PARIS: Polis Perancis menahan lima lagi suspek berhubung rompakan berprofil tinggi di Muzium Louvre, lapor stesen radio RTL pada 30 Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan meningkat kepada lapan orang.
Menurut stesen televisyen BFM TV, seorang lelaki turut ditahan lewat malam 29 Oktober di kawasan Paris. Lelaki itu dipercayai berada di lokasi kejadian pada 19 Oktober, ketika rompakan berlaku di Galerie d’Apollon, yang menempatkan Permata Mahkota Perancis.
Pihak pendakwa Paris, Cik Laure Beccuau, mengesahkan dua lelaki yang ditahan pada 25 Oktober lalu telah “sebahagian mengaku terlibat” dalam rompakan berani siang hari itu, namun setakat ini barang kemas bernilai lebih AS$102 juta (S$132 juta) masih belum ditemui.
“Kedua-dua suspek telah sebahagiannya mengakui penglibatan mereka dalam rompakan ini,” kata Cik Beccuau pada sidang media di Paris. “Kami tidak menolak kemungkinan wujud kumpulan yang lebih besar, termasuk individu yang mungkin mengarahkan atau menjadi penerima barang curi tersebut.”
Rompakan yang berlaku pada 19 Oktober dalam tempoh enam hingga tujuh minit itu dilakukan oleh empat lelaki bertopeng ketika muzium dibuka kepada orang ramai. Mereka memecah masuk melalui tingkap tingkat atas menggunakan trak lif yang dicuri dari bandar Louvres, berhampiran Paris, dua minggu sebelum kejadian.
Selepas memecahkan kaca galeri, kumpulan itu melarikan lapan barangan berharga sebelum menaiki motosikal untuk meloloskan diri. Kamera keselamatan gagal mengesan pencerobohan tepat pada waktunya untuk menggagalkan rompakan itu.
“Tiada bukti setakat ini menunjukkan ia melibatkan kakitangan dalaman,” jelas Cik Beccuau. “Kami tetap optimis bahawa permata yang hilang itu akhirnya akan ditemui dan dikembalikan ke Muzium Louvre.”
Kedua-dua suspek utama ditahan selepas pihak berkuasa mengenal pasti mereka melalui jejak DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian. Seorang daripadanya ialah lelaki warga Algeria berusia 34 tahun yang menganggur dan telah menetap di Perancis sejak 2010. Dia ditangkap di lapangan terbang ketika cuba menaiki pesawat ke Algeria.
Suspek kedua, lelaki Perancis berusia 39 tahun, sudahpun berada di bawah pengawasan kehakiman kerana kes kecurian berat yang lain. Kedua-duanya tinggal di kawasan Aubervilliers, sebuah kejiranan berpendapatan rendah di utara Paris.
Cik Beccuau berkata pihak pendakwa akan memohon agar kedua-dua suspek diletakkan di bawah siasatan rasmi atas tuduhan mencuri secara terancang. Walaupun di bawah siasatan rasmi tidak bermaksud bersalah, ia menunjukkan terdapat bukti mencukupi untuk membuka penyiasatan kehakiman.
“Mereka akan disiasat di bawah undang-undang kes curi terancang,” kata Cik Beccuau, dan menambah bahawa pihak polis kini meneliti rangkaian lebih luas yang mungkin terlibat dalam penjualan semula permata bersejarah itu.
Peguam kedua-dua suspek, Encik David Bocobcza dan Encik Reda Ghilachi, memberitahu BFMTV bahawa mereka mahu siasatan dijalankan “secara tenang dan sulit”.“Anak guam kami hanya akan memberikan keterangan kepada majistret penyiasat,” kata mereka.
Rompakan ini telah mencetuskan kejutan di seluruh dunia dan mencalar reputasi Perancis sebagai penjaga warisan seni dunia. Akibat kelemahan keselamatan yang terdedah, beberapa koleksi permata paling berharga milik Louvre kini dilaporkan telah dipindahkan ke Bank of France di bawah kawalan ketat polis, lapor RTL.
“Ia bukan sekadar kehilangan permata, tetapi kehilangan maruah negara,” lapor sebuah akhbar Perancis yang menggambarkan kejadian itu sebagai “tamparan kepada simbol budaya Perancis”. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg