JAKARTA: Sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan meninggal dunia dan 18 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas haram di Pulau Sulawesi, susulan hujan lebat pada 7 Julai.
Kejadian berlaku semasa kira-kira 33 penduduk kampung melombong bijih emas di dalam sebuah lubang lombong emas itu. Lombong haram itu terletak di Bone Bolango, wilayah Gorontalo.
“Secara tiba-tiba, tanah-tanah berlumpur runtuh dan menimbus mereka serta kawasan kaki bukit sekitarnya,” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Gorontalo, Encik Afifuddin Ilahude.
Menurutnya, pasukan penyelamat mengeluarkan dua mangsa yang cedera dan menemui 12 mayat pada 8 Julai.
Pasukan penyelamat masih lagi mencari mangsa lain yang dilaporkan hilang, kata Encik Afifuddin.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Negara (Basarnas) tempatan, Encik Heriyanto, mengesahkan pelombong dan penduduk tempatan yang terkorban tinggal berhampiran lombong tersebut.
Hujan lebat sejak Sabtu mendorong pihak berkuasa tempatan, termasuk Basarnas dikerahkan segera ke kampung Tulabolo di mukim Suwawa Timur itu.
“Keadaan rupa bumi yang mencabar ditambah dengan lokasinya yang terpencil dan hujan yang berterusan menyukarkan usaha mencari dan menyelamat,” kata Encik Heriyanto.
“Kami telah menggerakkan seramai 164 anggota daripada pasukan penyelamat kebangsaan, polis, dan tentera untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa yang masih dilaporkan hilang,” kata Encik Heriyanto.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa anggota SAR terpaksa berjalan sejauh sekitar 20 kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.
Mereka juga menghadapi cabaran lumpur tebal yang melitupi jalan raya serta hujan yang berterusan di kawasan tersebut.
“Kami akan cuba menggunakan jengkaut untuk membantu operasi secepat mungkin apabila keadaan membenarkan,” kata Encik Heriyanto.
Rakaman gambar yang dikongsi oleh agensi itu menunjukkan beberapa rumah di perkampungan yang rosak akibat tanah runtuh tersebut.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, tanah runtuh itu turut merosakkan sejumlah kediaman dan sebuah jambatan.
Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhairi, dalam satu kenyataan, berkata tanah runtuh itu juga menyebabkan jambatan runtuh dan beberapa rumah rosak.
BNPB turut memberi amaran kepada penduduk bahawa hujan dijangka berterusan di beberapa kawasan di wilayah Gorontalo.
Pada April, satu kejadian tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat di Sulawesi Selatan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 18 nyawa terkorban.
Pada Mei, hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh berlumpur yang mengorbankan lebih 50 mangsa di wilayah Sumatera Barat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg