NEW YORK: Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza buat pertama kali bersetuju menyerahkan senjata serta memindahkan sepenuhnya kuasa pentadbiran awam dan keselamatan kepada sebuah pentadbiran peralihan Palestin yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pesuruhjaya Tinggi Gaza bagi Lembaga Keamanan, Encik Nikolay Mladenov, berkata persetujuan itu merupakan perkembangan penting dalam usaha melaksanakan pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat, tetapi memberi amaran proses tersebut kini berdepan risiko gagal susulan pertikaian mengenai langkah pelaksanaannya.

“Buat pertama kali, Hamas dan kumpulan bersenjata di Gaza bersetuju menyerahkan senjata mereka dan memindahkan sepenuhnya kuasa pemerintahan – awam dan keselamatan – kepada sebuah pentadbiran peralihan yang diiktiraf PBB,” katanya dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada 26 Ogos.

Menurutnya, langkah itu berpotensi memperbaiki kehidupan rakyat Palestin di Gaza secara berkekalan, selain menyediakan jaminan keselamatan jangka panjang kepada Israel.

Lembaga Keamanan pada akhir Julai mengemukakan pelan 15 perkara yang menetapkan pelucutan senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain, pemindahan pentadbiran Gaza kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat.

Encik Mladenov menegaskan proses pelucutan senjata itu meliputi semua jenis senjata tanpa pengecualian.

“Tiada sebarang kekaburan dan tiada kategori yang dikecualikan,” katanya.

Ia termasuk senjata berat, kemudahan pengeluaran senjata, gudang senjata, terowong, senjata api individu serta senjata yang dimiliki kumpulan bersenjata.

Di bawah pelan tersebut, NCAG akan menjadi satu-satunya badan yang dibenarkan memiliki, menyimpan atau mengawal senjata di Gaza.

Pelucutan senjata akan dipantau Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), yang diketuai Mejar Jeneral Amerika, Encik Jasper Jeffers.

Bagaimanapun, pertikaian utama kini tertumpu kepada urutan pelaksanaan pelan tersebut.

Hamas mahu proses itu dilaksanakan secara berperingkat dan timbal balik, dengan pelucutan senjata disusuli pengunduran Israel pada setiap peringkat.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula menegaskan Hamas mesti dilucutkan senjata sepenuhnya sebelum sebarang pengunduran tentera Israel atau pembinaan semula Gaza dimulakan.

Encik Netanyahu awal bulan ini menolak pelan berkenaan dengan mendakwa cadangan yang diterima Hamas pada 30 Julai tidak memberi jaminan bahawa kumpulan itu benar-benar akan dilucutkan senjata.

Persetujuan Hamas sepatutnya membuka tempoh 14 hari bagi pihak terlibat menetapkan jadual pelucutan senjata dan pengunduran Israel. Namun, tempoh tersebut masih belum bermula.

“Pengunduran berlaku selepas pelucutan senjata disahkan dan dilaksanakan secara berperingkat. Proses ini disusun secara berturutan dan timbal balik. Setiap langkah bergantung kepada kejayaan langkah sebelumnya,” kata Encik Mladenov.

Beliau menegaskan kemajuan akan bergantung kepada pelaksanaan sebenar dan bukan tarikh yang ditetapkan.

Menurutnya, tiga syarat utama perlu dipenuhi iaitu ISF mesti dikerahkan, Israel perlu melaksanakan komitmennya di bawah Protokol Sharm el-Sheikh dan Hamas mesti memenuhi komitmennya.

Encik Mladenov turut mengkritik kedua-dua pihak kerana tindakan yang menurutnya boleh menggagalkan proses tersebut.

Beliau berkata serangan Israel yang berterusan di Gaza tidak akan membawa kepada pelucutan senjata Hamas, sebaliknya boleh melemahkan usaha membina kepercayaan.

“Setiap penggunaan kekerasan yang bukan untuk menangani ancaman segera menyebabkan proses ini kehilangan sesuatu yang amat sukar diperoleh semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Hamas masih belum memenuhi sepenuhnya komitmennya untuk menghentikan semua kegiatan ketenteraan.

“Setiap senjata yang masih dibawa, setiap terowong yang masih dikerjakan dan setiap konvoi yang masih dihalang akan menyebabkan proses ini berundur dan memberi hujah kepada mereka yang mahu perang disambung semula,” katanya.

Ketegangan semakin meningkat selepas Encik Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pada 23 Ogos mengancam meningkatkan serangan dan memindahkan penduduk dari beberapa kawasan Gaza susulan layang-layang yang diterbangkan kanak-kanak Palestin memasuki kawasan Israel berhampiran wilayah itu.

Hamas menuduh Israel menggunakan kejadian tersebut sebagai alasan untuk meningkatkan serangan.

Encik Mladenov turut mengkritik sekatan Israel terhadap kemasukan bahan perlindungan dan tempat tinggal ke Gaza ketika sebahagian besar daripada sekitar dua juta penduduk wilayah itu masih tinggal di khemah.

“Musim sejuk semakin hampir dan dasar Israel sekarang mengenai tempat perlindungan yang berkualiti tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam aspek pentadbiran, beliau berkata krisis Gaza bukan semata-mata masalah keselamatan atau kemanusiaan, tetapi turut berpunca daripada persoalan politik dan pemerintahan.

NCAG, yang ditubuhkan pada Januari dan diketuai pegawai Penguasa Palestin, Encik Ali Shaath, terdiri daripada golongan profesional Palestin bebas yang akan mengurus hal ehwal awam dan keselamatan sepanjang tempoh peralihan.

Encik Mladenov memberi amaran bahawa kegagalan melaksanakan pelan tersebut boleh membawa Gaza kembali kepada perang berskala penuh.

“Gaza tidak mampu menghadapi satu lagi malapetaka. Jika gencatan senjata runtuh dan wilayah itu kembali kepada konflik menyeluruh, tidak akan ada lagi pelan untuk kita kembali, tidak akan ada pentadbiran untuk dikerahkan dan mungkin tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk dibina semula.

“Ia bukan sekadar satu kemunduran. Ia akan menjadi titik tanpa jalan kembali bagi semua pihak,” katanya. - Agensi berita