Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lima penyelamat maut apabila taufan 'Noru' landa Filipina

Sep 27, 2022 | 05:30 AM



MANILA: Lima pekerja penyelamat di Filipina terkorban dalam taufan yang menyebabkan rumah dinaiki air dan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik.



Mereka dihanyutkan dalam banjir kilat ketika menjalankan operasi di daerah San Miguel, utara ibu kota Manila.



Daerah itu antara yang dilanda taufan Noru, dengan beberapa penduduk dilihat terkandas di atas bumbung mereka, manakala yang lain mengharungi banjir yang bertaburan sampah setinggi dada cuba menghantar bekalan.



Taufan itu menyebabkan angin ribut hingga 240 kilometer sejam (ksj) di Luzon, tempat lebih separuh daripada 110 juta penduduk Filipina tinggal.



Noru, yang dikenali secara tempatan sebagai Karding, mula-mula mendarat sebagai taufan besar, tetapi kemudiannya lemah pada 8.20 malam waktu tempatan kelmarin.



Kelmarin, Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, mengarahkan semua sekolah dan pejabat di Metro Manila dan tujuh wilayah lain ditutup, sedang Noru melanda Luzon, membawa angin kencang dan hujan lebat yang pasti menyebabkan ribut dahsyat dan tanah runtuh.



Noru digolongkan sebagai taufan Kategori 3, iaitu angin bertiup kencang antara 179ksj hingga 208ksj, dengan risiko tinggi berlaku kecederaan atau kematian ke atas manusia, ternakan dan haiwan peliharaan akibat serpihan yang terbang dan jatuh.



Bekalan elektrik dan air juga berkemungkinan terputus beberapa hari hingga beberapa minggu selepas ribut itu.



Sebelum taufan itu melanda, banyak kawasan di tengah Luzon diletak pada tahap amaran taufan tertinggi, iaitu lima.



Lebih 74,000 orang dipindahkan daripada laluan taufan itu, dan pegawai telah mengeluarkan amaran tentang "banjir serius" di kawasan ibu kota Manila.



Syarikat penerbangan membatalkan penerbangan, dan semua pelabuhan serta laluan kereta api terjejas ditutup.



Beberapa pusat beli-belah di Manila ditutup awal, dan menawarkan tempat perlindungan sementara serta tempat letak kereta semalaman percuma dan stesen pengecasan.



Taufan ke-11 dan yang paling kuat melanda Filipina tahun ini itu mula lemah sedikit apabila ia menerjah bandar Dingalan, di wilayah Aurora di bahagian timur Luzon.



Imej di media sosial menunjukkan batang pokok dan serpihan lain bersepah di sepanjang jalan di sebuah bandar di pulau Polillo.



"Pokok kelapa bergoyang manakala pokok pisang ditumbangkan," kata Datuk Bandar Polillo, Cik Angelique Bosque, kepada stesen radio DZRH.



Seorang lelaki di San Vincente, sebuah kampung di San Miguel, dilihat cuba menceduk air keluar dari pintunya, tetapi sia-sia sahaja.



Seorang lagi, berdiri di atas bumbung rumahnya, menjerit bahawa pemimpin negara itu perlu "memberi tumpuan pada perubahan iklim".



Banjir di kampung itu memuncak pada kira-kira 4 pagi semalam, dan air dikatakan semakin surut selepas itu.



Taufan itu dijangka menjadi lemah lewat semalam sebelum menuju ke Vietnam.



Tetapi setakat ini tiada laporan kerosakan teruk atau kehilangan nyawa meluas.



"Saya rasa kita mungkin bertuah, sekurang-kurangnya kali ini," kata Encik Marcos Jr semasa satu taklimat semalam.



"Saya fikir adalah jelas daripada apa yang kami lakukan dua hari lepas bahawa membuat persediaan adalah sangat, sangat penting," tambahnya.



"Ia belum berakhir. Saya fikir titik apabila kita boleh mengurangkan tindakan ialah apabila majoriti mangsa yang dipindahkan sudah kembali ke rumah mereka."



Filipina - antara negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim - dilanda purata 20 taufan setiap tahun. Pada 2013, taufan besar Haiyan menyebabkan sekurang-kurangnya 6,000 orang terkorban.



Encik Marcos Jr. telah mengarahkan bekalan diterbangkan dan peralatan pembersihan disediakan kepada masyarakat paling terjejas. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >