Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lokasi seorang lagi pemimpin kanan Hezbollah cetus tanda tanya

Oct 7, 2024 | 4:06 PM
Lokasi pemimpin kanan Hezbollah, Encik Hashem Safieddine, mencetuskan tanda tanya sejak 4 Oktober setelah kempen pengeboman Israel di pinggir selatan Beirut didakwa menyasarkan beliau.
Lokasi pemimpin kanan Hezbollah, Encik Hashem Safieddine, mencetuskan tanda tanya sejak 4 Oktober setelah kempen pengeboman Israel di pinggir selatan Beirut didakwa menyasarkan beliau. - Foto AFP

BEIRUT: Israel dikatakan telah menghalang usaha mencari dan menyelamat di kawasan pengeboman yang dipercayai melibatkan pemimpin kanan Hezbollah, Encik Hashem Safieddine.

Serangan tersebut berlaku di pinggir selatan Beirut pada 3 Oktober, satu kawasan yang menjadi kubu kuat gerakan Hezbollah.

Encik Safieddine merupakan antara calon utama untuk menggantikan Encik Hassan Nasrallah, bekas pemimpin Hezbollah yang dilaporkan terkorban dalam serangan udara Israel pada 27 September.

Sehingga kini, keberadaan Encik Safieddine masih menjadi tanda tanya dan nasibnya tidak dapat dipastikan. Beliau tidak dapat dihubungi sejak 4 Oktober.

Seorang pegawai kanan Hezbollah, Encik Mahmolud Qmati, menyatakan beliau juga tidak mempunyai maklumat mengenai status Encik Esmail Qaani, pemimpin Pasukan Quds Iran yang juga dilaporkan hilang sejak serangan di Beirut itu.

Dalam kenyataannya di televisyen, Encik Qmati menggesa Israel agar membenarkan pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa Hezbollah kini sedang dipimpin secara bersama oleh beberapa pemimpin kanan sementara menunggu pemilihan ketua baharu, yang dijangka mengambil masa.

“Yang penting sekarang ialah kepimpinan bersama telah ditubuhkan, dan proses memilih pengganti Setiausaha Agung memerlukan masa serta keadaan yang sesuai,” ujar Encik Qmati.

Israel melihat Encik Safieddine sebagai ancaman utama kerana pengaruhnya dalam hal ehwal politik dan operasi ketenteraan gerakan itu.

Beliau juga merupakan anggota Majlis Jihad yang menguruskan strategi ketenteraan Hezbollah.

Dalam masa yang sama, laporan dari media Israel mendakwa Encik Safieddine telah mengalami kecederaan akibat serangan tersebut, namun tiada pengesahan rasmi dibuat oleh pihak Hezbollah.

Keadaan itu mengingatkan orang ramai kepada situasi yang sama ketika Encik Nasrallah tidak dapat dikesan sebelum disahkan terkorban dalam serangan di Beirut.

Sementara itu, Encik Qmati turut mengesahkan bahawa jenazah Encik Nasrallah masih berada di Lebanon dan akan dikebumikan di pinggir selatan Beirut apabila keadaan mengizinkan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg