Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi cari 28 mangsa diteruskan selepas feri terbakar di perairan Jawa Timur
Operasi cari 28 mangsa diteruskan selepas feri terbakar di perairan Jawa Timur
Operasi cari 28 mangsa diteruskan selepas feri terbakar di perairan Jawa Timur
SURABAYA: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia meneruskan operasi mencari 28 mangsa yang masih hilang pada 3 Ogos selepas sebuah feri yang membawa 271 penumpang dan anak kapal terbakar di Laut Jawa, ketika dalam pelayaran dari Surabaya ke Makassar, pada 2 Ogos.
Setakat ini, lima orang disahkan maut manakala 238 lagi berjaya diselamatkan dalam tragedi yang berlaku kira-kira 45 kilometer di utara Pantai Galung, Sumenep, Jawa Timur.
Feri jenis ‘roll-on roll-off’ (Roro), KM Mutiara Sentosa II, yang dikendalikan PT Atosim Lampung Pelayaran itu membawa 232 penumpang, 26 kru serta 13 anak kapal tambahan ketika kejadian.
Ketua Pejabat SAR Surabaya, Encik Nanang Sigit, berkata operasi mencari diteruskan berikutan jumlah mangsa yang ditemui masih belum sepadan dengan data dalam senarai penumpang.
“Menurut senarai, kapal itu membawa 271 orang. Sehingga kini masih terdapat 28 individu yang belum ditemui,” katanya.
Pengarah Hal Ehwal Marin dan Udara Polis Jawa Timur, Arman Asmara Syarifuddin, berkata operasi mencari melibatkan tujuh kapal serta sebuah helikopter.
Katanya, aset yang digerakkan termasuk sebuah kapal perang korvet Tentera Laut Indonesia, beberapa bot laju dan sebuah kapal peronda yang mampu membawa kira-kira 100 penumpang.
“Pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada kawasan sejauh 10 batu nautika di sebelah timur dan barat lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata operasi SAR dijadual berlangsung selama tujuh hari dan boleh dilanjutkan sehingga 14 hari lagi sekiranya masih terdapat mangsa yang belum ditemui.
Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan.
Semua mangsa yang terselamat dibawa ke Pelabuhan Gapura Surya Nusantara di Surabaya pada pagi 3 Ogos, manakala ahli keluarga mangsa sudah menunggu di pelabuhan sejak malam sebelumnya.
Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya dikenali sebagai Cik Ria berkata beliau masih menunggu khabar mengenai bapa saudaranya yang dipercayai berada di atas feri berkenaan.
“Saya cuba menghubunginya berkali-kali tetapi telefonnya tidak aktif. Selepas menghubungi isterinya, saya mendapat kepastian bahawa dia memang berada dalam feri itu.
“Hingga sekarang kami masih belum mengetahui keadaannya,” katanya.
Menurut seorang penumpang yang terselamat yang hanya dikenalai sebagai Encik Azhari dari Makassar, kebakaran berlaku ketika kebanyakan penumpang baru bangun tidur dan bersiap untuk bersarapan.
Beliau berkata api dipercayai bermula di bahagian buritan sebelum merebak dengan pantas ke bahagian tengah kapal.
“Api merebak begitu cepat sehingga penumpang tidak mempunyai pilihan selain terjun ke laut untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Encik Azhari berkata beliau bersama ratusan penumpang lain terpaksa terapung di laut selama hampir empat jam sebelum diselamatkan kapal-kapal yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Menurut SAR Surabaya, operasi menyelamat disertai beberapa kapal dagang dan kapal tunda yang berada berhampiran lokasi termasuk MV Meratus Pematang Siantar, MV Transko Arafura, MV Meratus Project 3, MV Prakarsa Mas, MV Selaras Mas, MV Alcon Daniel dan MV British Mentor.
Operasi itu turut dibantu kapal penyelamat KN SAR Permadi, kapal pengawal pantai serta nelayan dari Ambunten, Sumenep.
Kementerian Perhubungan Indonesia memaklumkan laporan awal mengenai kebakaran diterima sekitar jam 8.30 pagi sebelum menyelaraskan operasi bersama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Pengawal Pantai Indonesia dan agensi berkaitan.
Ketua Pengarah Perhubungan Laut, Muhammad Masyhud, berkata keutamaan pemerintah ketika ini adalah memastikan semua penumpang dan anak kapal dipindahkan dengan selamat.
“Fokus utama kami ialah memastikan proses pemindahan dilakukan secepat, seaman dan seberkesan mungkin,” katanya.
Beliau berkata kapal dagang Meratus Project 3 adalah antara kapal pertama yang tiba di lokasi kejadian, namun tidak dapat mengambil mangsa kerana membawa muatan bahan berbahaya.
Operasi menyelamat kemudian diteruskan oleh kapal-kapal lain yang berada berhampiran.
Menteri Perhubungan, Encik Dudy Purwagandhi, berkata kementeriannya akan menilai prestasi syarikat pengendali kapal, PT Atosim Lampung Pelayaran, selepas siasatan Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT) selesai.
“Kami akan membuat penilaian berdasarkan hasil siasatan KNKT. Insiden ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak termasuk syarikat pengendali,” katanya.
Selain menyiasat punca kebakaran, kementerian itu turut memberi tumpuan kepada proses padanan data manifes dengan jumlah sebenar mangsa.
Menurut Dudy, kemungkinan wujud perbezaan antara data tersenarai dan jumlah penumpang sebenar kerana ada penumpang membatalkan perjalanan pada saat akhir tanpa dikemas kini dalam rekod.
Pada masa sama, pihak berkuasa turut menemui lima kanak-kanak yang identitinya tidak tersenarai.
KM Mutiara Sentosa II dibina di Jepun oleh Saiki Heavy Industries pada 1992 dan sebelum ini dikenali sebagai Ferry Osaka, yang beroperasi di laluan Osaka-Kitakyushu.
Kapal itu dibeli oleh PT Atosim Lampung Pelayaran pada 2015 sebelum dinamakan semula sebagai Mutiara Sentosa II dan digunakan bagi laluan Surabaya-Makassar.
Tragedi itu turut mengingatkan kepada kebakaran KM Mutiara Sentosa I pada 2017 berhampiran Kepulauan Masalembu ketika dalam pelayaran dari Surabaya ke Balikpapan.
Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau bergantung kepada pengangkutan laut sebagai penghubung utama antara wilayah. Namun, negara itu sering berdepan kemalangan feri berikutan kelemahan pematuhan terhadap piawaian keselamatan serta keadaan cuaca yang mencabar di perairannya. - Agensi berita