Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima masih hilang selepas feri terbakar dekat Selat Lombok
Pihak berkuasa turut minta kapal lalui Selat Lombok agar bantu kesan mangsa
MATARAM (INDONESIA): Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia meneruskan operasi di Selat Lombok pada 13 Ogos bagi mengesan lima penumpang yang masih hilang selepas sebuah feri terbakar ketika dalam perjalanan dari Bali ke Lombok.
Kejadian itu menyebabkan seorang wanita Indonesia berusia 19 tahun maut, manakala 211 penumpang berjaya diselamatkan selepas kebakaran tercetus pada awal pagi 12 Ogos.
Menurut pejabat mencari dan menyelamat Mataram di Pulau Lombok, operasi pada 13 Ogos kini memberi tumpuan kepada pencarian lima penumpang yang masih belum ditemui.
Sejumlah kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian bergegas membantu menyelamatkan penumpang pada 12 Ogos, termasuk sebuah kapal tentera laut dan sebuah lagi feri yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
Feri terbabit sedang dalam perjalanan dari Bali menuju ke Lombok apabila mengalami masalah ketika melalui Selat Lombok.
Pegawai mencari dan menyelamat, Encik Muhamad Hariyadi, berkata selain menjalankan pencarian secara langsung, pihak berkuasa turut meminta kapal yang melalui Selat Lombok supaya membantu mengesan mangsa.
“Selain pencarian secara langsung, kami juga mengarahkan kapal yang melalui Selat Lombok supaya memberikan bantuan awal atau segera memaklumkan kepada pos kawalan sekiranya menemukan mana-mana mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Pengalaman mencemaskan itu turut dikongsi beberapa mangsa yang terselamat selepas mereka terpaksa terjun ke laut bagi menyelamatkan diri dari feri yang terbakar.
Seorang mangsa, Encik Kiky Okta Pradika, 25 tahun, berkata beliau sempat mendapatkan jaket keselamatan sebelum terjun ke laut bersama beberapa penumpang lain.
Menurutnya, mereka terpaksa berada di laut selama beberapa jam sebelum bantuan tiba.
“Ada beberapa jam sebelum sebarang bantuan tiba,” katanya kepada wartawan di Lembar, Lombok, pada 12 Ogos.
Seorang lagi mangsa yang terselamat, Encik Sutrisna, 45 tahun, berkata suasana menjadi panik apabila penumpang berebut mendapatkan jaket keselamatan ketika bot penyelamat mula diturunkan dari feri berkenaan.
Menurutnya, keadaan laut yang bergelora turut menyukarkan proses menyelamat.
“Pemindahan sukar dilakukan kerana ombak besar. Apabila kapal penyelamat tiba, ombak ketika itu bahkan lebih tinggi daripada feri yang kami naiki,” katanya.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau, sangat bergantung kepada pengangkutan laut untuk perjalanan harian penduduk, penghantaran barangan dan sektor pelancongan.
Kemalangan membabitkan feri dan bot sering berlaku, dengan tahap keselamatan yang kurang memadai serta keadaan cuaca yang sukar diramal dikenal pasti sebagai antara faktor utama kejadian.
Kejadian terkini di Selat Lombok berlaku hanya seminggu selepas lima orang maut apabila sebuah feri terbakar di perairan Pulau Jawa.
Pada Julai lalu, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang pula karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi.
Empat mayat ditemukan dalam kejadian itu, tetapi operasi mencari dan menyelamat akhirnya ditamatkan dengan 14 orang masih disenaraikan sebagai hilang.
Rentetan nahas itu sekali lagi memberi perhatian kepada aspek keselamatan pengangkutan laut di Indonesia, terutama ketika feri menjadi antara pengangkutan penting yang menghubungkan ribuan pulau di negara berkenaan.
Bagi tragedi terbaharu, pasukan penyelamat kini terus menyisir perairan Selat Lombok dengan harapan dapat menemukan lima penumpang yang masih hilang. – Agensi berita.
