Topik diikuti
Pergi ke BHkuLibya larang umat Islam beli, jual dan pakai pakaian berlogo Nike
Libya larang umat Islam beli, jual dan pakai pakaian berlogo Nike
TRIPOLI: Pihak berkuasa agama tertinggi Libya, Dar al-Ifta, mengeluarkan fatwa melarang umat Islam membeli, menjual atau memakai pakaian yang memaparkan logo jenama sukan terkenal Amerika Syarikat, Nike, kerana dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.
Institusi agama yang berpangkalan di Tripoli itu mendakwa nama Nike berasal daripada dewi kemenangan dalam mitologi Yunani purba, manakala logo terkenalnya yang dikenali sebagai swoosh diilhamkan daripada bentuk sayap dewi tersebut.
Menurut Dar al-Ifta, penggunaan pakaian yang memaparkan logo berkenaan boleh dianggap sebagai mempromosikan lambang yang dikaitkan dengan amalan syirik, iaitu menyekutukan Allah dengan menyembah lebih daripada satu Tuhan.
Fatwa itu diluluskan Mufti Besar Libya, Sheikh Sadiq al-Gharyani, yang mengetuai institusi agama berpengaruh tersebut.
Selain mempertikaikan asal usul nama dan logo Nike, jawatankuasa agama itu turut menuduh syarikat berkenaan menyokong Israel dan menggesa umat Islam memboikot produk keluaran syarikat yang dianggap membantu negara tersebut.
Dar al-Ifta merujuk kenyataan Majlis Penyelidikan dan Pengajian Syariahnya yang dikeluarkan pada 5 November 2023, ketika perang di Gaza, yang menyeru umat Islam memboikot syarikat Barat yang dianggap menyokong Israel.
Bagaimanapun, fatwa terbaharu itu tidak mengumumkan sebarang larangan rasmi pemerintah terhadap penjualan produk Nike atau menetapkan hukuman kepada individu yang terus membeli atau memakainya.
Fatwa merupakan pandangan atau keputusan agama mengenai sesuatu persoalan berdasarkan hukum Islam, tetapi tidak semestinya mempunyai kuasa undang-undang.
Dar al-Ifta mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Islam di Libya, namun keputusannya tidak semestinya menjadi arahan pemerintah yang wajib dikuatkuasakan.
Libya masih berdepan perpecahan politik sejak kejatuhan pemerintah lamanya, Muammar Gaddafi, pada 2011, dengan pentadbiran dan institusi yang bersaing di bahagian timur serta barat negara itu.
Negara Afrika Utara tersebut juga mempunyai hubungan sejarah dengan tamadun Yunani purba.
Antara tinggalan sejarahnya ialah bandar purba Cyrene, yang menempatkan pelbagai tapak arkeologi, termasuk patung dewi kemenangan Yunani yang dikenali sebagai Nike.
Keputusan terkini itu bukan kali pertama Dar al-Ifta mengeluarkan fatwa terhadap penggunaan logo jenama antarabangsa.
Pada 2025, institusi tersebut turut melarang pemakaian barang kemas dan jam tangan yang memaparkan logo syarikat barangan mewah Perancis, Van Cleef & Arpels.
Larangan itu dibuat kerana reka bentuk semanggi empat daun pada logo berkenaan dianggap mempunyai kaitan dengan kepercayaan Kristian dan kepercayaan terhadap nasib baik, yang menurut institusi itu bercanggah dengan ajaran Islam.
Fatwa terhadap Nike mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial.
Sebahagian pengguna menyambut baik keputusan tersebut kerana menganggapnya sebagai usaha mempertahankan akidah Islam, manakala yang lain mempersoalkan kepentingannya ketika Libya masih menghadapi pelbagai masalah politik, ekonomi dan sosial.
Ada juga yang menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang ironis dan mengalihkan perhatian daripada isu lebih mendesak.
Perkembangan tersebut berlaku ketika peranan fahaman agama konservatif dalam kehidupan masyarakat Libya semakin menjadi perdebatan.
Pada 2025, pihak berkuasa di timur Libya mengumumkan sekatan terhadap muzik rap, persembahan teater dan tarian kerana mendakwa sesetengah lirik serta persembahan melanggar nilai Islam dan kesopanan awam.
Sekatan itu kemudian diperluaskan ke bahagian barat negara tersebut.
Dar al-Ifta sebelum ini turut mengeluarkan fatwa berkaitan larangan muzik, namun tiada bukti jelas institusi itu terlibat secara langsung dalam pelaksanaan sekatan persembahan berkenaan.
Walaupun Nike tidak mempunyai kedai rasmi di Libya, produknya masih dijual melalui peruncit pakaian sukan tempatan.
Jenama antarabangsa seperti Nike dan Adidas juga kekal popular di seluruh Afrika Utara, termasuk Libya, yang turut mempunyai pasaran bagi barangan sukan tiruan.
Syarikat penyiaran, BBC telah menghubungi Nike untuk mendapatkan ulasan mengenai fatwa tersebut, namun belum menerima maklum balas daripada syarikat tersebut. – Agensi berita.