Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga Keamanan bincang kerjasama firma UAE bagi pemulihan Gaza
Lembaga Keamanan bincang kerjasama firma UAE bagi pemulihan Gaza
Lembaga Keamanan bincang kerjasama firma UAE bagi pemulihan Gaza
WASHINGTON: Wakil kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melalui Lembaga Keamanan telah mengadakan perbincangan dengan DP World, sebuah syarikat multinasional milik kerajaan Dubai.
Ia bagi mengurus rantaian bekalan dan projek prasarana di Gaza, lapor Financial Times, pada 21 April.
Menurut laporan tersebut, rundingan itu tertumpu kepada kemungkinan kerjasama strategik untuk mengendalikan logistik kemasukan bantuan kemanusiaan dan barangan asas ke wilayah Palestin yang musnah akibat konflik berpanjangan.
Sumber yang mengetahui mengenai perbincangan tersebut berkata usaha itu melibatkan penyediaan sistem gudang, penjejakan barangan serta aspek keselamatan pengagihan bantuan.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada bagaimana memastikan bantuan dan bekalan dapat disalurkan dengan lebih teratur, termasuk melalui sistem logistik moden,” katanya.
Usaha pembinaan semula Gaza dianggar memerlukan sekitar AS$71 bilion ($90 bilion), selepas lebih dua tahun serangan ketenteraan yang memusnahkan kira-kira empat perlima bangunan di wilayah itu.
Pelan itu bukan sahaja melibatkan bantuan kecemasan, bahkan juga pembangunan semula ekonomi dan prasarana secara menyeluruh.
Selain pengurusan logistik, rundingan turut menyentuh cadangan pembinaan pelabuhan baharu sama ada di Gaza atau di pesisir Mesir berdekatan.
Pelabuhan tersebut berpotensi dibangunkan oleh DP World, bersama cadangan mewujudkan zon perdagangan bebas bagi merangsang ekonomi Gaza yang lumpuh.
Seorang penganalisis berkata langkah itu boleh mengubah landskap ekonomi wilayah tersebut jika dilaksanakan.
“Jika prasarana seperti pelabuhan dan zon perdagangan berjaya diwujudkan, ia boleh menjadi asas kepada pemulihan ekonomi jangka panjang Gaza,” katanya.
Lembaga Keamanan diusulkan oleh Encik Trump pada September lalu, sebagai mekanisme untuk menyelia pelan menamatkan perang di Gaza dan mengurus pembinaan semula.
Pelan tersebut membayangkan pengunduran tentera Israel diikuti proses pembangunan semula, dengan syarat kumpulan Hamas meletakkan senjata.
Namun, isu pelucutan senjata Hamas kekal menjadi halangan utama dalam rundingan.
Utusan utama lembaga itu ke Gaza, Encik Nickolay Mladenov, berkata perbincangan dengan Hamas berjalan dalam suasana mencabar tetapi menunjukkan perkembangan positif.
“Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat serius dengan Hamas dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan ia bukan mudah,” katanya.
Beliau menambah: “Saya agak optimistik kita boleh mencapai satu susunan yang berfungsi untuk semua pihak, dan paling penting untuk rakyat Gaza.”
Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa sekutu Amerika telah menyumbang lebih AS$7 bilion kepada usaha bantuan Gaza, manakala Washington sendiri merancang menyumbang sekitar AS$10 bilion.
Namun, laporan menunjukkan hanya sebahagian kecil daripada dana yang dijanjikan telah diterima setakat ini.
Encik Mladenov bagaimanapun menegaskan bahawa isu kewangan bukan penghalang utama.
“Semua dana yang dijanjikan tersedia untuk Lembaga Keamanan. Kami tidak menghadapi masalah kewangan dalam melaksanakan tugas ini,” katanya.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober lalu, keganasan masih dilaporkan berterusan di Gaza, dengan sebahagian besar wilayah kekal dalam keadaan musnah.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pelan pembinaan semula boleh dilaksanakan dengan berkesan tanpa kestabilan keselamatan yang kukuh.
Seorang pemerhati geopolitik berkata kejayaan pelan itu bergantung kepada beberapa faktor kritikal.
“Tanpa keselamatan, kesepakatan politik dan penerimaan tempatan, walaupun pelan ini lengkap dari segi logistik dan dana, pelaksanaannya tetap berisiko,” katanya. – Agensi berita.
