Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB dijangka undi minggu depan tolak kehadiran Israel di wilayah Palestin

Sep 10, 2024 | 5:16 PM
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemungkinan besar mengundi minggu depan mengenai draf resolusi mendesak Israel menamatkan kehadirinnya di wilayah Palestin.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemungkinan besar mengundi minggu depan mengenai draf resolusi mendesak Israel menamatkan kehadirinnya di wilayah Palestin. - Foto REUTERS

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) besar kemungkinan akan mengundi minggu depan mengenai draf resolusi Palestin yang menuntut Israel menamatkan “kehadirannya yang menyalahi undang-undang di Wilayah Palestin yang Diduduki” dalam enam bulan.

Matlamat utama draf resolusi itu, yang ditulis oleh Pihak Berkuasa Palestin, ialah mengalu-alukan pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai yang menyatakan pendudukan Israel di wilayah dan penempatan Palestin haram dan ia harus berundur.

Sementara pendapat mahkamah tertinggi PBB itu – dikenali sebagai Mahkamah Dunia – menyatakan itu harus dilakukan “secepat mungkin”, draf resolusi Perhimpunan Agung itu meletakkan garis masa enam bulan.

Kumpulan Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali pada 9 September meminta Perhimpunan Agung PBB, yang mempunyai 193 anggota, mengundi pada 18 September.

Draf resolusi lapan muka surat itu boleh berubah sebelum ia dikemukakan untuk undian.

Undian itu mungkin dijalankan beberapa hari sebelum pemimpin dunia tiba di New York bagi perhimpunan tahunan mereka di PBB.

Duta Besar Israel ke PBB, Encik Danny Danon, menyeru Perhimpunan Agung supaya “menolak resolusi yang memalukan ini sama sekali dan sebaliknya menerima pakai resolusi yang mengutuk Hamas dan menyeru pembebasan segera semua tebusan”.

Pendapat ICJ itu tidak mengikat tetapi berat di sisi undang-undang antarabangsa dan mungkin melemahkan sokongan untuk Israel

Resolusi Perhimpunan Agung juga tidak mengikat, tetapi mempunyai kesan politik yang berat.

Israel menawan Tebing Barat, Jaluran Gaza dan Baitulmakdis Timur – kawasan bersejarah Palestin yang rakyat Palestin mahu sebagai sebuah negara – dalam perang Timur Tengah pada 1967.

Sejak itu Israel membina penempatan di Tebing Barat dan terus mengembangkannya.

Perang semasa di Jaluran Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, apabila kumpulan Hamas menyerbu komuniti Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan menawan lebih 250 orang sebagai tebusan.

Dalam serangan balas dan berterusan hingga kini, tentera Israel telah memusnahkan hampir keseluruhan Gaza, menghalau hampir kesemua 2.3 juta penduduknya dari rumah mereka, menimbulkan masalah kelaparan dan penyakit berjangkit serta membunuh, sekurang-kurangnya 40,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Penduduk Palestin di Gaza juga tidak menerima bantuan kemanusiaan –- bekalan makanan dan ubatan-ubatan – secukupnya kerana masalah sekatan dan pertempuran yang berlarutan.

Perhimpunan Agung pada 27 Oktober 2023 menggesa kedamaian kemanusiaan sementara segera. Pada Disember, ia menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Encik Volker Turk, dalam ucapan pada pembukaan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada 9 September berkata: “Menamatkan perang di Gaza dan mengelakkan konflik serantau yang besar adalah keutamaan mutlak dan mendesak.

“Negara-negara tidak boleh menerima pengabaian terang-terangan undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan mengikat Majlis Keselamatan PBB dan perintah ICJ.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg