Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Larangan pendidikan anak perempuan cabar masa depan Afghanistan

Lebih 2.2j remaja perempuan Afghanistan terputus akses kepada pendidikan menengah sejak Taleban umum larangan
Apr 14, 2025 | 5:30 AM
Bagi keluarga yang enggan menyerah kepada larangan Taleban, ada yang mengambil jalan alternatif dengan adanya sekolah bawah tanah yang beroperasi di banyak lokasi rahsia di seluruh Afghanistan. Sekumpulan pelajar perempuan (gambar) turut mengikuti pengajian di madrasah di Kandahar pada 3 Mac 2025.
Bagi keluarga yang enggan menyerah kepada larangan Taleban, ada yang mengambil jalan alternatif dengan adanya sekolah bawah tanah yang beroperasi di banyak lokasi rahsia di seluruh Afghanistan. Sekumpulan pelajar perempuan (gambar) turut mengikuti pengajian di madrasah di Kandahar pada 3 Mac 2025. - Foto AFP

KABUL: Larangan pendidikan menengah ke atas anak perempuan di Afghanistan yang kini memasuki tahun keempat telah menjadi manifestasi paling ekstrem penindasan terhadap wanita dalam sistem pemerintahan Taleban.

Lebih daripada sekadar satu dasar pentadbiran, larangan itu menjerumuskan Afghanistan ke dalam kegelapan pembangunan.

Larangan yang pada asalnya dianggap bersifat sementara kini telah menjadi dasar tetap yang mengancam pembangunan jangka panjang Afghanistan dalam pelbagai bidang – merangkumi pendidikan, ekonomi, kesihatan awam, kestabilan sosial, serta kedudukan negara itu di pentas antarabangsa.

Sejak larangan itu dilaksanakan semula pada September 2021, lebih 2.2 juta remaja perempuan Afghanistan terputus akses kepada pendidikan menengah.

Jika larangan itu berterusan hingga 2030, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menganggarkan lebih 4 juta anak perempuan akan terpinggir daripada sistem pendidikan formal.

“Akibatnya bukan hanya kepada anak-anak remaja perempuan ini, bahkan kepada seluruh negara. Ia adalah suatu bencana,” kata Pengarah Eksekutif Unicef, Cik Catherine Russell, dalam kenyataannya.

Beliau menegaskan larangan itu “menjejas sistem kesihatan, ekonomi dan masa depan Afghanistan secara menyeluruh”.

Afghanistan kini menjadi satu-satunya negara di dunia yang secara rasmi mengharamkan pendidikan menengah dan tinggi untuk anak perempuan.

Taleban bertegas dasar itu selari dengan takrifan mereka terhadap undang-undang Islam, meskipun ramai ulama dan negara Islam lain tidak bersetuju.

Pakar kesihatan kemanusiaan sejagat dari Universiti St George, London, Dr Ayesha Ahmad, menyifatkan larangan itu sebagai bentuk diskriminasi sistematik.

“Tanpa kesamarataan dalam pendidikan, tiada negara boleh maju. Ini bukan hanya diskriminasi... ia adalah bentuk keganasan berstruktur,” katanya kepada Arab News.

Implikasi larangan itu jauh melampaui bilik darjah.

Penutupan program perubatan bagi wanita pada Disember 2024 memburukkan lagi keadaan.

Unicef menjangkakan 1,600 kematian ibu dan lebih 3,500 kematian bayi akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang akibat kekurangan doktor dan bidan wanita.

Afghanistan ketika ini sudah mencatat antara kadar kematian ibu tertinggi di dunia, dengan 600 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup – hampir tiga kali ganda purata peringkat sejagat.

Cik Russell memberi amaran bahawa kekurangan tenaga kerja wanita dalam sistem kesihatan, digabungkan dengan peraturan wajib penjaga lelaki untuk wanita yang ingin mendapatkan rawatan, meletakkan nyawa ribuan wanita dalam bahaya setiap hari.

“Ini bukan sekadar angka. Ini adalah nyawa yang hilang, impian yang berkecai dan keluarga yang musnah,” katanya.

Ketiadaan pendidikan meningkatkan lagi risiko perkahwinan kanak-kanak.

Unicef melaporkan hampir 28 peratus remaja perempuan Afghanistan dikahwinkan sebelum usia 18 tahun.

Apabila akses kepada sekolah disekat, ramai ibu bapa menganggap perkahwinan awal sebagai satu-satunya jalan keluar untuk anak perempuan mereka.

Cik Russell menegaskan bahawa larangan itu mempercepatkan kitaran penderitaan.

“Dengan semakin ramai remaja perempuan tercicir dari sekolah, mereka berisiko lebih tinggi untuk dikahwinkan awal yang membawa kesan buruk kepada kesihatan, hak dan masa depan mereka,” ujar beliau.

Ketiadaan pendidikan juga bermakna ramai remaja perempuan tidak mempunyai kemahiran untuk menyara hidup.

Ini menjadikan mereka bergantung kepada orang lain dan mendedahkan mereka kepada penderaan serta eksploitasi.

Dari sudut ekonomi, larangan pendidikan itu membawa kerugian besar kepada Afghanistan.

Menurut laporan Unicef pada 2022, penyingkiran remaja perempuan daripada pendidikan menengah menyumbang kepada kehilangan kira-kira 2.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tahunan Afghanistan.

Ketua Pengarang, syarikat media, The Afghan Times, Cik Salma Niazi, menjelaskan:

“Wanita yang berpendidikan menyumbang kepada kemajuan dalam penjagaan kesihatan, tadbir urus, serta daya tahan masyarakat.

“Apabila mereka dinafikan pendidikan, produktiviti negara menurun dan jurang ketidaksamaan jantina semakin luas.”

Beliau menambah bahawa sekatan itu akan menghasilkan “kemerosotan ekonomi berpanjangan” serta menggalakkan “penghijrahan bakat” kerana golongan muda tidak melihat masa depan di negara sendiri.

Selain kehilangan hak asasi, larangan ini mencetuskan tekanan psikologi mendalam dalam kalangan anak perempuan dan wanita muda.

Dr Ayesha menyifatkan kesannya sebagai trauma kolektif yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.

“Kesannya ialah perasaan putus harapan, kemurungan dan dalam kes tertentu, kecenderungan untuk membunuh diri. Anak-anak remaja wanita ini melihat masa depan mereka dirampas secara paksa,” katanya.

Beliau menyifatkan dasar itu sebagai satu bentuk “aparteid jantina” yang berupaya memusnahkan harapan satu generasi.

Sebahagian keluarga yang enggan menyerah kepada larangan itu mengambil jalan alternatif.

Sekolah bawah tanah kini beroperasi di banyak lokasi rahsia di seluruh Afghanistan.

Namun, Cik Niazi menekankan bahawa sekolah-sekolah itu tidak mencukupi, tidak formal dan beroperasi dengan sumber yang amat terhad.

“Ramai anak perempuan kini belajar secara rahsia melalui Zoom, menggunakan buku elektronik (e-buku) yang diseludup masuk, dan ada yang mengajar adik mereka di rumah,” katanya.

Pembelajaran dalam talian juga berdepan pelbagai cabaran – daripada kekurangan bekalan elektrik, akses Internet yang terhad, hingga yuran antarabangsa yang tinggi.

Dr Ayesha berkongsi pengalaman seorang pelajar:

“Seorang pelajar terpaksa menyiapkan tesis sarjana dalam keadaan bekalan elektrik sering terputus dan tidak dapat mengecas komputer.

“Dan akhirnya, tiada peluang pekerjaan untuk mengembangkan kerjayanya.”

Walaupun masyarakat antarabangsa mengutuk larangan itu secara tekal, perubahan sebenar belum berlaku.

Mantan Menteri Wanita Afghanistan, Cik Hasina Safi, berkata: “Tindak balas antarabangsa masih tidak memberi kesan.

“Kami perlukan tekanan berterusan melalui pembiayaan bersyarat, strategi diplomatik dan sokongan terhadap pendidikan alternatif.”

Cik Safi turut menggesa negara Islam agar memainkan peranan lebih proaktif.

“Pendidikan adalah prinsip dalam Islam. Kita perlu rangka semula naratif ini dan gunakan pengaruh agama untuk mendesak perubahan.”

Dr Ayesha pula menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap sebahagian anggota masyarakat antarabangsa.

“Apabila nyawa orang Barat terancam, tindakan pantas diambil.

“Tetapi apabila anak remaja perempuan Afghanistan dipadam daripada sejarah secara sistematik, dunia memilih untuk membisu. Ini juga satu bentuk keganasan,” kata beliau.

Larangan pendidikan terhadap anak perempuan bukan sahaja menjejas masa depan individu itu, bahkan mengorbankan potensi satu generasi.

Afghanistan tidak mungkin membina sebuah negara yang stabil dan makmur jika separuh daripada penduduknya dinafikan hak paling asas – hak untuk belajar.

“Tiada apa yang boleh dibina tanpa pendidikan,” kata Dr Ayesha.

“Jika larangan ini diteruskan, ia bukan sekadar kemunduran, bahkan, sebaliknya ia adalah kehancuran sepenuhnya terhadap negara,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg