Trump dijangka umum dana Gaza, tentera pada mesyuarat pertama Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dijangka umum dana Gaza, tentera pada mesyuarat pertama Lembaga Keamanan

Feb 13, 2026 | 9:29 AM

Trump dijangka umum dana Gaza, tentera pada mesyuarat pertama Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
gaza, palestin, khemah pelarian, al-zaitun
Khemah sementara yang didirikan oleh keluarga Palestin yang dipindahkan di celah runtuhan kawasan kejiranan Al-Zaitun di Bandar Gaza, 12 Februari ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berkuat kuasa. Walaupun bantuan kemanusiaan meningkat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa keadaan masih “parah”, dengan kanak-kanak berdepan kekurangan serius dari segi tempat perlindungan, perkhidmatan asas dan akses pendidikan. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijangka mengumumkan pelan pembinaan semula Gaza bernilai berbilion dolar serta butiran penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang diberi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mesyuarat rasmi pertama Lembaga Keamanan beliau pada 19 Februari.

Menurut dua pegawai kanan Amerika yang bercakap kepada Reuters dengan syarat tidak dinamakan, mesyuarat itu akan berlangsung di Washington pada 19 Februari dan dipengerusikan sendiri oleh Encik Trump.

Delegasi dari sekurang-kurangnya 20 negara, termasuk beberapa ketua negara, dijangka hadir.

Encik Trump sebelum ini menandatangani dokumen penubuhan Lembaga Keamanan itu di Davos, Switzerland, pada 23 Januari.

Penubuhan lembaga berkenaan turut mendapat sokongan melalui ketetapan Majlis Keselamatan PBB sebagai sebahagian daripada pelan Gaza yang diperkenalkannya.

Walaupun beberapa kuasa serantau Asia Barat seperti Turkey, Mesir, Arab Saudi dan Qatar, serta negara membangun utama seperti Indonesia telah menyertai lembaga tersebut, beberapa kuasa besar dunia dan sekutu tradisional Barat Amerika dilaporkan lebih berhati-hati.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ketika lawatannya ke Washington pada 11 Februari, mengesahkan bahawa Israel turut menyertai lembaga itu.

Namun, Encik Trump sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati antarabangsa bahawa Lembaga Keamanan tersebut mungkin cuba memperluaskan peranannya untuk menyelesaikan konflik lain di dunia dan secara tidak langsung bersaing dengan PBB.

Seorang pegawai Amerika menegaskan bahawa mesyuarat minggu depan “akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Gaza dan tidak akan menyentuh konflik lain”.

Antara pengumuman utama yang dijangka dibuat ialah penubuhan dana pembinaan semula Gaza bernilai berbilion dolar, yang akan merangkumi sumbangan kewangan daripada negara anggota lembaga.

Seorang pegawai menyifatkan tawaran yang diterima sebagai “sangat murah hati” dan menegaskan bahawa Amerika tidak membuat sebarang permintaan rasmi kepada mana-mana negara untuk menyumbang. “Negara-negara datang kepada kami dengan tawaran sendiri,” katanya.

“Presiden akan membuat pengumuman berhubung jumlah dana yang berjaya dikumpulkan,” tambah beliau.

Menurut sumber itu lagi, dana berkenaan akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur asas yang musnah akibat konflik, termasuk kemudahan kesihatan, sistem bekalan air, perumahan dan rangkaian elektrik.

Penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa merupakan komponen penting dalam fasa seterusnya pelan Gaza yang diumumkan Trump pada September lalu.

Di bawah fasa pertama, gencatan senjata yang rapuh berjaya dilaksanakan dalam konflik dua tahun yang bermula pada 10 Oktober. Hamas membebaskan beberapa tebusan manakala Israel membebaskan tahanan Palestin.

Pegawai Amerika berkata Encik Trump akan mengumumkan bahawa beberapa negara bersetuju menyediakan ribuan anggota tentera bagi menyertai pasukan penstabilan tersebut, yang dijangka ditempatkan di Gaza dalam beberapa bulan akan datang.

Pasukan itu dijangka memainkan peranan dalam memastikan keselamatan awam, menyelia pelaksanaan perjanjian politik serta membantu proses peralihan pentadbiran.

Antara kebimbangan utama yang dibincangkan ialah usaha melucutkan senjata Hamas, yang dilaporkan enggan menyerahkan senjata mereka.

Di bawah pelan Gaza Trump, anggota Hamas yang komited kepada kewujudan bersama secara aman dan bersedia melucutkan senjata akan diberikan pengampunan.

“Pendekatannya adalah memberi pilihan,” kata seorang pegawai.

“Mereka yang memilih keamanan dan menyerahkan senjata akan diberi laluan untuk kembali kepada kehidupan awam tanpa tindakan balas,” tambah beliau.

Bagi anggota Hamas yang mahu meninggalkan Gaza, pelan itu turut menyediakan laluan selamat ke negara penerima. Langkah tersebut dilihat sebagai usaha mengurangkan risiko pertempuran berulang serta menggalakkan penyelesaian politik jangka panjang.

Mesyuarat Lembaga Keamanan juga akan membincangkan laporan terperinci mengenai kerja Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza, yang ditubuhkan untuk mengambil alih pentadbiran harian Gaza daripada Hamas.

Jawatankuasa itu mengumumkan barisan anggotanya dan mengadakan mesyuarat pertama pada Januari.

Selain itu, pegawai Amerika berkata mesyuarat itu akan mengemas kini perkembangan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta usaha menyusun semula pasukan polis Gaza bagi memastikan keselamatan dalaman dapat diperkukuhkan.

Pengumuman yang bakal dibuat minggu depan dijangka menjadi penanda aras penting kepada hala tuju politik dan keselamatan Gaza selepas tempoh konflik yang panjang dan memusnahkan.

Mesyuarat tersebut juga dilihat sebagai ujian terhadap sejauh mana masyarakat antarabangsa bersedia menyokong pelan pembinaan semula dan penstabilan wilayah yang bergolak itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg