BEIRUT: Timbalan Setiausaha Agung Hezbollah, Sheikh Naim Qassem, berkata kumpulan itu akan melantik pemimpin baru seawal mungkin untuk menggantikan, Encik Hassan Nasrallah, dan berikrar bahawa kumpulan yang disokong Iran itu akan terus memerangi Israel.
Ucapan Sheikh Qassem selama 19 minit yang disiarkan di televisyen pada 30 September, menandakan yang pertama oleh pemimpin tertinggi Hezbollah sejak Encik Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel pada 27 September.
Beliau ialah tokoh veteran yang berkhidmat sebagai timbalan setiausaha agung sejak 1991.
Beliau dilantik oleh Setiausaha Agung Hezbollah, Encik Abbas al-Musawi, yang terbunuh dalam serangan helikopter Israel pada 1992, dan kekal memainkan peranan itu apabila Encik Nasrallah menjadi pemimpin.
Kegiatan politiknya bermula dalam Gerakan Amal Syiah Lebanon, yang diasaskan pada 1974.
Namun beliau meninggalkan badan itu pada 1979, berikutan Revolusi Islam Iran, yang membentuk pemikiran politik ramai aktivis muda Syiah di Lebanon.
Sheikh Qassem menyertai mesyuarat yang membawa kepada pembentukan Hezbollah, yang ditubuhkan Pengawal Revolusi Iran pada 1982.
Beliau telah lama menjadi salah seorang jurucakap terkemuka Hezbollah dan banyak kali diwawancara media asing.
Ketika permusuhan rentas sempadan berkecamuk dengan Israel semasa perang Gaza, beliau memberitahu media pada Jun bahawa keputusan Hezbollah bukanlah untuk meluaskan perang tetapi ia akan menentang jika dipaksa berbuat demikian.
Sheikh Qassem, ayah kepada enam anak, dilahirkan pada 1953 di daerah Basta Tahta di Beirut dan keluarganya berasal dari Kfar Fila, di selatan Lebanon yang didominasi pengikut fahaman Syiah.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata pada 30 September bahawa dunia kini lebih selamat selepas Israel membunuh Encik Nasrallah.
Beliau menyifatkan ketua Hezbollah itu sebagai “pengganas kejam” sambil menegaskan diplomasi adalah peluang terbaik mencapai kestabilan di Timur Tengah.
“Rantau, dunia lebih selamat tanpa dia,” kata Encik Blinken, ketika bercakap di Washington mengenai ketua Hezbollah di Lebanon yang disokong Iran itu.
“Hassan Nasrallah adalah pengganas yang kejam yang ramai mangsanya termasuk warga Amerika, Israel, orang awam di Lebanon, di Syria dan ramai lagi,” sambungnya.
“Semasa kepimpinannya, Hezbollah mengganas di seluruh rantau ini dan menghalang Lebanon daripada bergerak sepenuhnya ke hadapan sebagai sebuah negara,” ujar Encik Blinken. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg