Topik diikuti
Pergi ke BHkuLiga Arab gesa siasatan antarabangsa terhadap penyeksaan tahanan Palestin di penjara Israel
Liga Arab gesa siasatan antarabangsa terhadap penyeksaan tahanan Palestin di penjara Israel
Tahanan Gaza didakwa dipukul, disembur gas pemedih mata dan diserang anjing polis; serangan Israel di Gaza pula ragut lapan nyawa termasuk kanak-kanak berusia empat tahun
Liga Arab gesa siasatan antarabangsa terhadap penyeksaan tahanan Palestin di penjara Israel
KAHERAH: Liga Arab menggesa siasatan antarabangsa yang bebas dan telus dijalankan terhadap dakwaan penyeksaan serta penderaan sistematik ke atas tahanan Palestin dari Gaza di Penjara Ramla, Israel, selepas beberapa banduan dilaporkan mengalami kecederaan dan melecur akibat serangan berulang oleh pengawal penjara.
Pertubuhan itu turut menuntut pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, sambil menyifatkan perbuatan tersebut sebagai pencabulan serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam kenyataan pada 1 November, Sekretariat Agung Liga Arab mengecam tindakan terhadap tahanan Palestin di bahagian Rakevet, Penjara Ramla, yang didakwa mengalami penderaan fizikal secara berulang dan terancang.
Menurutnya, tindakan itu melanggar empat Konvensyen Geneva 1949, protokol tambahan berkaitan, Konvensyen Menentang Penyeksaan serta prinsip asas layanan terhadap tahanan.
Liga Arab menegaskan bahawa semua bentuk penderaan dan penindasan terhadap tahanan Palestin mesti dihentikan segera.
Pertubuhan itu turut mendesak Israel membenarkan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan badan pemantau bebas memasuki Penjara Ramla tanpa sebarang sekatan bagi memeriksa keadaan tahanan serta menyediakan rawatan perubatan.
Selain itu, Liga Arab menuntut pembebasan segera tahanan yang sakit atau cedera dan penghentian penahanan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin.
Gesaan tersebut menyusuli laporan Pejabat Media Tahanan Palestin pada 27 Oktober yang memperincikan dakwaan penderaan berulang terhadap tahanan Gaza di bahagian Rakevet.
Menurut laporan itu, serangan lazimnya berlaku pada Jumaat dan Sabtu, dengan pengawal penjara didakwa menggunakan belantan, semburan lada, gas, peluru getah dan bom pegun terhadap tahanan.
Pengawal turut didakwa memasuki sel bersama anjing polis sebelum membawa tahanan ke sebuah bilik tanpa kamera pengawasan untuk dipukul.
Pejabat berkenaan memberi amaran bahawa penderaan berterusan boleh mengancam nyawa tahanan, khususnya mereka yang sudah mengalami kecederaan atau menghidap penyakit.
Liga Arab menyifatkan dakwaan tersebut amat membimbangkan dan menegaskan bahawa tahanan Palestin berhak menerima perlindungan serta layanan berperikemanusiaan mengikut undang-undang antarabangsa.
Pertubuhan itu turut menggesa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB mengambil tindakan bagi melindungi tahanan Palestin serta memastikan mereka yang melakukan pencabulan tidak terlepas daripada hukuman.
Liga Arab juga menegaskan sokongan penuhnya terhadap tahanan Palestin dan keluarga mereka, sambil menyatakan bahawa perjuangan Palestin kekal menjadi keutamaan negara Arab.
Setakat ini, Israel belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Liga Arab itu.
Penjara Ramla terletak di tengah Israel dan dikendalikan oleh Perkhidmatan Penjara Israel.
Sementara itu, perkembangan tersebut berlaku ketika keganasan di Gaza terus meragut nyawa penduduk Palestin walaupun perjanjian gencatan senjata sudah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam dua serangan Israel di Gaza, menurut pegawai hospital dan pihak berkuasa tempatan.
Di Bandar Gaza, tiga orang, termasuk kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, terbunuh apabila peluru berpandu mengenai sekumpulan orang awam berhampiran Sekolah Kaherah di kawasan Al-Rimal.
Di selatan Gaza pula, lima anggota polis Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis.
Kementerian Dalam Negeri Gaza yang ditadbir Hamas berkata anggota polis berusia antara 23 dengan 53 tahun itu sedang menjalankan tugas rutin ketika diserang.
Tentera Israel mengesahkan melancarkan dua serangan terhadap individu yang didakwanya anggota kumpulan bersenjata, tetapi belum mengemukakan bukti atau maklumat lanjut.
Di luar Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, orang ramai berkumpul untuk menunaikan solat jenazah berhampiran mayat mangsa, termasuk kanak-kanak yang dibalut dengan kain putih.
Seorang penduduk, Encik Ali Oweis, berkata anak lelaki dan cucunya terbunuh ketika berada di khemah mereka.
“Anak lelaki saya dan anaknya terbunuh. Mereka hanya duduk di dalam khemah dan tidak mengganggu sesiapa apabila tiba-tiba peluru berpandu mengenai mereka,” katanya kepada AFP.
“Tiada gencatan senjata. Perang masih berterusan. Tidakkah kamu nampak?” tambahnya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,580 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025.
Jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula pada Oktober 2023 pula meningkat kepada 74,594 orang. – Agensi berita