saya tinggal seorang, tiada sesiapa yang boleh bantu menjaganya kalau saya pergi trip mendaki gunung selama dua atau tiga hari, jadi saya bawa dan dia pun suka ikut,” jelas penyelia sumber manusia (HR) berusia 42 tahun itu.

Duo itu mula turut serta dalam acara maraton hanya pada 2022 dan sejauh ini telah menyelesaikan sebanyak 45 acara lari dengan jarak 5 kilometer hingga 21 kilometer.

Sebelum berlari maraton, Apak akur terdapat beberapa persiapan yang harus dilaksanakan.

“Sebab lari dengan Jibek, harus sediakan makananannya, penyembur air dan kipas, kalau cuaca menjadi terlalu panas, dan baju hujan serta payung kalau hujan. Dan juga ‘harness’ untuk memasang Jibek ke beg,” jelas Apak.

Video Jibek dan Apak menjadi viral di media sosial apabila Apak merakamkan perjalanan maraton sejauh 10 kilometer, dengan Jibek di atas bahunya, semasa acara maraton The Baling Magnificent, di Kedah, Malaysia pada 26 Oktober 2024.

Menurut jarak rakamannya sendiri Apak merakamkan sekitar 15 kilometer dan telah menyelesaikannya dalam 2 jam 20 minit.

Videonya di Tiktok telah mencecah lebih 600,000 tontonan dan mendapat lebih 100,000 ‘likes’.

Jibek kelihatan tenang atas bahu Apak, menikmati suasana persekitaran. Dalam pertengahan video, Jibek juga telah menggunakan topi untuk berteduh daripada terik matahari.

Jibek bertopi, elak terikan matahari semasa membonceng pemiliknya berlari maraton.
Jibek bertopi, elak terikan matahari semasa membonceng pemiliknya berlari maraton. - Foto tangkap layar Tiktok JIBEK.HIKERS.CAT

Pada akhir video itu, Jibek juga menerima pingat menyelesaikan acara maraton tersebut. Dia siap bergambar dengan kaca mata birunya.

Ramai warganet yang memuji dan komen di halaman akaun Encik Apak.

“Hahaha orang lain yang lari orang lain dapat medal,” seloroh warganet AimiAzam.

Membandingkan diri dengan Apak, warganet Syzlnn komen: “ Nak bawa kucing turun tangga pun tak larat. Apatah lagi nak bawa berlari.”

Berkaca mata biru, dengan pingat terbarunya, Jibek selesai satu lagi acara maraton, The Baling Magnificent, di Kedah.
Berkaca mata biru, dengan pingat terbarunya, Jibek selesai satu lagi acara maraton, The Baling Magnificent, di Kedah. - Foto ihsan AZHAN DZIARUDDIN

Ada beberapa komen juga yang berkata: “Balik nanti mesti dia (Jibek) yang terpaling letih,” kata Atai Moos dengan emoji ketawa. Apak setuju dengan komen tersebut dan menjawab “pasti” dengan emoji senyuman lebar.

Antara lain, Apak meluahkan azamnya untuk mengumpul 50 pingat menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, maraton seterusnya ialah acara Silva Sekinchan Ultra, di Selangor pada 10 November 2024. Beliau akan menyertai acara lari jarak 21 kilometer.

“Jika kesempatan sebelum akhir tahun ini, saya juga ingin pergi paragliding di Kuala Kubu Bharu sekali lagi bersama Jibek,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg