BORDEAUX: Seorang lelaki berketurunan Perancis-Algeria mula dibicarakan pada 24 Mac atas kesalahan membakar isterinya hingga mati pada tahun 2021, satu kes yang mengejutkan rakyat Perancis dan mencetuskan kritikan hebat terhadap pihak polis kerana didakwa gagal melindungi mangsa daripada keganasan rumah tangga.
Tertuduh, Mounir Boutaa, 48 tahun, didakwa membunuh isterinya, Cik Chahinez Daoud, dengan membakar mangsa hidup-hidup selepas menghendapnya selama beberapa minggu berikutan perpisahan mereka. Dia turut membeli sebuah van yang diletakkan di hadapan rumah mangsa di Bordeaux, barat daya Perancis, dan menggunakannya untuk mengintip tanpa disedari.
Mahkamah diberitahu pada 4 Mei 2021, tragedi menyayat hati berlaku apabila Boutaa menyerang isterinya di tepi jalan, menembaknya di kedua-dua kaki, kemudian menyiram petrol ke seluruh badan mangsa sebelum membakarnya hidup-hidup. Seorang jiran yang terdengar jeritan mangsa cuba memberikan bantuan, namun segalanya sudah terlambat.
Mayat Cik Daoud ditemui dalam keadaan rentung sepenuhnya. Mangsa berusia 31 tahun dan merupakan ibu kepada tiga orang anak. Lebih mengejutkan, Boutaa dilaporkan merakam sebahagian kejadian ngeri itu dengan telefon bimbitnya sendiri.
Setelah ditahan, dia memberitahu pihak berkuasa: “Saya memang mahu bakar dia... kerana apa yang dia dan sistem keadilan lakukan terhadap saya.” Namun dia menafikan mempunyai niat untuk membunuh isterinya dan mendakwa hanya ingin “mengajarnya”, membakarnya “sedikit” dan memastikan dia akan “mempunyai kesan parut”.
Boutaa, yang bekerja sebagai buruh binaan, baru sahaja dibebaskan dari penjara pada penghujung tahun 2020 selepas menjalani hukuman kerana mencekik isterinya dan mengugut menggunakan pisau. Dia juga pernah dituduh melakukan keganasan rumah tangga terhadap pasangannya sebelum ini.
Mahkamah sebelum ini telah mengeluarkan perintah sekatan terhadapnya agar tidak menghampiri mangsa. Namun, mereka dilaporkan kembali tinggal bersama sehinggalah Cik Daoud membuat aduan terbaru kepada polis pada Mac 2021.
Siasatan mendapati laporan aduan tersebut tidak ditangani secara serius oleh seorang anggota polis yang sebelum itu turut didapati bersalah dalam kes keganasan rumah tangga.Pihak berkuasa membuka siasatan terhadap kegagalan sistemik oleh pihak polis.
Mangsa juga tidak dibekalkan dengan peranti khas ‘telefon kecemasan’ yang sepatutnya membolehkannya menghubungi pihak berkuasa secara serta-merta sekiranya berada dalam situasi bahaya.
Malah, suaminya juga tidak diarahkan memakai gelang elektronik yang boleh digunakan untuk memantau pergerakannya dan memberi amaran jika menghampiri mangsa.
Susulan siasatan tersebut, lima anggota polis dikenakan tindakan disiplin. Keluarga mangsa turut memfailkan tuntutan undang-undang terhadap Perancis atas dakwaan “kegagalan serius” dalam melindungi Cik Daoud.
Di luar mahkamah, puluhan penunjuk perasaan berkumpul menzahirkan kemarahan mereka terhadap layanan kes ini.
“Kami datang hari ini untuk mengecam pihak berkuasa, terutama pemerintah yang gagal menjalankan tanggungjawab.. terutama terhadap polis yang tidak melindungi wanita-wanita seperti Chahinez,” kata seorang penunjuk perasaan.
Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri Perancis, sebanyak 96 kes pembunuhan rumah tangga terhadap wanita direkodkan sepanjang tahun 2023, iaitu penurunan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun bagi ramai aktivis, satu kematian pun sudah terlalu banyak. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg