Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA, Scoot batalkan penerbangan ke Bali, Lombok selepas letusan gunung berapi

Nov 13, 2024 | 6:23 PM
Abu dan asap akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki dilihat dari kampung Lewolaga di Titihena, Nusa Tenggara Timur, pada 13 November.
Abu dan asap akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki dilihat dari kampung Lewolaga di Titihena, Nusa Tenggara Timur, pada 13 November. - Foto AFP

Beberapa penerbangan antara Singapura dengan Bali telah dibatalkan pada 13 November selepas letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-laki yang berhampiran menyebabkan awan abu berbahaya sepanjang 10 kilometer.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap Singapore Airlines (SIA) berkata dua penerbangan yang beroperasi antara Singapura dengan Bali pada 12 dan 13 November telah dibatalkan akibat letusan tersebut.

Jurucakap itu menambah, SIA sedang membantu pelanggan yang terjejas menempah semula penerbangan alternatif dan akan terus memantau keadaan serta menyesuaikan penerbangan sewajarnya.

Gunung berapi itu – yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, kira-kira 500 kilometer dari Bali – meletus sekurang-kurangnya tiga kali pada 9 November ketika pihak berkuasa membuat rancangan meluaskan kawasan larangan tersebut, kata para pegawai sebelum ini.

Letusan awal gunung berapi itu pada 3 November telah mengorbankan sembilan orang dan memaksa lebih 15,000 penduduk dari kampung berhampiran kawahnya berpindah apabila lebih banyak letusan berlaku.

Menurut AFP, letusan gunung berapi boleh menimbulkan risiko serius kepada penerbangan.

Ia boleh mengeluarkan abu halus yang boleh merosakkan enjin pesawat dan menutup cermin depan pesawat sehingga menjejas penglihatan.

Beberapa penerbangan oleh pengendali tambang rendah SIA, Scoot, yang beroperasi dari Singapura ke Bali dan Lombok pada 13 November, turut dibatalkan, dijadualkan semula atau diberi nombor lain.

Scoot menyatakan ia sedang membantu penumpang penerbangan yang dibatalkan dengan menempatkan mereka di penerbangan alternatif, sambil menambah ia akan memberikan bayaran balik penuh kepada mereka yang memilih untuk tidak meneruskan rancangan perjalanan mereka.

Syarikat penerbangan itu memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Tiga syarikat penerbangan Australia turut membatalkan penerbangan ke dan dari Bali ekoran letusan itu.

Penerbangan Jetstar, Qantas dan Virgin Australia yang dijadualkan pada 12 November dan 13 November telah digantung, menyebabkan pengembara terkandas, lapor akhbar Britain, The Guardian.

The Guardian, yang memetik jurucakap syarikat penerbangan, melaporkan bahawa 10 penerbangan Virgin Australia masuk dan keluar dari Indonesia pada 13 November telah dibatalkan.

Semua penerbangan Jetstar ke dan dari Bali juga akan dibatalkan atau ditangguhkan, sekurang-kurangnya sehingga 9 pagi pada 14 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg