Lonjakan pelancong Arab nikmati musim sejuk Moscow
MOSCOW: Dalam suhu bawah sifar di pinggir Moscow, sekumpulan anjing husky menarik kereta luncur merentasi padang bersalji yang luas, membawa pelancong dari Oman dan Amiriah Arab Bersatu yang teruja menikmati pengalaman musim sejuk Rusia buat kali pertama.
Di Taman Husky Nazarievo, kira-kira 45 kilometer dari pusat Moscow, papan tanda bukan sahaja ditulis dalam bahasa Russia malah turut dipaparkan dalam bahasa Arab, mencerminkan peningkatan ketara pelancong dari Asia Barat. Ada yang memberi makan kepada kawanan rusa, manakala yang lain memandu hoverkraf merentasi tasik beku dengan kelajuan tinggi.
“Ia seperti meluncur di padang pasir, tetapi kali ini di atas ais,” kata Cik Badreya Almarooqi, pelancong dari Amiriah Arab Bersatu, menggambarkan pengalaman uniknya.
Di daerah Dmitrov, sekitar 65 kilometer dari Moscow, sekumpulan pelancong Arab Saudi menaiki belon udara panas untuk menikmati panorama hamparan salji yang luas. “Ini antara aktiviti terbaik dalam hidup saya,” ujar Encik Ayoub Aziz dari Arab Saudi.
Empat tahun selepas perang Russia-Ukraine bermula, Moscow dilihat semakin mengalihkan tumpuan diplomatik dan ekonominya ke Asia Barat dan Asia, sekali gus menyumbang kepada ledakan pelancongan dari negara Arab.
Peningkatan penerbangan terus antara Moscow dan ibu negara Teluk, kemudahan bebas visa serta hubungan diplomatik yang lebih erat termasuk peranan Qatar, UAE dan Arab Saudi dalam rundingan pertukaran tahanan turut merangsang kemasukan pelancong.
Data rasmi menunjukkan lebih 800,000 lawatan direkodkan dari China pada 2025, menjadikan negara itu penyumbang terbesar pelancong asing. Namun, Arab Saudi muncul di tempat kedua buat kali pertama dengan hampir 75,000 pelawat, peningkatan hampir 36 peratus berbanding tahun sebelumnya. UAE pula mencatat lebih 59,000 pelawat, menduduki tempat keenam.
“Secara keseluruhan, hampir semua negara Arab sekurang-kurangnya menggandakan jumlah pelancong mereka,” kata Encik Alexander Musikhin, Ketua Pengarah pengendali pelancongan Intourist. Beliau menambah, “Arab Saudi menunjukkan peningkatan luar biasa. Jumlah pelawat ke Russia, khususnya Moscow, meningkat hampir 15 kali ganda berbanding tempoh sebelum pandemik.”
Pelancong Teluk lazimnya menginap di hotel mewah di pusat bandar dan menjadi pelanggan tetap restoran bertemakan Russia serta pusat beli-belah utama. Menurut pengendali pelancongan, mereka membelanjakan antara 200,000 ruble (S$3,278) hingga 300,000 untuk perkhidmatan tambahan.
Namun, sekatan Barat menyebabkan kad Visa dan Mastercard tidak boleh digunakan di Russia. “Jadi semuanya perlu dibayar secara tunai,” kata Encik Rashan Godani dari UAE. Undang-undang Russia pula mengehadkan kemasukan wang tunai kepada AS$10,000 (S$12,644) tanpa pengisytiharan.
Secara keseluruhan, Russia menerima 1.64 juta pelancong asing pada 2025, peningkatan 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Persatuan Pengendali Pelancongan Russia. Namun angka itu masih jauh lebih rendah berbanding 4.2 juta pelawat ketika Rusia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.
Sebaliknya, 2.45 juta rakyat Rusia melawat UAE pada 2025, meningkat hampir suku berbanding tahun sebelumnya, dan sebahagian ahli perniagaan Russia turut membuka pejabat di Dubai.
Encik Musikhin mengakui pertumbuhan sektor pelancongan masih terjejas akibat konflik berterusan. Penutupan sementara lapangan terbang Russia akibat serangan dron Ukraine serta pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat di sempadan menyebabkan perjalanan menjadi lebih panjang.
“Pelancong secara umumnya memahami situasi ini,” katanya.
Di tengah ketegangan geopolitik, musim sejuk Moscow kini menjadi tarikan eksotik bagi pelawat Teluk - simbol perubahan hala tuju pelancongan Russia yang semakin berpaling ke Timur dan Selatan. - REUTERS

