Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan, serangan udara gegarkan Port Sudan

May 6, 2025 | 4:26 PM
Kepulan asap tebal dapat dilihat menjulang dari sebuah depot bahan api di Port Sudan, Sudan, pada 6 Mei 2025.
Kepulan asap tebal dapat dilihat menjulang dari sebuah depot bahan api di Port Sudan, Sudan, pada 6 Mei 2025. - Foto REUTERS

PORT SUDAN: Beberapa siri letupan kuat dan kebakaran dilaporkan berlaku di Port Sudan pada awal pagi Selasa, 6 Mei menurut seorang saksi tempatan.

Lokasi sebenar dan punca letupan masih belum dapat dipastikan, namun kejadian itu berlaku ketika perang saudara yang berpanjangan kini mula menggoncang bandar pelabuhan yang sebelum ini dianggap salah satu kawasan paling aman di negara itu, buat hari ketiga berturut-turut.

Asap hitam tebal dilihat berkepul dari kawasan sekitar pelabuhan maritim utama Sudan di Port Sudan, tempat di mana ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal telah mencari perlindungan sejak konflik bermula.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) kini mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Serangan ke atas Port Sudan dijangka memburukkan lagi keadaan, memandangkan bandar itu kini menempatkan pejabat utama PBB, kedutaan, agensi bantuan, serta kementerian kerajaan yang berpihak kepada tentera.

Seorang saksi juga melaporkan bahawa sebuah hotel utama yang terletak berdekatan dengan kediaman Jeneral Abdelfattah al-Burhan, pemimpin negara, turut menjadi sasaran dalam serangan terbaru ini.
“Letupan itu kuat dan berulang-ulang. Kami lihat api menyala dari beberapa lokasi yang berbeza. Bandar ini tidak lagi selamat seperti dahulu,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan.

Serangan yang bermula pada 4 Mei menandakan peningkatan mendadak dalam intensiti pertempuran, kerana sebelum ini Port Sudan, sebuah bandar di pesisir Laut Merah, terselamat daripada sebarang serangan darat mahupun udara.

Pada hari Ahad, 4 Mei sebuah pangkalan tentera berhampiran satu-satunya lapangan terbang antarabangsa yang masih beroperasi di Sudan telah diserang dron. Keesokannya, depot minyak di bandar turut menjadi sasaran.

Sumber ketenteraan menyalahkan RSF atas kedua-dua serangan tersebut, walaupun RSF tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengaku bertanggungjawab.
Sumber tentera turut menyatakan bahawa serangan itu dipercayai sebagai tindakan balas selepas pihak tentera berjaya memusnahkan pesawat dan gudang senjata milik RSF di lapangan terbang Nyala yang dikawal RSF.

Tindakan keganasan ini mengundang kecaman dari negara jiran seperti Mesir dan Arab Saudi, manakala PBB menyatakan kebimbangan terhadap kemerosotan keselamatan dan kesejahteraan orang awam.

Sejak April 2023, Sudan telah terjerumus dalam konflik berdarah antara angkatan tentera dan RSF, berpunca daripada perebutan kuasa dalam peralihan ke arah pemerintahan awam. PBB melaporkan lebih 12 juta rakyat Sudan telah kehilangan tempat tinggal, dan separuh daripada populasi kini hidup dalam kelaparan melampau.

Dua tahun selepas perang tercetus, tentera telah berjaya menyingkirkan RSF dari kebanyakan kawasan tengah Sudan. Namun, kumpulan separa tentera itu kini menukar strategi, beralih kepada serangan dron ke atas loji janakuasa dan kemudahan utama di kawasan yang dikuasai tentera.

Tentera pula meneruskan serangan udara di wilayah Darfur, yang merupakan kubu kuat RSF. Pertempuran darat juga kekal sengit, khususnya di al-Fashir, ibu negeri Darfur Utara, di mana kedua-dua pihak bertempur hebat untuk mengukuhkan penguasaan masing-masing di kawasan konflik yang kini semakin mengukuh sebagai garis pemisah yang nyata antara wilayah yang dikuasai tentera dan RSF. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg