Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan paramiliter sekat bantuan kemanusiaan di Sudan, krisis kebuluran meningkat

Mar 25, 2025 | 7:42 PM
Anggota tentera Sudan berdiri di hadapan Istana Presiden selepas tentera Sudan mengumumkan bahawa mereka telah mengambil alih kawalan bangunan tersebut, di ibu negara Khartoum, Sudan, pada 24 Mac 2025. 
Anggota tentera Sudan berdiri di hadapan Istana Presiden selepas tentera Sudan mengumumkan bahawa mereka telah mengambil alih kawalan bangunan tersebut, di ibu negara Khartoum, Sudan, pada 24 Mac 2025.  - Foto REUTERS

SANAA: Pasukan paramiliter Sudan, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang terlibat dalam peperangan dengan tentera negara, Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) itu telah mengenakan sekatan baru terhadap penghantaran bantuan ke kawasan yang mereka kawal, termasuk wilayah yang sedang mengalami kebuluran.

Tindakan ini menambah kesukaran kepada usaha bantuan kemanusiaan di negara yang sedang bergolak tersebut, kata para pekerja bantuan.

RSF yang berjuang untuk membentuk pemerintah selari di barat Sudan, kini menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak kerana tidak memberikan akses kepada bantuan di wilayah yang dilanda kebuluran.

Selain itu, RSF juga mula mengenakan yuran lebih tinggi dan pengawasan terhadap proses operasional, seperti pengambilan kakitangan tempatan dan keselamatan.

Sejak akhir tahun 2024, RSF mula mendesak badan bantuan untuk mendaftar melalui “perjanjian kerjasama”, yang turut melibatkan penubuhan operasi negara yang bebas di wilayah yang dikawal olehnya.

Satu laporan yang dilihat oleh Reuters menyebut bahawa keperluan untuk mendaftar dengan RSF menyebabkan kelewatan dalam pemberian permit perjalanan dan menangguhkan bantuan.

“Jika tidak mendaftar dengan SARHO (Agensi Bantuan dan Operasi Kemanusiaan Sudan), kami berhadapan dengan kelewatan yang tidak adil dan penolakan permit perjalanan,” kata seorang pekerja bantuan yang tidak mahu dikenali.

Namun, mematuhi peraturan ini berisiko menyebabkan pihak bantuan diusir oleh tentera dan pemerintah di Pelabuhan Sudan yang menyokong tentera.

Konflik di Sudan dilihat tanpa adanya tanda penyelesaian aman mewujudkan satu daripada krisis terburuk pernah dihadapi negara itu.

Pemerhati berpendapat jika penyelesaian politik terhadap konflik ketenteraan gagal dicapai, Sudah bakal menjadi pusat dan sumber bencana dunia dan rantau ini.

Konflik bermula pada 15 April 2023 apabila Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera bertempur di ibu negara Sudan, Khartoum dan wilayah lain.

Keganasan mengorbankan ribuan orang awam, menyebabkan jutaan hilang tempat tinggal dan memusnahkan banyak infrastruktur negara, terutamanya di Khartoum. Ia juga telah memburukkan lagi masalah ekonomi Sudan.

Keadaan kebuluran semakin kritikal di wilayah Darfur, terutama sekitar al-Fashir, kawasan yang dikepung oleh tentera, dan Tawila yang menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu pelarian.

Laporan dari pemantau kelaparan global mengesahkan kebuluran di tiga kem pelarian yang terletak berhampiran al-Fashir — Zamzam, Abu Shouk, dan al-Salam. RSF juga dilaporkan telah menyerang kem-kem ini dalam beberapa minggu kebelakangan ini dalam usaha untuk mengusir tentera dan sekutunya keluar dari wilayah tersebut.

“Keadaan di kem Zamzam sangat sukar, kami kelaparan dan takut,” kata Encik Haroun Adam, seorang penduduk kem yang berusia 37 tahun. “Kami tidak menerima bantuan apa-apa, dan orang ramai terpaksa makan daun kerana tiada makanan.” Keadaan di kem-kem ini memberi tekanan lebih kepada mangsa, yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Dalam usaha mendapatkan kawalan ke atas bantuan, RSF turut dikenakan tuduhan meminta bayaran lebih tinggi bagi pelbagai operasi bantuan, termasuk pengambilan kakitangan tempatan dan pengangkutan bekalan.

“Semakin banyak kerjasama antara RSF dan agensi bantuan, semakin besar kuasa mereka untuk meminta bayaran,” kata seorang pekerja bantuan.

Sebaliknya, Encik Abdelrahman Ismail, ketua SARHO yang ditugaskan oleh RSF, menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan bahawa mereka hanya menjalankan tugas mengikut hak undang-undang yang sah.

“Kami bertindak mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menjalankan kerja ini dengan prosedur yang fleksibel dan jelas,” jelasnya.

Keadaan ini memberikan gambaran yang jelas tentang bagaimana sebuah pemerintahan RSF akan beroperasi, dengan menggunakan kekuatan untuk menguasai operasi bantuan kemanusiaan dan memanipulasi keadaan untuk kepentingan mereka sendiri.

“Ini adalah gambaran tentang apa yang akan berlaku di bawah pemerintah RSF,” kata Encik Kholood Khair, seorang penganalisis Sudan.

Pada masa yang sama, halangan terhadap bantuan kemanusiaan bukanlah sesuatu yang baru di Sudan, di mana pemerintah telah lama berusaha untuk mengawal dan memanipulasi operasi bantuan.

Pekerja bantuan juga menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan RSF ini semakin merumitkan lagi usaha menyelamatkan nyawa rakyat Sudan yang semakin terdesak.

Walaupun beberapa agensi bantuan masih berusaha untuk merundingkan akses kepada bantuan, keadaan di Sudan semakin meruncing dengan kebuluran yang melanda lebih banyak kawasan.

Para aktivis dan pekerja bantuan berharap agar dunia antarabangsa akan memberi perhatian kepada isu ini dan memberikan sokongan untuk melindungi hak asasi dan keselamatan orang awam yang terperangkap dalam konflik ini.

“Keperluan untuk bantuan masih mendalam, dan kami berharap tindakan segera diambil untuk mengatasi sekatan dan membuka akses kemanusiaan,” kata seorang pekerja bantuan dari agensi kemanusiaan yang terlibat. “Kehidupan ribuan orang bergantung kepada sokongan ini.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg