ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mantan Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Dalam satu kenyataan, OIC menyifatkan langkah itu sebagai “langkah penting ke arah menamatkan ‘kekebalan daripada hukuman’ yang dinikmati pemimpin Israel selama beberapa dekad” dan “memulihkan keyakinan terhadap keadilan dan kebertanggungjawapan antarabangsa”.
Pertubuhan itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan “mewakili kemenangan bagi keabsahan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang”.
OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya negara anggota Statut Rom, agar “menghormati dan melaksanakan keputusan penting ini”.
Statut Rom ialah perjanjian yang membentuk ICC.
OIC adalah pertubuhan antarabangsa dalam kalangan negara Islam yang mempunyai delegasi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pertubuhan itu merangkumi gabungan 57 negara Islam dari seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara Timur Tengah, utara Afrika, Caucasus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan dan Asia Selatan.
Pada 21 November, ICC telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Encik Netanyahu dan Encik Gallant, serta ketua tentera Hamas, Encik Mohammed Deif.
“Mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuk dua individu, Encik Netanyahu dan Encik Gallant, kerana jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan mulai 8 Oktober 2023, sehingga sekurang-kurangnya hingga 20 Mei 2024, hari pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk waran tangkap,” kata ICC yang berpangkalan di Hague dalam satu kenyataan pada 21 November.
Waran juga telah dikeluarkan untuk menangkap Encik Deif, tambahnya.
Dalam responsnya, Encik Netanyahu menolak tindakan ICC, dan menyifatkannya sebagai “anti-Semitik”.
“Israel menolak dengan jijik tindakan tidak masuk akal dan palsu yang dibuat terhadapnya oleh ICC,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Israel tidak akan “menyerah kepada tekanan” dalam mempertahankan rakyatnya.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pula berkata ICC telah “hilang semua keabsahannya”.
“Ini adalah detik gelap bagi ICC,” tulis Encik Saar di wadah media sosial X.
“Badan yang menggelar dirinya sebagai ‘mahkamah’ mengeluarkan perintah tidak masuk akal tanpa kuasa... walaupun Israel bukan anggota ICC,” jelasnya.
Kumpulan militan Palestin Hamas mengalu-alukan langkah ICC dan meminta mahkamah “memperluaskan skop kebertanggungjawapan kepada semua pemimpin Israel”.
“(Ia) satu langkah penting ke arah menegakkan keadilan dan boleh membawa kepada penebusan terhadap mangsa secara umum, tetapi ia tetap terhad dan simbolik jika tidak disokong oleh semua negara di seluruh dunia,” kata ahli biro politik Hamas, Encik Bassem Naim.
Waran tangkap telah diklasifikasikan sebagai “rahsia” untuk melindungi saksi dan menjaga perjalanan siasatan, kata ICC.
“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk mengeluarkan maklumat kerana kelakuan serupa nampaknya masih berterusan.
“Mahkamah juga menganggap adalah demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka untuk memaklumkan tentang kewujudan waran itu,” tambah ICC.
Perang meletus apabila Hamas menyerang kawasan selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.
Tindak balas berterusan Israel pula telah membunuh sekitar 44,000 rakyat Palestin dan hampir memusnahkan Gaza sepenuhnya.
Sementara itu, OIC juga menggesa ICC agar “mempercepatkan penghakiman mengenai dakwaan genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin”.
Dengan menekankan krisis kemanusiaan yang berterusan, OIC merayu kepada Majlis Keselamatan PBB supaya “mengambil langkah segera dan berkesan untuk menguatkuasakan ketetapannya”.
Pertubuhan itu juga menuntut “gencatan senjata menyeluruh dan kekal bagi menamatkan pencerobohan ketenteraan serta genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin” dan menyeru supaya “bantuan kemanusiaan sampai ke semua kawasan di Gaza tanpa halangan”.
Pada Oktober lalu, OIC juga telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut Israel terhadap rakyat Palestin di utara Gaza.
OIC menegaskan “kecaman kerasnya terhadap peningkatan berterusan jenayah perang yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap warga Palestin, terutama di utara Gaza”.
Blok pan-Islam itu menggelar serangan Israel sebagai “sebahagian daripada percubaan yang bertujuan untuk perpindahan paksa, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.
Ia menganggap Israel “bertanggungjawab atas kesinambungan pencerobohan ini dan keganasan terancang yang diamalkan terhadap rakyat Palestin”.
OIC turut menggesa agar mengenakan sekatan ke atas Israel dan mempertanggungjawabkannya “untuk semua jenayah dan pelanggaran yang berterusan”.
Pertubuhan itu juga menggesa Majlis Keselamatan PBB “untuk memikul tanggungjawabnya, melaksanakan ketetapannya, mengenakan gencatan senjata segera dan menyeluruh dan menamatkan pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa dan ketetapan PBB yang berkaitan yang dilakukan oleh pendudukan Israel”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg