Singapura mengutuk serangan ngeri di pasar Krismas Magdeburg di Saxony-Anhalt, Jerman, yang membunuh lima orang dan mencederakan 200, pada 20 Disember.
Dalam satu kenyataan pada 22 Disember, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan tidak ada sebarang perkara yang mewajarkan serangan sedemikian dilakukan terhadap orang tidak bersalah.
MFA menambah bahawa ingatan Singapura dan warganya ditujukan kepada mangsa dan keluarga mereka, dengan harapan mereka yang cedera akan cepat sembuh.
“Kami melahirkan perpaduan kami dengan rakyat Jerman dalam kesedihan dan menyakitkan ini,’‘ ujarnya.
Menurut MFA, Kedutaan Singapura di Berlin telah menghubungi warga Singapura yang berdaftar di Saxony-Anhalt.
Kedutaan itu juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Jerman untuk mengetahui sama ada terdapat warga Singapura yang terjejas.
Namun, MFA berkata setakat ini tiada laporan mengenai sembarang rakyat Singapura terjejas atau cedera secara langsung akibat kejadian itu.
MFA turut menasihatkan rakyat Singapura di Jerman supaya memantau dengan teliti berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa di negara itu.
“Mereka harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu, termasuk mengelakkan tempat sesak, terutamanya tempat kejadian berhampiran daerah Magdeburg Alter Markt.
“Mereka juga dinasihatkan supaya terus berhubung dengan keluarga dan rakan mereka untuk memberikan maklumat terkini tentang keselamatan mereka dan e-Daftar dengan MFA jika mereka belum berbuat demikian,” ujar MFA
Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular hendaklah menghubungi Kedutaan Singapura di Berlin atau Pejabat Petugas MFA yang beroperasi sepanjang 24 jam.
Kedutaan Singapura di Berlin boleh dihubungi menerusi talian +49-30-2263-430 atau menerusi telefon bimbit petugas +49-152-2341-2182 atau emel Singemb_ber@mfa.sg.
Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Petugas MFA (24 jam) di talian +65-6379-8800/8855 atau e-mel mfa_duty_officer@mfa.gov.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg