Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekatan terhadap wanita jejas ekon bandar Afghanistan
Sekatan terhadap wanita jejas ekon bandar Afghanistan
Sekatan terhadap wanita jejas ekon bandar Afghanistan
HERAT (Afghanistan): Suasana di bandar Herat yang sebelum ini terkenal sebagai pusat perdagangan dan kebudayaan Afghanistan, kini semakin suram apabila ramai wanita memilih untuk tidak keluar rumah selepas pihak berkuasa Taleban memperketat penguatkuasaan kod pemakaian wanita.
Peniaga, pemandu beca bermotor dan penduduk tempatan berkata tindakan polis moral Taleban sejak awal Jun lalu bukan sahaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan wanita, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi bandar itu, apabila bilangan pelanggan di pasar merosot dengan ketara.
Menurut mereka, puluhan wanita ditahan oleh anggota Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Kemungkaran kerana didakwa melanggar peraturan berpakaian dengan tidak memakai chador atau burka yang menutupi seluruh tubuh.
Tindakan itu turut mencetuskan satu protes yang jarang berlaku di Herat sebelum dileraikan secara ganas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya dua individu terbunuh dalam insiden berkenaan.
Seorang pemilik kedai jahit berusia 26 tahun, Encik Ramin Ghafoori, berkata keadaan berubah secara mendadak sejak operasi penguatkuasaan diperhebatkan.
“Sejak insiden itu berlaku, hampir tiada lagi wanita datang ke pasar. Suasana menjadi sunyi dan jualan kami merosot dengan ketara,” katanya kepada AFP.
Herat merupakan bandar perdagangan terbesar di barat Afghanistan, dengan wanita menjadi kumpulan pelanggan utama bagi kebanyakan premis perniagaan.
Pemilik kedai kasut, Encik Nazeer Ahmad Azimi, berkata sekitar 90 peratus jualannya bergantung kepada pelanggan wanita.
“Sembilan puluh peratus jualan kami datang daripada wanita. Mereka bukan sahaja membeli untuk diri sendiri, malah membeli pakaian dan kasut untuk suami serta ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau menganggarkan hasil jualan di pasar Herat merosot hampir 50 peratus sejak tindakan penguatkuasaan diperketatkan.
“Apabila wanita tidak lagi keluar membeli-belah, seluruh rantaian perniagaan terjejas,” katanya.
Sehingga kini, pentadbiran bandar Herat belum mengulas lagi mengenai kesan ekonomi akibat sekatan berkenaan.
Sejak Taleban kembali memerintah Afghanistan pada Ogos 2021, pelbagai sekatan dikenakan terhadap wanita termasuk larangan melanjutkan pelajaran melebihi sekolah rendah, bekerja dalam beberapa sektor serta mengunjungi taman rekreasi dan kemudahan awam.
Seorang wanita berusia 28 tahun yang enggan dikenali atas faktor keselamatan berkata beliau kini tidak lagi keluar bertemu rakan-rakan atau mengunjungi restoran dan pusat beli-belah seperti sebelum ini.
“Saya berasa seperti orang asing di bandar sendiri. Saya lebih rela duduk di rumah kerana takut ditahan,” katanya.
Beberapa wanita lain turut berkongsi perasaan sama, menyatakan kebimbangan terhadap pemeriksaan yang dijalankan polis moral, menyebabkan mereka hanya keluar rumah jika benar-benar perlu.
Perubahan itu amat ketara di Herat yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ibu kota kebudayaan Afghanistan, malah pernah mempunyai jumlah pelajar universiti wanita melebihi lelaki sebelum Taleban kembali berkuasa.
Walaupun pemerintah Taleban berulang kali menegaskan hasrat untuk membangunkan ekonomi yang lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan asing, pakar ekonomi berpendapat sasaran itu sukar dicapai tanpa penyertaan aktif sektor swasta serta golongan wanita.
Afghanistan ketika ini masih berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, susulan pengurangan bantuan antarabangsa, selain perlu menampung jutaan rakyat yang pulang dari Iran dan Pakistan.
PBB sebelum ini menganggarkan dasar yang mengehadkan penyertaan wanita dalam kehidupan awam boleh menyebabkan ekonomi Afghanistan kerugian sekitar AS$1 bilion ($1.28 bilion) setiap tahun.
Seorang wanita berusia 27 tahun berkata sebelum ini beliau menaiki pengangkutan persendirian setiap hari untuk menghadiri kelas bahasa.
Namun sejak operasi penguatkuasaan diperhebatkan pada Jun lalu, beliau hampir tidak pernah meninggalkan rumah.
“Saya diselubungi rasa takut dan cemas. Disebabkan ketakutan itu, saya sanggup menghentikan semua aktiviti di luar rumah,” katanya.
Sebelum ini, beliau membelanjakan kira-kira AS$0.78 ($1) sehari untuk tambang pengangkutan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan.
Kesan itu turut dirasai pemandu beca bermotor berusia 21 tahun, Encik Farshid Karimi, yang berkata pendapatannya merosot hampir separuh dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
“Dulu wanita bebas menaiki beca untuk ke pasar atau ke tempat kerja. Sekarang mereka tidak lagi keluar rumah, jadi kami kehilangan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, pendapatan hariannya yang sebelum ini mencecah sekitar AS$9 kini hanya kira-kira AS$4.
Seorang lagi wanita berusia 31 tahun berkata beliau sebelum ini kerap berbelanja lebih AS$20 setiap kali membeli pakaian, namun kini menghentikan terus aktiviti membeli-belah.
Keadaan itu memberi kesan berantai kepada peniaga kecil yang bergantung kepada perbelanjaan pengguna wanita.
Bagi Ghafoori, wanita merupakan nadi utama ekonomi bandar Herat.
“Pasar ini bergerak kerana wanita. Jika tiada wanita, tiadalah pasar,” katanya. – Agensi berita.
