GAZA: Lembaga Keamanan pada 30 Jun mengumumkan ketibaan kumpulan pertama “kenderaan taktikal” di pangkalan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Jaluran Gaza, ketika persiapan logistik untuk penempatan pasukan multinasional di wilayah itu terus dipergiat.

Dalam kenyataan menerusi platform X milik syarikat media sosial Amerika Syarikat, lembaga itu berkata: “Kenderaan taktikal tiba di Kawasan Sokongan Logistik: Endurance.”

Pengumuman itu turut disertakan beberapa gambar yang menunjukkan ketibaan kenderaan berkenaan di pangkalan operasi pasukan antarabangsa terbabit.

Perkembangan itu berlaku ketika rundingan gencatan senjata Gaza diteruskan dengan delegasi Hamas dilaporkan tiba di Kaherah pada 30 Jun untuk mengadakan perbincangan bersama pegawai Mesir dan pihak pengantara mengenai pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

“Agenda delegasi itu memberi keutamaan kepada usaha menghentikan peningkatan pelanggaran Israel di Jaluran Gaza serta jenayah pembunuhan dan pembunuhan terancang yang berlaku setiap hari,” kata penasihat politik pemimpin Hamas, Encik Taher al-Nunu, dipetik Anadolu pada 30 Jun.

“Hamas juga akan menuntut jaminan supaya Israel membenarkan kemasukan penuh keperluan Gaza, termasuk bahan bagi membaiki hospital, kedai roti dan prasarana, selain melaksanakan baki peruntukan dalam perjanjian Sharm el-Sheikh,” katanya.

Rundingan di Kaherah akan meneruskan perbincangan mengenai pelan hala tuju yang disediakan Wakil Tinggi Lembaga Keamanan untuk Gaza, Encik Nickolay Mladenov, dengan kerjasama pihak pengantara bagi fasa kedua perjanjian itu.

“Pelan hala tuju itu merangkumi kemasukan jawatankuasa pentadbiran dan pasukan perlindungan antarabangsa yang akan membawa kepada pengunduran penuh Israel dari semua kawasan di Semenanjung Gaza,” jelas Encik Al-Nunu.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, menyambut baik perkembangan tersebut dan berharap ia menjadi permulaan kepada pelaksanaan sebenar tanggungjawab yang diberikan kepada lembaga berkenaan.

Menurut Encik Qassem, antara tugas utama yang diharapkan dapat dilaksanakan ialah memisahkan penduduk Palestin di Gaza daripada tentera Israel serta menghentikan pelanggaran yang didakwa dilakukan terhadap penduduk wilayah itu.

“Kami menyeru Lembaga Keamanan untuk memulakan pelaksanaan sebenar peruntukan pelan bagi menamatkan perang di Gaza,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari lalu atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai sebahagian usaha mencari penyelesaian damai bagi konflik di Gaza.

Pada masa sama, akhbar Israel Hayom melaporkan lembaga itu bakal melancarkan projek perintis dalam tempoh beberapa minggu bagi menguruskan pusat perlindungan kemanusiaan di kawasan Gaza yang tidak berada di bawah kawalan Hamas.

Menurut laporan itu, kawasan Tel al-Sultan berhampiran Rafah akan menjadi lokasi pertama penempatan orang awam, khususnya penduduk yang didakwa “tidak mempunyai kaitan dengan Hamas”.

Akhbar berkenaan, yang memetik sumber tanpa nama, berkata pasukan multinasional ISF akan ditempatkan di kawasan itu di bawah penyelarasan Lembaga Keamanan.

Pasukan itu dijangka berpangkalan di Kem Amitai milik Israel berhampiran Gaza.

Laporan sama menyebut pasukan antarabangsa berkenaan akan dilengkapi senjata tidak membawa maut bagi menjaga ketenteraman dalam zon kemanusiaan, manakala tentera Israel pula akan terus memperluaskan penguasaan mereka di kawasan di luar apa yang disebut sebagai “Garis Kuning”.

Menurut Israel Hayom, pegawai Lembaga Keamanan turut memberi jaminan bahawa konkrit tidak akan digunakan dalam projek pembinaan semula di kawasan terbabit.

Sebaliknya, unit kediaman bergerak atau karavan akan ditempatkan bersama kemudahan asas lain termasuk perkhidmatan perubatan bagi penduduk.

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa pelan berkenaan secara tidak langsung membolehkan Israel terus memperluaskan kawalan terhadap wilayah Gaza.

Pada 16 Januari lalu, Rumah Putih mengumumkan pelaksanaan struktur pentadbiran peralihan untuk Gaza yang merangkumi Lembaga Keamanan, Majlis Eksekutif Gaza, Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza, pemerintah teknokratik dan ISF.

Mesyuarat pertama Lembaga Keamanan diadakan pada 19 Februari di Institut Keamanan Amerika Syarikat di Washington di bawah pimpinan Trump.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada fasa kedua pelan 20 perkara yang diperkenalkan Trump bagi menamatkan perang di Gaza, yang turut disokong menerusi Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 November 2025.

Pelan berkenaan dicapai selepas lebih dua tahun perang Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang lain.

Menurut angka Palestin, sebahagian besar mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Konflik itu juga memusnahkan hampir 90 peratus prasarana awam di Gaza dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kos pembinaan semula mencecah AS$70 bilion (S$90 bilion).

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata sebelum ini merangkumi penghentian sementara pertempuran, pertukaran tahanan antara Israel dan kumpulan Palestin, usaha ke arah gencatan senjata kekal serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.

Namun, Israel didakwa terus melanggar perjanjian itu hampir setiap hari menerusi serangan dan operasi ketenteraan di beberapa kawasan.

Di bawah fasa kedua pula, Israel dijangka melaksanakan pengunduran lanjut dari wilayah Gaza manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan termasuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula.

Penganalisis melihat penempatan pasukan antarabangsa itu sebagai antara usaha terbesar masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan pentadbiran pasca perang di Gaza.

Bagaimanapun, langkah itu turut mencetuskan kebimbangan mengenai sejauh mana pengaruh Israel dan Amerika Syarikat dalam menentukan struktur politik serta keselamatan baharu di wilayah Palestin berkenaan.

Sejak Oktober 2023, Israel dengan sokongan Amerika Syarikat melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza yang mengakibatkan kemusnahan meluas, krisis kemanusiaan dan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Pasukan antarabangsa ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dan proses pemulihan dapat berjalan,” menurut laporan Israel Hayom yang memetik sumber berkaitan pelan itu.

Namun, kumpulan hak asasi dan beberapa pihak antarabangsa terus menggesa supaya sebarang pelan pentadbiran baharu di Gaza dilaksanakan secara telus serta menghormati hak rakyat Palestin.- Agensi berita