WASHINGTON: Rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran kini tertumpu kepada lima isu utama yang bakal menentukan sama ada konflik di Asia Barat dapat ditamatkan atau kembali memuncak.

Walaupun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mendakwa kedua-dua pihak semakin hampir mencapai perjanjian, kandungan sebenar rundingan masih belum diumumkan secara rasmi.

Lima isu utama yang masih dipertikaikan ialah program nuklear Iran, kawalan Selat Hormuz, dana Iran yang dibekukan, kumpulan proksi yang disokong Teheran dan program peluru berpandu balistik negara itu.

Pegawai dari kedua-dua negara turut memberikan gambaran berbeza mengenai perkembangan rundingan, terutama berkaitan masa depan program nuklear Iran dan stok uranium diperkaya tinggi milik Teheran.

Program nuklear Iran kekal isu paling sensitif

Program nuklear Iran menjadi fokus terbesar dalam rundingan damai itu. Washington dan Israel mahu Iran menyerahkan stok uranium diperkaya tingginya kerana bimbang bahan tersebut boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.

Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Iran kini memiliki kira-kira 970 paun uranium diperkaya pada tahap 60 peratus selain 11 tan uranium lain yang diperkaya pada tahap berbeza.

Seorang pegawai AS berkata kedua-dua negara telah bersetuju “secara prinsip” bahawa Iran akan melupuskan uranium diperkaya tingginya.

Namun, kaedah pelupusan itu masih dirundingkan. “Persoalannya sekarang ialah bagaimana proses itu akan dilakukan,” kata pegawai terbabit. Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pula memberi bayangan bahawa Washington mungkin menerima perjanjian sementara terlebih dahulu. “Anda tidak boleh menyelesaikan isu nuklear dalam tempoh 72 jam di atas sekeping kertas kecil,” katanya ketika lawatan ke India.

Namun, tiga pegawai kanan Iran menegaskan tiada persetujuan muktamad dicapai mengenai stok uranium negara itu. Iran juga menolak tuntutan supaya menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium. Teheran menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan awam dan penjanaan tenaga.

Selat Hormuz jadi nadi rundingan

Selat Hormuz pula menjadi isu kedua paling penting kerana laluan itu mengendalikan hampir satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia sebelum perang tercetus pada 28 Februari lalu.

Selepas konflik bermula, Iran bertindak menyekat laluan kapal komersial dan menyerang beberapa kapal dagang, sekali gus menyebabkan harga tenaga dunia melonjak.

Sebagai tindak balas, Amerika mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran dan kapal yang dikaitkan dengan Teheran. Kini Iran dilaporkan mahu mengekalkan pengaruhnya ke atas Selat Hormuz dengan mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui kawasan tersebut.

Pakar berkata langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana laluan perairan antarabangsa tidak boleh dikenakan bayaran untuk laluan selamat.

Menurut pegawai Iran, Teheran bersedia membenarkan kapal melalui selat itu tanpa bayaran buat sementara waktu jika Amerika menarik balik sekatan lautnya.

Encik Trump bagaimanapun memberi amaran sekatan itu akan diteruskan sehingga perjanjian dimeterai sepenuhnya. “Sekatan akan kekal berkuat kuasa sehingga satu perjanjian dicapai,” katanya menerusi Truth Social.

Iran tuntut dana yang dibekukan dipulangkan semula

Satu lagi isu utama ialah tuntutan Iran supaya dana negara itu yang dibekukan akibat sekatan antarabangsa dipulangkan semula. Pegawai Iran mendakwa mereka mahu sekurang-kurangnya AS$25 bilion ($31.93 bilion) dana itu dikembalikan kepada Teheran.

Namun pegawai Amerika berkata Washington belum menawarkan pemulangan dana pada peringkat ini. Menurutnya, proses itu hanya akan dipertimbangkan jika Iran memenuhi komitmen nuklearnya.

Encik Donald Trump sebelum ini sering mengkritik bekas Presiden Amerika, Barack Obama, kerana memulangkan AS$1.7 bilion aset Iran pada 2015 menerusi perjanjian nuklear era Obama. Encik Trump menarik Amerika keluar daripada perjanjian itu pada 2018.

Hezbollah dan kumpulan proksi terus jadi kebimbangan

Pengaruh kumpulan proksi Iran di Asia Barat turut menjadi kebimbangan utama Amerika dan Israel. Kumpulan paling berpengaruh ialah Hezbollah di Lebanon yang masih terlibat dalam pertempuran dengan Israel walaupun gencatan senjata diumumkan sebelum ini.

Iran mendakwa perjanjian damai baru akan menghentikan konflik di semua medan termasuk Lebanon. Namun Amerika belum mengesahkan sama ada isu Hezbollah termasuk dalam perjanjian yang sedang dibincangkan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau telah berbincang dengan Encik Trump dan kedua-dua pihak masih sehaluan dalam usaha menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear. Trump juga dilaporkan memberi jaminan bahawa Israel berhak mempertahankan diri daripada ancaman di semua medan termasuk Lebanon.

Peluru berpandu Iran boleh cetus konflik baharu

Program peluru berpandu balistik Iran turut menjadi isu besar kerana Israel dan negara Teluk Arab berada dalam lingkungan serangan Teheran.

Pada peringkat awal perang, pentadbiran Trump menuntut Iran menyerahkan atau mengehadkan peluru berpandunya. Namun pegawai Amerika berkata rundingan semasa tidak menyentuh stok peluru berpandu Iran.

Penganalisis percaya perkara itu boleh mengecewakan Israel kerana negara itu mahu keupayaan peluru berpandu Iran dihapuskan sepenuhnya.

Malah, sesetengah pemerhati memberi amaran konflik baharu boleh tercetus jika Israel bertindak sendiri menyerang kemudahan peluru berpandu Iran pada masa depan.

Walaupun rundingan damai dilihat semakin hampir, ramai penganalisis percaya lima isu utama itu masih terlalu rumit untuk diselesaikan dalam masa singkat. Sebarang kegagalan mencapai persefahaman mengenai nuklear, Selat Hormuz dan peluru berpandu Iran boleh menyebabkan perang di Asia Barat kembali meletus pada bila-bila masa. - Agensi berita