Lembaga Keamanan diterajui AS jadualkan mesyuarat sulung 19 Feb
Lembaga Keamanan diterajui AS jadualkan mesyuarat sulung 19 Feb
Bakal diadakan di Institut Keamanan Amerika di Washington, D.C.
WASHINGTON: Lembaga Keamanan yang diuar-uarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, akan mengadakan mesyuarat pertama para pemimpinnya pada 19 Februari, kata seorang pegawai pemerintah Amerika pada 7 Februari, tanpa memberikan butiran lanjut.
Mesyuarat yang pertama kali dilaporkan oleh Axios itu, dijangka turut berfungsi sebagai persidangan pengumpulan dana untuk pembinaan semula Gaza.
“Kami boleh mengesahkan mesyuarat Lembaga Keamanan dijadualkan pada 19 Februari,” kata pegawai itu dalam satu kenyataan.
Rumah Putih tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk mendapatkan butiran lanjut.
Mesyuarat itu akan diadakan di Institut Keamanan Amerika di Washington, D.C., lapor Axios.
Sekurang-kurangnya seorang pemimpin dunia telah mengesahkan penyertaannya.
Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban, salah seorang sekutu terdekat Encik Trump di Kesatuan Eropah, berkata pada 7 Februari di bandar barat Szombathely bahawa beliau akan berkunjung ke Washington dalam masa dua minggu untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan.
Pada akhir Januari, Encik Trump melancarkan lembaga yang akan dipengerusikannya dan yang katanya akan bertujuan untuk menyelesaikan konflik global.
Namun, beberapa pakar bimbang bahawa lembaga sedemikian boleh menjejas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pemerintah di seluruh dunia telah bertindak balas dengan berhati-hati terhadap jemputan Encik Trump untuk menyertai inisiatif ini.
Meskipun beberapa sekutu Timur Tengah Washington telah menyertai lembaga itu, namun banyak sekutu Barat tradisionalnya masih belum menyertai sama.
Keanggotaan tetap dalam lembaga itu menelan belanja AS$1 bilion ($1.27 bilion).
Resolusi Majlis Keselamatan PBB, yang dilaksana pada pertengahan November, membenarkan lembaga dan negara yang bekerjasama dengannya untuk menubuhkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza susulan perjanjian gencatan senjata mula dilaksanakan pada Oktober 2025.
Perjanjian hasil usaha Encik Trump itu ditandatangani oleh Israel dan Hamas.
Di bawah rancangan Encik Trump, yang didedahkan pada akhir 2025, lembaga itu akan menyelia tadbir urus sementara Gaza.
Beliau kemudian berkata ia akan diperluas untuk menangani konflik global.
Jurucakap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tidak segera memberi komen tentang mesyuarat Lembaga Keamanan yang dirancang itu.
Ramai pakar hak asasi menyatakan bahawa Encik Trump yang menyelia hal ehwal wilayah asing menyerupai struktur penjajah, dan telah mengkritik lembaga itu kerana tidak menyertakan seorang pun rakyat Palestin.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Encik Trump berpotensi memegang kuasa yang sangat luas ke atas masa depan pentadbiran Jaluran Gaza serta kebajikan penduduknya menerusi satu pelan baru yang dirangka oleh Lembaga Keamanan, yang dipengerusikannya.
Menurut draf ketetapan yang diperoleh media, Encik Trump akan diberikan kuasa untuk melantik pegawai kanan yang akan membantu mentadbir Gaza serta menentukan pembahagian tanggungjawab mereka.
Antara jawatan utama yang digariskan dalam draf tersebut ialah seorang “wakil tertinggi” bagi Gaza, yang bertanggungjawab menyelia sebuah badan Palestin yang mentadbir wilayah itu, serta seorang komander pasukan penstabilan antarabangsa yang bertujuan memastikan keselamatan.
Gencatan senjata yang rapuh di Gaza telah berulang kali dicabul, dengan lebih 550 rakyat Palestin dan empat askar Israel dilaporkan terbunuh sejauh ini. – Reuters.

