Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan Red Fort: 5 lagi ditahan, doktor dan kakitangan universiti di India disiasat

Nov 14, 2025 | 2:23 PM
red fort terror attack, new delhi
Seorang pegawai polis India memeriksa sebuah skuter di Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir India, pada 13 November. Menurut Polis Delhi, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam letupan sebuah kereta pada waktu puncak petang 10 November berhampiran stesen metro Red Fort di Delhi, dengan api marak turut membakar beberapa kenderaan berdekatan. - Foto EPA

NEW DELHI: Pasukan penyiasat menahan sekurang-kurangnya lima individu lagi, termasuk dua doktor dan dua kakitangan Universiti Al-Falah di Faridabad, dalam siasatan besar-besaran di seluruh India berhubung dakwaan kewujudan sebuah sel pengganas yang dipercayai bertanggungjawab terhadap letupan maut berhampiran Red Fort pada 10 November.

Operasi ini turut disertai usaha mengesan seorang doktor yang dilaporkan melancong ke Turkey bersama dua suspek lain sebelum insiden berlaku.

Ketua Jabatan Kardiologi di Kanpur, Dr Umeshwar Pandey, mengesahkan bahawa seorang rakan sejawatnya, Dr Arif, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pasukan Skuad Anti-Pengganasan (ATS).

“Kami hanya dimaklumkan bahawa ATS telah membawa Dr Arif untuk disoal siasat. Selain itu, kami tidak mempunyai maklumat lain,” katanya.

Pengarah Kolej Perubatan GS, Dr Manoj Shishodia, turut mengesahkan bahawa polis datang untuk menyoal siasat seorang lagi doktor, Dr Farukh, sebelum membawanya untuk siasatan lanjut.

Kededua doktor itu difahamkan mempunyai kaitan rapat dengan beberapa suspek utama yang kini berada dalam radar keselamatan India.

Siasatan awal mendapati bahawa Dr Mir, yang berasal dari Anantnag, berkemungkinan mempunyai hubungan dengan Dr Umar Un Nabi, individu yang memandu kereta yang meletup berhampiran Red Fort sehingga mengorbankan 13 nyawa. Kedua-duanya dipercayai pernah belajar di sebuah kolej perubatan di Kashmir.

Pegawai keselamatan berkata Dr Mir dan seorang lagi suspek, Dr Shahid, telah berhubung rapat selama beberapa bulan.

Bagaimanapun, penyiasat masih menyiasat bentuk dan tujuan komunikasi antara mereka.

“Kami sedang meneliti rekod panggilan, komunikasi digital serta rantaian hubungan mereka. Ada petunjuk awal, tetapi terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata seorang pegawai penyiasat yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Persatuan Universiti Seluruh India (AIU) menyuarakan kebimbangan terhadap reputasi Universiti Al-Falah, selepas laporan media mengaitkan institusi berkenaan dengan beberapa individu yang disiasat.

“Mengikut laporan media, kami mendapati Universiti Al-Falah di Faridabad tidak berada dalam kedudukan yang baik dari segi integriti akademik dan prinsip moral yang menjadi asas penilaian kami,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Amaran rasmi ke atas universiti itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa menemukan 2,900 kilogram bahan letupan di Faridabad – satu jumlah yang disifatkan sebagai “penemuan paling mengejutkan dalam satu dekad” oleh pihak keselamatan.

Penemuan itu dibuat pada hari yang sama dengan letupan bom berhampiran Red Fort yang meragut 13 nyawa dan mencederakan ramai lagi.

Letupan yang berlaku pada lewat petang 10 November itu mencetuskan panik besar di kawasan bersejarah Red Fort, sebuah lokasi pelancongan dan simbol penting negara.

Kereta yang dipandu Dr Umar Un Nabi meletup tanpa amaran, menyebabkan serpihan logam berterbangan dan mangsa tercampak ke jalan raya.

“Ia adalah kekacauan total. Kami mendengar dentuman besar dan melihat api menjulang tinggi,” kata seorang saksi, Encik Ravi Kumar, yang berada 50 meter dari lokasi kejadian.

Pihak polis dan pasukan forensik sedang meneliti serpihan kereta untuk mengesan jenis bahan letupan digunakan dan sama ada terdapat alat pencetus khusus.

Penyiasat juga sedang menyiasat kemungkinan letupan itu dirancang sebagai ujian atau sebahagian daripada plot serangan yang lebih besar.

Penahanan doktor dan kakitangan universiti menunjukkan bahawa penyiasatan sedang berkembang ke arah rangkaian lebih besar yang mungkin melibatkan pembiayaan, latihan atau penyediaan logistik.

“Ini bukan kes terasing. Ada struktur yang sedang kita bongkar. Kami menjangkakan lebih banyak tangkapan dibuat dalam masa terdekat,” kata seorang pegawai ATS. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg