BAITULMAKDIS: Lembaga Keamanan menafikan dakwaan ia mencapai perjanjian kewangan dengan Hamas untuk melunaskan hutang kumpulan itu sehingga AS$400 juta ($512 juta) sebagai pertukaran bagi persetujuan melucutkan senjata di bawah pelan baharu bagi Gaza.

Sebaliknya, dana sehingga AS$400 juta yang diperuntukkan dalam pelan itu bertujuan menangani tanggungan sah di Gaza, termasuk bayaran kepada pembekal dan kontraktor serta pampasan pemberhentian kerja kepada kakitangan awam yang tidak diserap ke dalam pentadbiran baharu.

Penjelasan itu dibuat selepas penyiar awam Israel, Kan, melaporkan bahawa Hamas diberi jaminan oleh pengantara bahawa hutangnya kepada pihak luar akan ditanggung Lembaga Keamanan sekiranya kumpulan itu menerima pelan lucut senjata.

Wakil Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nikolay Mladenov, menolak laporan berkenaan dengan menegaskan tiada cadangan sedemikian pernah dibincangkan.

“Dakwaan bahawa terdapat perjanjian kewangan antara Lembaga Keamanan dengan Hamas adalah palsu.

“Tiada cadangan sedemikian dibincangkan, dirundingkan atau dipertimbangkan dan ia juga tidak akan berada di atas meja pada masa depan,” katanya menerusi catatan di X pada 12 Ogos.

Beliau menegaskan Hamas tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza dan tidak akan mempunyai akses kepada dana Lembaga Keamanan.

Kekeliruan mengenai AS$400 juta itu dipercayai berpunca daripada Klausa Lima pelan lucut senjata Gaza.

Klausa itu menyatakan bahawa Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), iaitu badan teknokrat Palestin yang bakal mentadbir wilayah berkenaan, akan menilai tanggungan sah kepada pembekal, kontraktor dan pihak lain sehingga jumlah maksimum AS$400 juta.

NCAG akan beroperasi di bawah pengawasan Lembaga Keamanan.

Seorang pegawai Lembaga Keamanan menjelaskan peruntukan itu tidak bermakna badan berkenaan bersetuju membayar hutang Hamas secara langsung.

Sebaliknya, setiap tuntutan akan diperiksa bagi menentukan sama ada ia merupakan tanggungan sah yang berkaitan dengan perkhidmatan kepada penduduk Gaza.

“Ia membolehkan tanggungan sah yang masih belum dibayar, seperti gaji kakitangan awam atau pembekal yang benar-benar memberikan perkhidmatan kepada penduduk, dinilai berdasarkan merit masing-masing.

“Perkara itu tidak seharusnya disamakan dengan membayar Hamas atau menanggung tanggungan berkaitan keganasan, rasuah atau salah urus kewangan,” kata pegawai itu.

Menurut sumber yang mengetahui perancangan berkenaan, NCAG akan menjalankan audit menyeluruh terhadap kewangan Hamas selepas mengambil alih pentadbiran Gaza.

Sekiranya audit mendapati kontraktor melakukan kerja yang sah untuk penduduk tetapi belum menerima bayaran, NCAG boleh menggunakan dana berkenaan untuk melunaskan bayaran itu.

Pemeriksaan latar belakang turut dilakukan bagi memastikan kontraktor terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganasan.

Seorang diplomat Arab dari sebuah negara pengantara pula berkata sebahagian dana itu akan digunakan untuk menyediakan pakej pampasan kepada kakitangan awam di bawah pentadbiran Hamas yang tidak ditawarkan pekerjaan oleh NCAG.

Menurutnya, pampasan berkenaan diperlukan dari segi undang-undang dan juga bagi mengurangkan risiko kemiskinan dalam kalangan keluarga yang kehilangan pendapatan ketika sebahagian besar Gaza musnah akibat perang.

Encik Mladenov berkata semua kontrak dan pembayaran akan tertakluk kepada pemeriksaan ketat.

“Dana Lembaga Keamanan tidak dipindahkan melalui Hamas. Setiap kontrak melalui semakan dan kelulusan, setiap projek disahkan sebelum pembayaran dan semua akaun terbuka sepenuhnya untuk diaudit pemerintah penderma,” katanya.

Kontroversi mengenai dana itu muncul ketika Israel dan Lembaga Keamanan masih berbeza pendirian secara terbuka mengenai pelaksanaan pelan lucut senjata Gaza.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini menolak pelan berkenaan dan menegaskan tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas “benar-benar dilucutkan senjata”.

Bagaimanapun, seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata pelan itu masih diteruskan dan perbincangan dengan Israel masih berlangsung.

Encik Mladenov turut menggesa Israel menyokong pelan tersebut dengan menegaskan ia tidak memerlukan Israel mengambil langkah yang tidak boleh ditarik balik sebelum tindakan nyahsenjata dapat disahkan di lapangan.

Menurutnya, matlamat utama kekal untuk memastikan semua senjata Hamas dilucutkan dan Gaza tidak lagi boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada Israel.

Beliau berkata pelan Lembaga Keamanan menawarkan pilihan yang menggabungkan pelucutan senjata sepenuhnya, pentadbiran awam Palestin, kehadiran pasukan keselamatan antarabangsa serta mekanisme pemantauan dan pengesahan.

Pasukan antarabangsa dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), akan membantu proses pelucutan senjata dan pembentukan pentadbiran awam tanpa penyertaan Hamas.

Maghribi dijangka menjadi negara pertama mengerahkan anggota tenteranya ke Gaza di bawah rancangan itu, manakala Albania, Kazakhstan dan Kosovo turut bersetuju menyumbang anggota kepada ISF.

Rancangan awal termasuk mewujudkan zon kemanusiaan perintis di Rafah, selatan Gaza, dengan tentera Israel berundur dari kawasan berkenaan sebelum digantikan anggota ISF.

Pelan 15 perkara itu diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan antara lain menggariskan pengunduran tentera Israel, pelucutan senjata Hamas serta pemindahan pentadbiran Gaza kepada NCAG.

Walaupun Israel secara terbuka menyatakan tidak menerima syarat pelan tersebut, laporan media Israel menunjukkan peraturan operasi tenteranya di Gaza berubah dengan ketara sejak pelan nyahsenjata itu diumumkan, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa rundingan di belakang tabir masih berlangsung. – Agensi berita.