LONDON: Seorang lelaki kelahiran Turkey yang membakar Al-Quran di London dijatuhi hukuman pada Isnin atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam bermotifkan kebencian agama.
Namun, kes berkenaan mendapat pembelaan kumpulan pejuang kebebasan bersuara.
Hamit Coskun, 50 tahun, menjerit ‘Islam agama keganasan’ dan ‘Al-Quran sedang dibakar’ semasa membakar kitab suci itu di luar Konsulat Turkey di London pada Februari lalu.
Hakim Daerah John McGarva di Mahkamah Majistret Westminster mendapati Coskun bersalah berikutan berkelakuan tidak senonoh berdasarkan ‘pendengaran atau pengamatan seseorang yang mungkin terganggu, terancam atau cemas akibatnya’.
Encik McGarva berkata Coskun mempunyai motif kebencian terhadap penganut agama tertentu iaitu Islam, dan menjatuhkan denda £240 ($417.61) serta surcaj undang-undang £96.
“Tindakan kamu membakar Al-Quran di lokasi itu sangat provokatif disertai kata-kata kesat yang menyasar agama dan sekurang-kurangnya sebahagiannya bermotifkan kebencian terhadap penganut Islam,” kata Encik McGarva.
Pendakwa raya menegaskan Coskun tidak didakwa kerana membakar al-Quran, tetapi kerana kelakuan tidak senonoh di tempat awam.
“Dia didakwa atas tingkah laku yang mengganggu ketenteraman awam,” kata Philip McGhee dari Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS).
Seorang orang awam merakam kes itu, turut menunjukkan seorang lelaki dipercayai memegang pisau atau senjata tajam menghampiri Coskun dan dilihat cuba menyerangnya, menurut keterangan mahkamah.
Coskun, seorang ateis yang kini memohon suaka di United Kingdom (UK), mendakwa melalui media sosial bahawa dia melakukan bantahan terhadap kerajaan Islam pimpinan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.
Kos guamannya ditanggung oleh Free Speech Union (FSU) dan National Secular Society, yang berhujah bahawa dia secara tidak langsung sedang dihukum atas jenayah menghina agama walaupun Britain menjamin kebebasan bersuara.
FSU menyifatkan keputusan itu sebagai ‘amat mengecewakan’ di akaun X mereka.
“Semua orang patut bebas untuk meluahkan pendapat dan memprotes secara aman, walaupun ia dianggap menghina atau menyakitkan hati sesetengah pihak,” kata kenyataan FSU.
Dalam kenyataan melalui FSU, Coskun berkata sabitan ke atasnya adalah ‘serangan terhadap kebebasan bersuara’.
“Undang-undang penghinaan agama Kristian telah dimansuhkan lebih 15 tahun lalu di negara ini.
“Tidak wajar seseorang didakwa kerana menghina Islam.
“Kalau saya bakar kitab Injil di luar Westminster Abbey, adakah saya akan didakwa? Saya sangsi (akan dikenakan tindakan),” katanya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg