Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permata dicuri dari Louvre tidak dilindungi insurans

Oct 24, 2025 | 11:04 AM
rompakan, Muzium Louvre, Paris
Foto ini menunjukkan Parure de la Reine Marie-Amélie et de la Reine Hortense, set barang kemas milik Ratu Marie-Amelie dan Ratu Hortense, yang dipamerkan di Galeri Apollo pada 14 Januari 2020 di Muzium Louvre, Paris, selepas galeri itu dibuka semula selepas kerja pengubahsuaian selama sepuluh bulan. Barang kemas ini antara yang telah dilarikan pencuri pada 19 Oktober 2025. - Foto AFP

PARIS: Rompakan berani di Muzium Louvre pada hujung minggu lalu bukan sahaja menggegarkan dunia seni, malah menimbulkan persoalan besar: mengapa permata bernilai 88 juta euro ($133 juta) itu tidak dilindungi insurans?

Permata yang dicuri yang antaranya termasuk mahkota, anting-anting dan kalung bertatahkan berlian, nilam dan zamrud milik Maharani Eugenie, isteri kepada Maharaja Napoleon III; bukan sekadar harta bernilai material, tetapi sebahagian daripada warisan sejarah Perancis yang tidak ternilai.

Namun menurut Kementerian Kebudayaan Perancis, kesemua barang kemas itu tidak dilindungi insurans secara peribadi.

Ini bermakna, tiada pampasan akan diterima oleh Louvre atas kehilangan tersebut.

Menurut Encik Romain Dechelette, Presiden Serex Assurances – syarikat insurans seni halus berpangkalan di Perancis – undang-undang negara itu melarang muzium milik pemerintah daripada melindungi koleksi mereka dengan insurans, kecuali apabila karya seni tersebut dipindahkan atau dipinjamkan ke institusi lain.

“Segala yang dimiliki oleh muzium negara di Perancis tidak dilindungi insurans kecuali jika ia keluar dari muzium,” katanya kepada CBS News.

Beliau menjelaskan, oleh sebab Louvre ialah muzium kebangsaan, koleksinya dianggap milik negara, dan hanya pemerintah bertanggungjawab terhadap apa-apa risiko yang berlaku.

“Jika mana-mana karya seni atau permata dipinjam ke pameran lain, nilai insuransnya akan ditetapkan berdasarkan anggaran yang dinilai oleh pakar dan suruhanjaya,” tambah Encik Dechelette.

Dalam kenyataan kepada akhbar Le Parisien, jurucakap Kementerian Kebudayaan berkata:
“Negara bertindak sebagai penanggung insuransnya sendiri selagi karya-karya seni milik muzium kebangsaan kekal di tempat asalnya.”

Encik Nicolas Kaddeche, Pengarah Teknikal Hiscox Assurances France, salah satu peneraju pasaran insurans muzium, berkata keputusan untuk tidak melindungi koleksi Louvre berpunca daripada kos premium insurans yang terlalu tinggi.

“Untuk muzium sebesar Louvre, nilai keseluruhan koleksinya menjangkau ratusan bilion euro. Kos premium tahunan sahaja boleh mencecah jumlah yang lebih tinggi daripada bajet keselamatan mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa lebih berbaloi bagi pemerintah untuk melabur dalam sistem keselamatan dan pengawasan, berbanding membayar insurans yang hampir mustahil dari segi kewangan.

“Louvre merupakan satu lokasi yang menempatkan aset seni paling berharga di dunia daripada Mona Lisa hingga Venus de Milo, sekali gus menjadikannya mustahil untuk dilindungi di bawah insurans seperti muzium berskala kecil,” ujarnya.

Menurut Encik Laure Beccuau, Pendakwa Raya Paris yang mengetuai siasatan, nilai pasaran barang kemas yang dicuri dianggarkan sekitar 88 juta euro, tetapi nilai sejarahnya kepada Perancis adalah jauh lebih besar.

“Jumlah wang boleh diganti, tetapi sejarah tidak,” kata seorang pegawai kanan budaya Perancis kepada AFP.

Jika permata itu dilindungi insurans dan tuntutan dibuat, Louvre hanya akan menerima pampasan kewangan tetapi tidak mungkin dapat menggantikan nilai simbolik dan sejarahnya.

“Walaupun kita memperoleh kembali 88 juta euro daripada tuntutan insurans, kita tidak akan pernah mendapatkan harta yang sama,” kata Cik Irene Barnouin, Pengarah Jualan dan Teknikal Seni di WTW France.

“Segala nilai sejarah dan makna budaya yang dibawa oleh harta itu hilang untuk selama-lamanya,” katanya.

Rompakan ini turut menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan di muzium paling terkenal di dunia itu.

Menurut laporan Radio France, sekitar 35 peratus ruang di sayap Denon, tempat Galeri Apollo berada, tidak dipantau oleh kamera keselamatan.

Profesor kriminologi di Konservatori Nasional Seni dan Kraf, Encik Alain Bauer, berkata walaupun penjenayah mungkin ditangkap, kemungkinan besar permata itu tidak akan ditemui semula.

“Kami akan menangkap mereka, tetapi saya tidak fikir kita akan mendapatkan semula permata itu,” katanya kepada CBS News.

Menurutnya, barang kemas yang dicuri boleh dipecahkan dan dijual secara berasingan di pasaran gelap untuk berjuta-juta euro.

“Apabila ia dipecahkan, nilai sejarahnya hilang selama-lamanya,” katanya.

Dalam konteks lebih luas, kes ini mencerminkan dilema besar antara perlindungan warisan nasional dengan tanggungjawab kewangan pemerintah.

Insurans mungkin dapat menampung kerugian kewangan, tetapi tidak dapat menebus kehilangan sejarah.

Dalam banyak kes, pemerintah lebih memilih untuk menanggung risiko sendiri berbanding menginsuranskan warisan budaya yang dianggap “tidak ternilai.”

Encik Kaddeche menegaskan, “Akhirnya, tiada nilai pasaran yang benar-benar dapat menilaijiwa’ sesuatu karya seni.”

Sementara Encik Peter Keller, Pengarah Muzium Legion d’Honneur di Paris, pula mengingatkan bahawa muzium kini perlu berfikir seperti penjenayah moden.

“Penjenayah semakin canggih, dan kita juga perlu bertindak lebih pantas serta bijak. Keselamatan harus menjadi pelaburan utama, bukan satu pilihan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg